Jumaat, 30 Mac 2018

PBM serah dokumen kepada JPPM elak dibubarkan

 
Setiausaha Kerja PPBM, Muhammad Suhaimi Yahya menyerahkan dokuman dan maklumat itu petang tadi, sehari menjelang tempoh 30 hari diberikan JPPM bagi melengkapkan siasatan terhadap aduan ahli parti itu.
 
 
Muhammad Suhaimi Yahya menarik satu troli fail memasuki ibu pejabat JPPM di Putrajaya, petang tadi.


PETALING JAYA: PPBM hari ini menyerahkan maklumat dan dokumen yang dikehendaki Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) sehari sebelum tarikh akhir untuk mengelak dibubarkan, susulan aduan ahli parti itu mengenai perhimpunan agung tahunan (AGM) pertamanya Disember lalu.

Sebuah video yang dikeluarkan unit media parti itu menunjukkan Setiausaha Kerja PPBM,
Muhammad Suhaimi Yahya menarik satu troli yang dipenuhi timbunan fail memasuki ibu pejabat JPPM di Putrajaya.

Katanya, maklumat dan dokumen itu diserahkan pada 2.45 petang tadi berdasarkan notis dikeluarkan JPPM mengikut Seksyen 14(2) Akta Pertubuhan 1996, yang merujuk minit mesyuarat cawangan, bahagian dan pusat serta perihal penyata kewangan parti.

“Kita sudah melaksanakan apa yang dikehendaki mengikut perintah yang dikeluarkan.

“Sebelum ini, kita sudah menghantar satu maklumat awalan untuk memenuhi 3 daripada 9 perkara pada 27 Mac 2018 dan hari ini kita lengkapkan lagi 6 perkara yang sepatutnya kita penuhi demi kebaikan parti kita semua,” katanya dalam klip video selama 1 minit itu yang diperolehi FMT.

Pada 12 Januari lalu, JPPM berkata, pihaknya sedang menyiasat lebih 400 aduan yang diterima berkaitan AGM pertama PPBM, Disember lalu, yang didakwa melanggar perlembagaan parti itu.

JPPM sebelum itu berkata, kegagalan PPBM mengadakan perhimpunan tahunan sebagai salah satu sebab pendaftaran Pakatan Harapan (PH) yang dianggotai parti itu tidak diluluskan sejak Julai 2017.

Susulan itu, PPBM mengadakan AGM pertama di Shah Alam pada 30 Disember lalu, lebih setahun selepas ia didaftarkan pada September 2016.

Pada 9 Mac lalu, Ketua Pengarah JPPM, Surayati Ibrahim berkata, satu notis berkuat kuasa 28 Februari lalu diserahkan kepada Setiausaha Agung PPBM, Datuk Shahruddin Md Salleh.

Notis itu mengkehendaki PPBM menjawab serta menyerahkan semua maklumat dan dokumen, seperti minit mesyuarat cawangan, bahagian dan pusat serta perihal penyata kewangan parti, kepada JPPM dalam tempoh 30 hari.

Katanya, JPPM boleh mengeluarkan perintah pembubaran kepada PPBM berdasarkan Seksyen 14 (5) Akta Pertubuhan, jika parti itu gagal menyerahkan maklumat dan dokumen itu.

Surayati pada 23 Mac lalu dilaporkan berkata, pendaftaran PH tidak dapat diproses selagi PPBM tidak menjawab dan menyerahkan semua maklumat serta dokumen berdasarkan notis dikeluarkan JPPM.

 LIHAT VIDEO DI SINI


Tiada ulasan: