Isnin, 26 Mac 2018

PH akan guna logo PKR atau Amanah sahaja pada PRU14

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
DENGKIL: Pakatan Harapan (PH) akan menggunakan logo PKR atau Amanah untuk digunakan calon gabungan empat parti pembangkang itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
 
Naib Presiden PH, Salahuddin Ayub berkata mesyuarat Majlis Presiden PH pada minggu lalu memutuskan untuk tidak menggunakan logo PPBM dan DAP selepas dua parti itu dibelit masalah dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS).
 
“PPBM dihalang guna logo mereka. Ini kerana Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) buat banyak masalah, jadi kita fikir logo mana paling berkesan.
 
“DAP tidak, (jadi pilihan) antara Amanah dan PKR. Kita tunggu seperti mana diputuskan mesyuarat Majlis Presiden PH Selasa ini,” katanya dipetik sebuah portal.
 
Salahuddin berkata demikian selepas melancarkan jentera pilihan raya Parlimen Sepang di Dewan Orang Ramai Pekan Dengkil, malam tadi.
 
Salahuddin yang juga timbalan presiden Amanah berkata, pemilihan hanya satu logo parti pembangkang itu kerana RoS sehingga kini tidak meluluskan permohonan pendaftaran PH.
 
“Kita tidak boleh tunggu lagi sebab permohonan kita (pendaftaran PH) pada JPPM tidak dilayan sampai hari ini.
 
“Kita kena guna antara logo dua parti ini (PKR atau Amanah),” katanya.
 
Pada 27 Februari lalu, Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, mereka akan menggunakan lambang salah sebuah parti komponen jika RoS gagal meluluskan permohonan mendaftarkan gabungan itu.
 
Sebelum ini, RoS berkata kegagalan PPBM mengadakan mesyuarat agung pertama dan masalah DAP berhubung kesahihan jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) mereka menyebabkan kelewatan meluluskan permohonan PH.
 
PPBM sudah mengadakan mesyuarat agung pertama mereka pada Disember lalu, sementara RoS mengiktiraf barisan kepimpinan DAP.
 
 

Tiada ulasan: