Rabu, 28 Mac 2018

Guna logo PKR atau Amanah tak jejas undi PH - Anuar Tahir

Oleh Umi Faten Nadia Ezhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Cadangan Pakatan Harapan (PH) yang mahu menggunakan logo rakan komponennya Amanah atau PKR pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) disifatkan sebagai satu penghormatan kepada parti pimpinan Mohamad Sabu itu.
 
Setiausaha Agung Amanah Anuar Tahir yakin pemilihan antara dua parti itu tidak akan menjejaskan undi rakyat yang menyokong dua parti sekutu yang lain iaitu PPBM dan DAP.
 
"Ya, kami yakin.
 
"Kalau mereka semua memilih Amanah, kalau keputusan itu berdasarkan kepada kebaikan dan kebolehmenangan, maka tentulah kita akan alu-alukan untuk sesiapa pun membuat penilaian kerana baru sekali kami masuk pilihan raya di semenanjung iaitu dalam Pilihan Raya Kecil, itupun ketika itu umur kita (Amanah) baru beberapa bulan agaknya.
 
"Kita belum dikenali ramai tapi dalam keadaan itu, rakyat masih boleh mengundi," katanya kepada Antarapos.
 
Anuar berkata demikian, mengulas kenyataan Naib Presiden PH, Salahuddin Ayub yang memutuskan untuk tidak menggunakan logo PPBM dan DAP selepas dua parti itu dibelit masalah dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS).
 
Salahuddin yang juga timbalan presiden Amanah berkata, pemilihan hanya satu logo parti pembangkang itu kerana RoS sehingga kini tidak meluluskan permohonan pendaftaran PH.
 
Tambah Anuar lagi, rakyat kini bijak untuk menilai sebelum membuat pilihan kerana mereka lebih mementingkan faktor calon berbanding parti.
 
"Ini zaman rakyat sudah boleh membaca, zaman rakyat sudah boleh menggunakan, walaupun sesetengah itu sudah agak berumur, tapi oleh kerana terdapat pendedahan, maka dia sudah boleh membaca whatsapp, dia boleh mengirim artikel dalam emel dan sebagainya. 
 
Jadi saya rasa pada zaman ini, rakyat sudah boleh mengenal apakah ini lambang sebuah minuman ringan atau lambang jenama barang atau logo sebuah parti politik. Bila sudah ada IT, rakyat akan boleh memilih," ujar beliau lagi. 
 
Semalam (PH) dijangka membuat pengumuman rasmi berhubung logo yang akan digunakan gabungan itu untuk PRU14 pada minggu hadapan.
 
Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, parti itu telah berjaya mencapai kata sepakat berkenaan logo yang bakal digunakan, namun memerlukan sedikit masa lagi.
 
Sebelum ini, RoS berkata kegagalan PPBM mengadakan mesyuarat agung pertama dan masalah DAP berhubung kesahihan jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) mereka menyebabkan kelewatan meluluskan permohonan PH.
 
PPBM sudah mengadakan mesyuarat agung pertama mereka pada Disember lalu, sementara RoS mengiktiraf barisan kepimpinan DAP.
 
 

Tiada ulasan: