Rata-rata pengamal undang-undang mempersoal kewajaran pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Antiberita Tidak Benar 2018 yang menyaksikan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara 10 tahun.
Peguam Syahredzan Johan menyifatkan akta baharu itu benar-benar menakutkan walaupun tidak dikait dengan keselamatan negara atau ketenteraman awam.
Menurutnya, undang-undang lain menjejaskan ucapan atau ekspresi sebagai ancaman kepada keselamatan negara atau ketenteraman awam selain menyebabkan kerosakan kepada orang lain.
“Pihak pendakwa tidak perlu menyatakan bahawa ‘berita palsu’ diarahkan kepada orang lain. Adalah cukup bahawa maklumat palsu atau sebahagiannya palsu.
“Rang undang-undang ini pada hakikatnya membenarkan negara untuk memutuskan apa yang benar dan palsu. Itu adalah prospek yang benar-benar menakutkan,” dipetik daripada statusnya di Facebook.
Beliau berpendapat individu yang terlibat dengan penghasilan karya berbentuk satira turut berisiko dikenakan tindakan mengikut undang-undang tersebut walaupun tidak dinyatakan secara khusus dalam takrifan akta itu.
“Takrif ‘berita palsu’ dalam rang undang-undang adalah maklumat yang benar-benar atau sebahagiannya palsu.
“Ingatlah, karya Zunar juga sindiran politik. Dan dia telah ditangkap, dibebankan, telah disita buku-buku dan lain-lain, dan undang-undang itu (Akta Hasutan) juga tidak menyatakan dengan jelas,” tambahnya.
“Berita palsu” dalam RUU itu ditakrifkan sebagai “apa-apa berita, maklumat, data dan laporan, yang sebahagiannya atau keseluruhannya adalah palsu, sama ada dalam bentuk rencana, visual atau rakaman audio atau dalam apa-apa bentuk lain yang boleh menggambarkan perkataan atau idea”.
Dalam hal berkaitan, peguam Farhan Haziq pula menegur pandangan lazim yang kerap mengaitkan langkah menggubal undang-undang baharu dengan hal sama dilaksanakan negara lain.
Padahal, tegasnya, apa yang menyedihkan undang-undang yang cuba untuk dikuatkuasakan tidak menyeluruh seperti dibuat di negara lain.
“Tipikal. Apabila kita membuat undang-undang atau dasar kontroversi yang baru, kita kemudian berkata, negara-negara lain melakukan perkara yang sama. Tetapi, terdapat banyak perkara yang baik, kita tidak ikuti.
“Hanya untuk kontroversi dan mempunyai kecenderungan membahayakan hak asasi manusia, kita ingin ikut. Perlindungan itu sentiasa untuk kerajaan dan campur tangan mahkamah akan selalu terhad,” ujarnya di Facebook beliau hari ini.
Terdahulu, Penasihat Sosiobudaya Kerajaan , Tan Sri Dr Rais Yatim secara terbuka menerusi tweetnya menyeru agar semua rakyat Malaysia meneliti akta baharu itu.
“Semua warga harus meneliti Rang Undang2 Anti Berita Tak Benar yg kini dibentang di Dewan Rakyat. Implikasinya amat luas termasuk terhadap kerajaan, badan, NGO dan individu.
“Kerja tambahan kpd PDRM dan pendakwaan. Tumpu kepada pemahaman dan takrif ‘berita tidak benar’ – apa dia?” soalnya yang mempunyai latar belakang undang-undang.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Antiberita Tidak Benar 2018 untuk bacaan kali pertama pada persidangan Dewan Rakyat.
Akta itu akan diguna pakai jika sebarang berita tidak benar dikaitkan dengan Malaysia atau rakyat Malaysia.
Tindakan mengikut peruntukan tersebut juga boleh dikenakan kepada individu atau mana-mana pihak yang menyiarkan berita tidak benar walaupun kesalahan itu bukan dilakukan oleh rakyat Malaysia dan dilakukan di luar negara.
Undang-undang itu turut mengenakan hukuman ke atas individu yang menyediakan bantuan kewangan kepada pihak yang menghasilkan dan menyebarkan berita tidak benar.
Untuk rekod, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah membuka 45 kertas siasatan sejak Januari 2017 bagi kes berhubung penyebaran berita palsu di pelbagai platform media sosial.
Terdapat empat kes telah dihadapkan ke mahkamah daripada jumlah tersebut bagi tindakan selanjutnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan