Sabtu, 31 Mac 2018

Tolak debat: Guan Eng berhelah lagi, kata Wee Ka Siong

 
Timbalan Presiden MCA itu berkata, sebagai wakil rakyat, menteri dan jurutera, beliau mahu Lim menjawab kemusykilan berkaitan pembinaan terowong berkenaan.


Wee sedia berbincang secara aman untuk bertukar fikiran jika Lim tidak mahu berdebat.


BUTTERWORTH: Keengganan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berdebat mengenai isu terowong dasar laut dengan pelbagai alasan hanya helah semata-mata, kata Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Malah, katanya, beliau diperlekehkan kerana tidak layak untuk berdebat atas kapasiti timbalan presiden MCA sedangkan perkara ini bukan mengenai dasar sesebuah parti, tetapi sebagai wakil rakyat, menteri dan jurutera, beliau mahu Lim menjawab kemusykilan itu.

“Saya sudah ajak ketua menteri berdebat banyak kali, jika tidak berdebat pun sekurang-kurangnya perbincangan secara aman untuk bertukar fikiran dan tunjukkan kepada saya apa yang dilemparkan itu tidak benar,” katanya selepas menyampaikan Ceramah Kisah Benar Pulau Pinang 2.0 malam tadi.

Lim sebelum ini menolak cabaran Wee untuk berdebat mengenai isu tersebut atas alasan tidak mahu merendahkan martabat jawatan setiausaha agung DAP dengan menerima cabaran Wee, pemimpin nombor 2 dalam MCA.

Semalam, ketua menteri itu memberikan syarat Wee perlu bertanding menentangnya di Parlimen Bagan jika mahu berdebat isu terowong dasar laut.

Wee yang juga menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, beliau hanya mahukan jawapan daripada ketua menteri itu apabila sesuatu perkara dibongkarkan dan jawapan perlu diberikan dan tidak berbangkit soal taraf seseorang.

“Alasan itu tidak masuk akal, lagi pun sebelum ini Lim juga pernah berkali-kali pada 2011 mencabar Tan Sri Nor Mohamed Yakcop yang juga Ahli Parlimen di Pulau Pinang dan menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu untuk berdebat, dan jika kita bandingkan jawatan saya dengan Mohamed, saya rasa tidak rendah jawatan saya,” katanya.

Wee turut mempersolkan tindakan ketua menteri yang mengaitkan soal hierarki untuk melayakkan seseorang berdebat dengannya sambil meminta Lim menjelaskan laporan Oriental Daily berhubung 8 syarikat yang dipelawa untuk pusingan pertama, iaitu tentang prakelayakan sebelum memberikan kontrak ini kepada sesiapa.

“Kalau ikut senarai 8 syarikat ini, Zenith Construction atau Consortium Zenith BUCG tidak ada dalam pusingan pertama dan tiba-tiba pusingan kedua pula masuk, jadi ini pertanyaan daripada rakyat. Jangan kata protokol, tak boleh jawablah, itu semata-mata sebagai tipu helah. Ia helah supaya tidak menjawab soalan,” katanya.

Projek terowong dasar laut sepanjang 7.2km yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai mencetuskan pelbagai kontroversi, termasuk berhubung kos kajian kebolehlaksanaan yang terlalu tinggi selain kaedah pembayaran melibatkan pertukaran tanah kerajaan negeri serta pelaksanaannya dibantah penduduk negeri yang bimbang dengan impak ekonomi, sosial dan alam sekitar.

Projek itu sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana didakwa melibatkan kos kajian kebolehlaksanaan yang tinggi dan kaedah pembayaran melibatkan pertukaran tanah kerajaan negeri.

Tiada ulasan: