Sabtu, 3 Mac 2018

Petisyen dilancarkan, Umno didakwa pertubuhan tidak sah?

OLEH NAZLI IBRAHIM

 


SHAH ALAM: Umno sekali lagi berhadapan krisis perlembagaan dengan berhadapan kemungkinan diisytiharkan sebagai pertubuhan haram apabila didakwa didapati melanggar perlembagaannya sendiri berhubung isu penangguhan pemilihan.

Menurut satu petisyen yang dilancarkan di laman sesawang change.org yang dilancarkan bagi menggesa siasatan adil Pendaftar Pertubuhan (ROS) menyebut, Fasal 10.16 Perlembagaan Umno memperuntukkan tarikh pemilihan (cawangan, bahagian dan Majlis Tertinggi Umno) yang sepatutnya diadakan pada 31 Ogos 2016 dan 19 Oktober 2016 sudah pun dilanjutkan secara maksima 18 bulan iaitu ke tarikh 28 Febuari 2018 dan 19 April 2018.

“Maka mustahil serta tidak sah untuk dilanjutkan lagi di sisi Perlembagaan Umno sekali pun, oleh MAJLIS TERTINGGI Umno, mahupun diluluskan oleh pihak ROS Malaysia.

“Ini bermakna, kesemua Cawangan Umno di seluruh Malaysia menjadi tidak sah di sisi undang-undang pada 1 Mac 2018.

“Oleh kerana Cawangan Umno tidak sah maka, kesemua Bahagian Umno di seluruh Malaysia dan Majlis Tertinggi Umno akan menjadi tidak sah di sisi undang-undang pada 19 April 2018,” katanya.

Jelas petisyen itu, di segi undang-undang, Majlis Tertinggi Umno mahupun ROS tidak boleh membuat apa-apa lanjutan penangguhan, selepas tarikh akhir pengadaan pemilihan kerana ianya bertentangan dengan Fasal 10.16 Perlembagaan Umno sendiri.

Katanya, maka dengan itu, Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak secara automatik tidak sah sebagai Presiden Umno selepas tarikh 19 April 2018.

“Hatta, Umno sebagai parti politik yang tidak sah selepas 19 April 2018, tidak boleh bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 yang diadakan selepas 19 April 2018.

“Najib Razak juga tidak boleh angkat sumpat jawatan sebagai Perdana Menteri di hadapan Ke-Bawah Duli Yang Di-pertuan Agong kerana penjawatan Presiden Umno tidak sah selepas 19 April 2018,” katanya lagi.

Justeru katanya lagi, ROS perlu adil dalam menjalankan siasatan keatas Umno berkaitan krisis keperlembagaan pertubuhan itu tanpa bersifat berat sebelah,” ujarnya.

Sementara itu petisyen yang dilancar sejak 1 Mac itu sudah pun ditandatangani seramai 1,505 orang.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sebelum ini mengeluarkan kenyataan untuk menangkis dakwaan itu.

Katanya penangguhan pemilihan itu diputuskan oleh Majlis Tertinggi UMNO dan mendapat kelulusan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

“Dakwaan tersebut adalah tidak benar dan sengaja ditularkan bagi mengelirukan orang ramai khususnya ahli-ahli UMNO dan para penyokongnya selain usaha pihak tertentu untuk memburukkan parti”, katanya.

Kelulusan penangguhan pemilihan tersebut merujuk kepada Seksyen 13A (4) Akta Pertubuhan 1966, Pendaftar Pertubuhan berkuasa untuk melanjutkan tarikh/waktu pemilihan Pertubuhan berdaftar dengan syarat suatu permohonan bertulis dibuat.

Selaras dengan itu, beliau menegaskan bahawa UMNO masih berkuatkuasa di semua peringkat dan melaksanakan tanggungjawabnya sebagaimana terkandung dalam asas dan tujuan penubuhannya.
=EZY=

Tiada ulasan: