Ahad, 25 Mac 2018

Dr M perlu bertanding di kerusi bahaya, tangkis persepsi usia






Kehebatan berpolitik Tun Dr Mahathir Mohamad dalam menarik perhatian media memang sangat dikagumi. Kehadiran beliau di forum dianjurkan Sinar Harian yang berbicara mengenai faktor umur beliau dalam usaha menjatuhkan Barisan Nasional baru-baru ini adalah satu contoh berita sensasi.

Keberanian lazimnya diukur daripada sudut mengatasi sesuatu yang lebih besar dan mencabar. Di dalam episod ini, penyokong Dr Mahathir terus mengangkat beliau sebagai seorang yang berani.

Tetapi, jika difikirkan apa yang mencabar bagi Dr Mahathir untuk menghadiri forum itu dengan statusnya sebagai seorang bekas perdana menteri paling lama memerintah negara berbanding panelis-panelis yang ada?



Siapalah panelis-panelis di forum itu jika dibandingkan dengan beliau? Mereka ialah “nobody” sebenarnya jika dibandingkan dengan Dr Mahathir.

Umum mengetahui masalah dihadapi Pakatan Harapan (PH) hari ini ialah penolakan terhadap Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri atas faktor usianya. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga menyerang Dr Mahathir daripada sudut ini.

Ia juga jelas Dr Mahathir yang kini berusia 93 tahun sendiri pun sedang bergelut dengan persepsi ini sehingga beliau terpaksa membuat video beliau dapat memandu di dalam hujan lebat dan menelan balik kata-katanya tidak lama dulu yang menyatakan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat terlalu tua untuk menjadi pemimpin.

Jika persepsi negatif terhadap usia beliau itu bukan satu masalah, adalah dipercayai Dr Mahathir tidak akan membuang masa menghadiri forum itu bagi melawan persepsi ini.

Sebenarnya, Dr Mahathir boleh mengatasi persepsi ini dengan mudah.

Dr Mahathir hanya perlu menggunakan keberanian sama ketika menghadiri forum berbicara mengenainya untuk memilih bertanding di kawasan Parlimen bahaya, terutamanya kubu kuat Umno seperti Pekan. Jangan pilih kerusi separa selamat.

Bertanding di kawasan berbahaya sedemikian boleh mengurangkan rasa cemas golongan yang tidak inginkan beliau kembali menjadi perdana menteri kerana mereka akan merasakan peluang Dr Mahathir menang adalah tipis, maka peluangnya menjadi perdana menteri rendah, meskipun PH menang.

Malah, ini boleh membantu PH mencipta satu topik perbualan menarik, sekiranya PH menang dan Dr Mahathir tewas, siapa yang akan menjadi perdana menteri gabungan itu selepas ini?

Sekiranya keberanian Dr Mahathir berlawan di kubu kuat Umno mendatangkan kemenangan baginya, maka sudah tentunya Putrajaya sudah jatuh ke tangan PH.

Suara-suara yang mempertikaikan kemampuan beliau untuk menjadi perdana menteri pasti akan membisu, malah Dr Mahathir akan lebih dihormati dan disanjungi selepas itu.

Bayangkan kalau Dr Mahathir dapat mengalahkan Datuk Seri Najib Razak di gelanggang perdana menteri, siapa yang berani pertikai kemampuan Dr Mahathir untuk memimpin negara lagi selepas itu?

Jika Dr Mahathir berani berbuat demikian, inilah keberanian yang tidak akan dipertikai kerana sekurang-kurangnya lawan beliau ialah “someone of his own size.”

Tiada ulasan: