Sabtu, 31 Mac 2018

Laporan: India serah perintah ekstradisi Zakir Naik kepada Malaysia

Zakir Naik dilaporkan berlindung di Malaysia dan Arab Saudi, berulang-alik antara 2 negara itu sejak melarikan diri dari India.


PETALING JAYA: Kerajaan India mengeluarkan perintah ekstradisi kepada Malaysia meminta penghantaran pulang penceramah kontroversi Zakir Naik, lapor Times of India.

Menurut laporan itu, Kementerian Luar Negeri India menyerahkan dokumen berkaitan kepada pihak berkuasa Malaysia, dan Agensi Penyiasatan Kebangsaan (NIA) sudah melalui semua proses menuntut penghantaran pulang itu.

Pihak berkuasa India menuduh penceramah berusia 52 tahun itu membiayai terorisme. Naik dituduh mengetuai satu persatuan yang menyalahi undang-undang dan menghasut anak muda melakukan keganasan dan menyertai kumpulan militan antarabangsa, seperti IS.

NIA berkata Naik juga secara sengaja menghina kepercayaan penganut Hindu, Kristian dan fahaman Islam lain seperti Syiah, Sufi dan Barelvi, dan ucapan-ucapannya mempengaruhi rekrut kepada perjuangan IS.

NGO Naik yang berpangkalan di Mumbai, Yayasan Penyelidikan Islam (IRF), diharamkan kerajaan India pada 2016.

Laporan itu menambah mahkamah di Kuala Lumpur berkemungkinan sekali mendengar permintaan India itu.

Bagaimanapun, tiada garis masa diberikan tentang bila perintah itu diserahkan kepada Malaysia atau bila mahkamah akan mendengar permintaan itu.

Pada 8 November, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata Putrajaya sedia menghantar Naik pulang ke negaranya jika ada permintaan daripada kerajaan India.

Pada November lepas, Naik dilaporkan melantik seorang peguam di Malaysia untuk melawan sebarang perintah ekstradisi daripada India berhubung dakwaan pengubahan wang dan terorisme.

Peguam Shaharudin Ali sudah memaklumkan ketua polis negara dan peguam negara supaya merujuk kepadanya sekiranya ada permintaan seperti itu.

India dijangka menyerahkan bukti dalam bentuk CD dan DVD bagi menunjukkan ia mempunyai kes terhadap Naik yang didakwa menyebarkan kebencian dan menggunakan IRF dan syarikat Harmony Media Pvt Ltd untuk aktiviti anti-nasional.

Naik melarikan diri dari India pada 1 Julai 2016 selepas pengganas di Bangladesh mendakwa mereka mendapat ilham daripada ucapannya.

Dia dilaporkan berlindung di Malaysia dan Arab Saudi, berulang-alik antara 2 negara itu sejak meninggalkan India.

Tiada ulasan: