KUALA LUMPUR: Satu tindakan saman perlu diambil Kumpulan Wang Simpanan
Pekerja (KWSP) terhadap Sarawak Report di London, United Kingdom ekoran
memfitnah sehingga menjejaskan imejnya sebagai kumpulan berintegriti
yang memiliki nama baik.
Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd Razlan Rafii berkata,
walaupun KWSP sudah mengeluarkan kenyataan media menafikan tuduhan
berkenaan namun ia tidak mencukupi.
Beliau berkata, tindakan mahkamah diambil akan sama dengan langkah
Presiden PAS menyaman Sarawak Report ekoran artikel fitnah pernah
dikeluarkan kononnya parti itu menerima sumbangan RM90 juta daripada
UMNO.
Katanya, apabila kes berkenaan dihadapkan ke mahkamah, ternyata Sarawak Report tiada bukti untuk menyokong tuduhan mereka itu.
"Dalam kes KWSP, saya yakin perkara sama akan berlaku. Jika KWSP
menyaman, Sarawak Report akan terpaksa memberi mahkamah segala bukti
yang mereka (Sarawak Report) ada untuk mempertahankan diri.
"Ini sekali gus akan mendedahkan segala cerita mengenai KWSP
dikeluarkan Sarawak Report adalah rekaan semata-mata," katanya dalam
satu kenyataan, hari ini.
Portal berita dalam talian itu baru-baru ini mengeluarkan satu artikel
fitnah mendakwa KWSP berurusan dengan Limage Holdings SA, Limage
Southwest Holdings dan individu dikenali sebagai Mr Matrai, untuk
merompak wang rakyat Malaysia.
Mohd Razlan berkata, sudah tiba masanya badan kerajaan mahupun agensi
mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak mengeluarkan kenyataan
fitnah sehingga mencemar nama baik kerajaan dan kepemimpinan negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan