Ahad, 25 Mac 2018

Adun PAS Selangor akhirnya terima peruntukan RM800,000

 
Adun Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman berkata, peruntukan RM800,000 itu akan diberikan secara beransur-ansur mengikut kiraan purata 12 bulan.





PETALING JAYA: Isu peruntukan “disekat” kerajaan Selangor selesai apabila 13 adun PAS di negeri itu mula mendapat RM800,000 secara berperingkat, sejak minggu lalu.

Perkara itu disahkan Adun Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman.

“Kita sudah dapat pembayaran yang kita tuntut, apa yang kita ‘claim’ sudah mula turun kepada saya dan juga kepada adun lain. Saya sendiri anggap isu ini selesai,” katanya kepada FMT hari ini.

Sebelum ini, difahamkan pembekuan peruntukan RM800,000 kepada setiap adun Selangor itu hanya membabitkan wakil rakyat PAS dan didakwa untuk mencantas khidmat mereka kepada penduduk setempat menjelang pilihan raya umum ke-14.

Akhir bulan lalu, Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi dilaporkan berkata, 9 adun PAS Selangor terpaksa menggunakan wang sendiri sebanyak RM693,000 untuk melaksanakan program bantuan di kawasan masing-masing.

Sallehen ketika itu mendakwa sikap Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali bertentangan dengan janjinya yang mengutamakan rakyat Selangor.

“Kita mewakili setengah juta rakyat dalam DUN masing-masing yang terdiri daripada Melayu, Cina, India dan lain-lain bangsa. Itu rakyat yang kita wakili yang memerlukan pertolongan dalam pelbagai masalah.

“Ia bukan lagi soal adun PAS, tetapi soal rakyat. Ia hak rakyat yang berada di bawah adun PAS,” katanya.

Khairuddin berkata, peruntukan RM800,000 kepada 13 adun PAS akan disalurkan secara beransur-ansur mengikut kiraan purata 12 bulan.

“Kita tidak dapat semua RM800,000. Ia mengikut purata 12 bulan. Jadi, yang mana kita tuntut itu adalah mengikut purata. Alhamdulillah ia mula turun kepada kita,” katanya

Tiada ulasan: