Sabtu, 3 Mac 2018

Hina Robert Kuok, penyokong MCA gesa Nazri letak jawatan

DETIK DAILY

 
Oleh Low Han Shaun

SEKUMPULAN penyokong MCA berhimpun hari ini bagi menuntut menteri Umno, Mohamed Nazri Abdul Aziz meletak jawatan kerana menghina bilionair Robert Kuok.

Kira-kira 50 penyokong yang berhimpun di hadapan ibu pejabat parti tersebut di Jalan Ampang, Kuala Lumpur juga menuntut permohonan maaf daripada menteri pelancongan dan kebudayaan itu.
Individu berpakaian baju seragam parti MCA tersebut membawa poster dengan slogan yang antara lain menggelarkan menteri Umno tersebut sebagai "Duri dalam daging".

Nazri pada Isnin lepas mencabar Kuok untuk bertanding dalam pilihan raya dan menggelar hartawan berusia 94 tahun itu sebagai “pondan” dan “ayam betina” kerana menyorok di Hong Kong.

Nazri mengecam Kuok yang didakwa menyalurkan dana kepada DAP. Tuduhan pertama kali dibuat dalam posting Malaysia Today oleh Raja Petra Kamarudin.

Ia mencetuskan perang mulut antara Nazri dan MCA, yang merupakan parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) bersama Umno.

Para pemimpin MCA dan beberapa akhbar Cina turut mengkritik menteri itu berhubung komen kasarnya, dengan mengatakan ia akan menjejaskan hubungan bersama dan mempengaruhi sokongan kaum Cina terhadap BN.

Menyentuh kritikan itu, Nazri berkata MCA bukan lagi mewakili masyarakat Cina dengan prestasi buruk dalam pilihan raya umum ke-13.

Hari ini, presiden MCA, Liow Tiong Lai mendakwa Nazri bersubahat dengan pembangkang susulan ucapannya terhadap MCA.-TMI 
 
 

Tiada ulasan: