Kementerian
Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memastikan kematian anggota
bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim dibela sebaik mungkin.
Menurut
Timbalan Menterinya, Ismail Abd Muttalib perkara tersebut telah
diserahkan kepada pihak polis, namun tidak mengulas lanjut berhubung isu
itu.
"Apa yang mendukakan kita adalah Adib pergi meninggalkan kita dan itu satu pengorbanan yang besar.
"Kita
sudah serahkan kepada pihak polis untuk buat siasatan semula," katanya
ketika sidang media selepas sambutan Hari Kebangsaan peringkat KPKT
tahun 2020 di ibu pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia,
Putrajaya hari ini.
Ismail berkata demikian ketika ditanya mengenai status terkini siasatan semula kes kematian Adib.
Pada
7 Ogos, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata PDRM mencadangkan
satu inkues diadakan semula berhubung kes kematian anggota bomba
tersebut.
Abdul Hamid berkata ia berikutan terdapat saksi baru yang akan tampil memberi keterangan berhubung kematian anggota bomba itu.
Bagaimanapun langkah itu dibantah keluarga Adib yang menyuarakan hasrat untuk mengambil tindakan sivil untuk menuntut ganti rugi atas dakwaan kegagalan dan kecuaian polis.
Ayahnya, Mohd Kassim Abdul Hamid juga mempersoal
cadangan untuk mendakwa 12 suspek yang sebelum ini disyaki terbabit
dalam kematian Adib mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan yang berkaitan
perhimpunan haram.
Dalam pada itu, Ismail enggan mengulas lanjut
apabila ditanya adakah pihak polis ada bertemu dengan Kementerian Dalam
Negeri (KDN) untuk membincangkan perkara tersebut.
"Saya tak
boleh komen sebab kita tak nak campur hal-hal yang berkaitan KDN
(Kementerian Dalam Negeri), polis sebab dia ada bidang masing-masing.
"Kita tak menentukan siapa yang salah, tapi penyiasatan dan juga mahkamah akan menentukan.
"Kita akan pastikan Adib dibela sebaik mungkin," katanya lagi.
Untuk
rekod, Muhammad Adib, 24, yang bertugas sebagai anggota bantuan
kecemasan Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam rusuhan
di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov 2018 dan
meninggal dunia di Institut Jantung Negara selepas 21 hari menerima
rawatan.
Pada 27 Sept tahun lepas, Mahkamah Koroner Shah Alam
memutuskan kematian Muhammad Adib, adalah akibat perbuatan jenayah yang
dilakukan lebih dua atau tiga individu tidak diketahui.
Ismail Sabri Yaakob berkata, polis menahan 17 individu keranatidak memakai pelitup muka semalam.
PETALING JAYA: Polis menahan 79 individu yang mengingkari arahan
perintah kawalan pergerakan pemulihan, termasuk 22 orang yang menghadiri
parti peribadi, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, 28 individu itu direman, manakala 51 lagi dikompaun
kerana terbabit aktiviti dalam pub/kelab malam (11), gagal menyediakan
peralatan/catitan keluar masuk (18), tidak memakai pelitup muka (17),
premis beroperasi lebih masa (1) serta
aktiviti menyukarkan penjarakan fizikal (10).
Katanya, tiada individu sedang menjalani kuarantin wajib 14 hari di
rumah yang melanggar SOP, hasil daripada 459 pemeriksaan yang dijalankan
pihak berkuasa.
Seramai 19,218 individu yang pulang ke tanah air sejak 24 Julai
hingga semalam, ditempatkan di 70 hotel dan 5 institut latihan awam di
Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak,
Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah serta Labuan.
“Daripada jumlah itu, seramai 8,464 individu sedang menjalani proses
kuarantin wajib, manakala 56 individu dihantar ke hospital untuk
rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ismail berkata, seramai 10,698 individu sudah dibenarkan pulang selepas selesai menjalani kuarantin wajib.
Katanya, individu itu pulang dari 32 negara, iaitu Filipina,
Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar,
Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, UAE, Jepun, Turki, Korea
Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China,
UK, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia, New
Zealand dan Amerika Syarikat.
Beliau berkata, tiada tangkapan daripada 64 sekatan jalan yang
diadakan di seluruh negara semalam bagi mengekang kemasukan pendatang
asing tanpa izin, khasnya di lorong tikus.
Katanya, Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang
cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguatkuasa akan
terus mengetatkan kawalan sempadan, khasnya di lorong tikus.
Mahkamah
Tinggi di Kuala Lumpur hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap
bekas Presiden Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Datuk Azwanddin
Hamzah kerana gagal hadir pada prosiding komital difailkan bekas
Menteri Industri Utama Teresa Kok Suh Sim terhadapnya.
Peguam
Datuk Sankara Nair, yang mewakili Kok, memberitahu media bahawa
keputusan itu dibuat oleh Hakim Datin Rohani Ismail yang bersetuju
dengan permohonannya supaya waran tangkap dikeluarkan terhadap Azwanddin
selepas beliau ingkar pada arahan mahkamah untuk hadir pada prosiding
pendengaran permohonan komital berkenaan.
Hakim itu membuat keputusan dalam kamarnya. Azwanddin tidak diwakili peguam.
Permohonan
komital itu difailkan berikutan Azwanddin telah melanggar terma
penghakiman persetujuan dalam kes saman fitnah dikemukakan Kok
terhadapnya yang telah diselesaikan secara baik, tahun lalu.
Azwanddin
didakwa gagal mengemukakan permohonan maaf yang diterbitkan di tiga
akhbar serta membayar kos kepada menteri itu dalam tempoh 45 hari
bermula daripada tarikh penyelesaian kes pada 29 Julai, 2019.
Sankara
berkata defendan (Azwanddin) sepatutnya tahu mengenai prosiding hari
ini kerana surat pemberitahuan telah dihantar kepadanya sebelum tarikh
pendengaran prosiding komital itu.
"Setiap kali mahkamah memberi
tarikh (pendengaran) baharu, beliau (Azwanddin) ingkar pada arahan. Ada
sekali beliau hadir (ke mahkamah) dan ada juga beliau kemukakan MC
(sijil cuti sakit) dan kadangkala beliau terus diam.
"Kami juga
cuba menghubunginya, namun gagal. Saya terpaksa buat permohonan untuk
waran tangkap dikeluarkan terhadapnya," kata peguam itu.
Sankara berkata mahkamah kemudiannya menetapkan 25 Sept ini untuk mendengar permohonan prosiding komital berkenaan.
Kok,
selaku plaintif memfailkan permohonan itu pada 8 Okt tahun lalu
berikutan Azwanddin tidak melaksanakan terma penghakiman persetujuan kes
itu iaitu perlu mengemukakan permohonan maaf yang diterbitkan di tiga
akhbar iaitu Sinar Harian,The Star dan Sin Chew Daily serta membayar kos.
Azwanddin
bersetuju untuk mengemukakan permohonan maaf yang diterbitkan di tiga
akhbar berkenaan, membayar kos serta menarik balik ucapan yang telah
diterbitkan semula olehnya di media sosial selepas kes itu diselesaikan
secara baik.
Kok selaku plaintif memfailkan saman itu pada 8 Jan,
2019 dengan mendakwa Azwanddin sebagai presiden JMM ketika itu telah
menyampaikan ucapan yang antara lain mengandungi perkataan berunsur
fitnah secara lisan, fitnah bertulis dan pembohongan dalam satu
perhimpunan di Dataran Seni Klang, Selangor pada 25 Dis, 2018.
Kes
saman itu berhubung ucapan dan kenyataan Azwanddin yang didakwa Kok
mengaitkannya dalam insiden kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, Subang
Jaya.- Bernama
Peguam,
Siti Zabedah Kasim bercakap kepada media selepas dibebaskan atas
pertuduhan menghalang penguatkuasa Jabatan Agama Islam Wilayah
Persekutuan (JAWI) menjalankan kerja mereka dalam satu majlis anjuran
kumpulan transgenderpada 2016 di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL
KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret hari ini telah melepaskan
dan membebaskan peguam kontroversi, Siti Zabedah Kassim atau lebih
dikenali sebagai Siti Kassim di sini hari ini.
Siti Kassim sebelum ini didakwa atas kesalahan dengan sengaja
menghalang Pegawai Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)
menjalankan tugas menjalankan kerja mereka dalam satu majlis anjuran
kumpulan transgender.
Hakim Mahkamah Majistret, Tawfiq Affandy Chin memutuskan pihak
pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Siti Kassim.
Sebelum itu, pada 23 Jun 2017, Siti Kassim mengaku tidak bersalah
sebaliknya mahu dibicarakan atas pertuduhan di bawah Seksyen 186 Kanun
Keseksaan.
Sebuah serbuan tersebut dilakukan pada satu acara transgender pada
April 2016 di Hotel Renaissance, Kuala Lumpur di mana Siti Kasim hadir
sebagai tetamu.
Sebanyak enam orang saksi telah dipanggil untuk memberikan keterangan
dan setelah penelitian terhadap keterangan saksi dan beberapa bukti
namun pendakwaan gagal membuktikan dakwaan terhadap Siti Kassim.
Siti Kassim dikatakan telah memperkenalkan dirinya sebagai seorang
peguam yang dijemput oleh penganjur ketika serbuan dilakukan oleh Pihak
Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan memberikan kerjasama
yang baik kepada pegawai JAWI.
“Dalam keterangan saksi juga mengatakan Siti Kassim telah memberikan
kerjasama yang baik apabila pegawai JAWI meminta semua untuk duduk dan
Siti Kassim juga memberikan kerjasama tanpa sebarang halangan,” kata
Tawfiq.
Dalam pada itu, Siti Kassim ketika keluar dari bilik bicara sempat
menunjukkan tanda bagus sambil tersenyum kepada wakil-wakil media.
Peguam,
Siti Zabedah Kasim berjalan keluar selepas dibebaskan atas pertuduhan
menghalang penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
menjalankan kerja mereka dalam satu majlis anjuran kumpulan transgender
pada 2016 di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL
Ketika ditemui, aktivis itu berkata, keputusan oleh mahkamah adalah
satu kemenangan besar yang mendapat keizinan Allah kepadanya.
“Saya dari awal tidak perlu didakwa atas kes ini malah ada saksi
memberi keterangan polis mendapat arahan dari ‘atas’ menuduh saya,”
katanya lagi. – MalaysiaGazette
PETALING JAYA: Lim Guan Eng mengeluarkan surat tuntutan kepada
Timbalan Speaker Melaka, Ghazale Muhamad berhubung catatan Facebook yang
mendakwa beliau melantik sepasukan pegawai khas selepas menjadi menteri
kewangan.
Dalam catatan 11 Ogos itu, Ghazale mendakwa Lim melantik 30 pegawai
yang terdiri daripada belia Cina berusia 20 hingga 30 tahun dengan
bayaran RM8,000 hingga RM15,000 sebulan.
Beliau juga mendakwa pasukan itu diketuai Tony Pua, setiausaha politik Lim ketika itu.
“Tujuannya untuk mendedahkan kes melibatkan orang Umno, menguruskan
aset di bawah Kementerian Kewangan dan ‘membantu’ Lim Guan Eng
menyiapkan laporan Belanjawan yang memihak kepada kaumnya.”
Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong, yang mengumumkan langkah
Lim dalam kenyataan hari ini, berkata dakwaan Ghazale “sama sekali palsu
dan fitnah”.
“Ia sekadar cubaan biasa untuk menggambarkan Lim Guan Eng dan DAP sebagai penjahat.”
Beliau turut mendapati satu kes sebelum ini di mana Ghazale, Adun
Rim, mendakwa bekas timbalan menteri pendidikan, Teo Nie Ching menggesa
kelulusan kewarganegaraan untuk kanak-kanak dari negara lain bagi
mengimbangi jumlah Bumiputera dan bukan Bumiputera di negara ini.
Ghazale kemudiannya memadam hantaran itu dan memohon maaf kepada Teo.
Mendakwa Ghazale menjaja berita palsu, Khoo berkata, tindakan itu tidak boleh diterima bagi timbalan speaker DUN.
Beliau juga mendesak Ghazale menarik balik kenyataannya dan memohon maaf kepada Lim.
Tertuduh bersalin di tandas rumah sendiri dan masih dipenjara
GEORGE TOWN
– Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak pemohonan seorang remaja
yang berdepan pertuduhan membunuh bayi baru dilahirkannya, untuk
dibebaskan dengan jaminan.
Hakim Datuk Amirudin Abd Rahman yang
membuat keputusan itu di hadapan tertuduh M. Santhiea, peguam tertuduh
R.S.N Rayer dan Timbalan Pendakwa Raya Yazid Mustaqim Roslan.
Sementara itu, Rayer ketika ditemui
pemberita berkata, pihaknya menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Pulau
Pinang dan rayuan akan dikemukakan di Mahkamah Rayuan.
Katanya, tertuduh adalah seorang wanita yang bersalin di tandas rumah sendiri dan kini masih dipenjara.
“Selepas mendapat arahan daripada anak
guaman, saya akan kemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan
hari ini,” katanya di sini hari ini.
Pada 16 Julai lepas, Santhiea,18, dituduh
membunuh bayi perempuan yang baru dilahirkan di rumah keluarganya di
Air Itam, di sini.
Pertuduhan terhadapnya dilakukan di Wad
Bersalin Hospital Pulau Pinang, berikutan remaja itu masih menjalani
rawatan di hospital berkenaan.
Tertuduh didakwa membunuh dengan
menyebabkan kematian bayinya di laluan ke kawasan tempat letak kenderaan
aras 4, Sri Ivory Apartment, Bandar Baru Ayer Itam, di sini pada 8.25
pagi 10 Julai, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa
hukuman mati, jika sabit kesalahan. -Bernama
Suspek mendalangi 45 penjualan buah pinggang secara haram
KUCHING – Seorang lelaki yang direman polis sejak 14 Ogos lepas untuk siasatan
berhubung aktiviti pemerdagangan organ manusia bagi pasaran
antarabangsa, diperintahkan hari ini, direman lima hari lagi
memandangkan siasatan kes itu belum lagi selesai.
Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah
Kuching yang bertindak sebagai Majistret, Dora Undau mengeluarkan
perintah itu terhadap lelaki berusia 48 tahun itu berikutan permohonan
yang dikemukakan oleh pegawai penyiasat ASP Nor Elyanis Mohd Yusoff.
Suspek dibawa ke mahkamah hari ini
selepas perintah tahanan reman pertama selama tujuh hari tamat semalam,
selepas dia tampil menyerah diri pada 13 Ogos lepas di Ibu Pejabat Polis
Daerah (IPD) Kuching.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk
Dev Kumar M M Sree dalam kenyataan selepas lelaki itu ditahan, berkata,
suspek menyerah diri di IPD Kuching selepas menyedari dirinya diburu
polis berikutan pendedahannya kepada akhbar tabloid Britain bahawa dia
adalah broker aktiviti jual beli organ manusia.
Dalam artikel pada 8 Ogos, The Sun
melaporkan lelaki itu telah memberitahu kepada wartawannya yang
menyamar, bahawa suspek adalah broker pemerdagangan organ manusia yang
diperoleh daripada mangsa miskin.
Dalam artikel itu, suspek memberitahu
kepada wartawan berkenaan yang dia boleh mengaturkan pakej
pelancongan pemindahan organ secara haram untuk warga Britain dengan kos
85,000 Pound Sterling (kira-kira RM469,977).
Dia juga dilaporkan mendalangi 45
penjualan buah pinggang secara haram dan menggunakan Facebook
untuk mempengaruhi mangsa miskin dari seluruh dunia untuk menjual organ
mereka kepada pesakit yang amat memerlukan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 15 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007. -Bernama
SERAMAI 200 penduduk memfailkan saman ke atas pemilik Nasi Kandar
Napoh di Mahkamah Tinggi Alor Setar, hari ini, kerana menyebabkan
penularan Covid-19.
Saman itu difailkan melalui Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) yang
mewakili penduduk sekitar Napoh, ke atas pemilik kedai, Nezar Mohamed
Shabur Batcha, 57, bagi menuntut ganti rugi RM1.5 juta.
Setiausaha CAKE, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, persatuan itu
mengambil tindakan itu selepas mendapati Nezar Mohamed menjadi pencetus
kepada pandemik yang mengakibatkan penduduk dan peniaga terjejas.
Jelasnya, berikutan itu pihaknya menuntut ganti rugi am, ganti rugi
khas, ganti rugi teruk, ganti rugi tauladan, ganti rugi meruncing dan
ganti rugi nominal ke atas Nezar Mohamed.
“Kita mendapat aduan ramai penduduk berpendapatan rendah
terjejas dari segi ekonomi, sosial dan pergaulan, mereka sudah terjejas
sebelum ini ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan terpaksa pula
berhadapan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara
Pentadbiran (TEMCO) ketika ini.
“Ada peniaga mengaku terpaksa mengeluarkan semua wang
simpanan bagi membeli barang perniagaan, namun tidak dapat berniaga
menyebabkan dia mengalami kerugian dan hampir bankrap,” katanya ketika ditemui di Alor Setar, hari ini.
Mohamad Yusrizal berkata, pihaknya juga meminta mahkamah tidak
membenarkan Nezar Mohamed yang berstatus penduduk tetap meninggalkan
Napoh dan negara ini berikutan dia adalah warganegara India.
Sementara itu, peguam mewakili CAKE, Mohammad Zunun Baihakky berkata,
pihaknya menjangkakan Mahkamah Tinggi akan mengambil masa kira-kira
seminggu bagi melulus atau menolak saman dikemukakan plaintif.
Katanya, selepas keputusan itu, pihaknya akan menghantar writ saman
ke atas defendan yang kini masih menjalani kuarantin wajib di Hospital
Alor Setar.
Sebelum ini, Nezar Mohamed yang menjadi individu pertama positif
Covid-19 bagi Kluster Sivagangga dihukum penjara lima bulan dan denda
RM12,000 kerana didapati bersalah ingkar perintah kuarantin.
Akibat perbuatannya itu, lebih 45 kes positif Covid-19 dilaporkan
berlaku di Kubang Pasu, Padang Terap dan Kulim. – myMetro Online
KUALA LUMPUR: Bekas Pengurus Kanan
Teknikal di Lembaga Tabung Haji mengaku tidak bersalah di Mahkamah
Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah
melebihi RM170,000 pada 2015 dan 2018.
Zaharudin Hamid, 47, yang bertugas di
Seksyen Pembangunan Hartanah didakwa menerima tiga keping cek berjumlah
RM170,477 daripada seorang pengarah sebuah syarikat juruperunding
pembinaan, Yusaidi Mohd. antara 5 Oktober 2015 dan 24 Mei 2018 di
Maybank Desa Pandan di sini.
Cek yang didepositkan ke dalam akaun
kakaknya adalah sebagai upah mencadangkan syarikat Consoline Sdn. Bhd.
dan Syarikat MNB Engineering Sdn. Bhd. bagi kerja-kerja ubah suai
pejabat TH Ipoh (IFiC), Perak dan tiga di Johor iaitu TH Muar, TH Batu
Pahat serta TH Kluang.
Pertuduhan terhadapnya dibuat
mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
(SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang
memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang
daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau
mana-mana yang lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan
Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Abdul Rashid
Sulaiman manakala tertuduh diwakili peguam bela, M. Athimulan.
Pendakwaan mencadangkan jaminan
sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan iaitu
tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan perlu melapor
diri ke Ibu Pejabat SPRM sebulan sekali.
Athimulan bagaimanapun memohon agar
jumlah tersebut dikurangkan memandangkan anak guamnya mengalami
kemurungan dan tidak lagi bekerja.
Hakim Rozina Ayob menetapkan ikat
jamin sebanyak RM50,000 dan turut memerintah Zaharudin menyerahkan
pasportnya kepada mahkamah untuk disimpan oleh mahkamah dan lapor diri
setiap bulan di Ibu Pejabat SPRM Kuala Lumpur sebulan sekali sehingga
kes selesai.
Mahkamah kemudian menetapkan 22 September ini untuk sebutan semula kes. – UTUSAN
Bekas
Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad hadir ke mahkamah berhubung kes
penyelewangan Felda Investment Corporation (FIC) di Mahkamah Tinggi
Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL
KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Felda, Tan
Sri Mohd Isa Abdul Samad memberitahu mahkamah bahawa bekas Pegawai
Khasnya pernah mengaku terpaksa menggunakan nama beliau untuk melepaskan diri daripada tuduhan rasuah ketika disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Beliau yang membela diri di kandang saksi berkata, pengakuanMuhammad Zahid Md Arip itu dibuat setelah memaklumkannya bahawa beliau berada dalam keadaan tertekan.
Menurutnya, meskipun telah memberitahu Muhammad Zahid untuk membetulkan keterangannya, namun perkara itu tidak dilakukannya.
“Masa saya jumpa dia, dia kata salah satu
dari tiga sel tahanan SPRM ada hantu. Sebab itu dia tertekan dan
terpaksa menggunakan nama saya untuk melepaskan diri.
“Saya memintanya betulkan dia kata dia
akan buat (betulkan tuduhan dia). Lama kelamaan tidak ada apa berlaku
sehingga saya berjumpanya di pejabat SPRM, saya katakan lagi Zahid
betulkan sebelum bawa ke mahkamah.
“Sebab ini soal maruah saya. Dia kata kejap saya buat. Tapi tiada apa yang berlaku sehingga saya dibawa ke mahkamah.
“Dia nyatakan seolah-olah saya terlibat,” katanya ketika disoal oleh peguam belanya, Datuk Salehuddin Saidin.
Mohd Isa menghadapi sembilan pertuduhan rasuah
berjumlah lebih RM3 juta berhubung pembelian Merdeka Palace Hotel &
Suites (MPHS).
Kenyataan Muhammad Zahid diganggu hantu ternyata menarik perhatian para hadirin dalam mahkamah termasuk pengamal media.
Bukan sahaja tidak pernah mengarahkan
Muhammad Zahid untuk menyampaikan ‘salam’ kepada bekas pemilik MPHS,
Ikhwan Zaidel yang didakwa simbolik untuk meminta wang suapan, menerusi
keterangan bertulisnya Isa menolak tuduhan menerima sendiri wang tunai
sebanyak sembilan kali di pejabatnya.
Mohd Isa menegaskan, semua tuduhan bekas Pegawai Khasnya terhadap beliau hanya rekaan dan merupakan pembohongan semata-mata.
Jelas beliau, ketika Muhammad Zahid mempertemukannya dengan Ikhwan
sebanyak dua kali, beliau menyatakan tidak mempunyai kuasa memberi
kelulusan untuk urusan pengambilalihan MPHS melainkan hanya dengan
kesepakatan daripada semua Ahli Lembaga Pengarah.
Mohd Isa yang dituduh menerima rasuah
lebih RM3 juta itu turut memberitahu mahkamah hari ini bahawa beliau
pernah mengesyaki Muhammad Zahid mempunyai kepentingan dalam urusan
pembelian hotel berkenaan selepas memperkenalkan Ikhwan kepadanya dan
pernah ke Sarawak atas alasan mengadakan pertemuan dengan ahli politik
negeri berkenaan.
“Dalam hati kecil saya terdetik
(mengesyakinya) juga tapi saya memikirnya dia juga nak berjumpa ahli
politik Sarawak,” katanya lagi.
Mengenali Muhammad Zahid, Isa berkata, keperibadian bekas Pegawai Khasnya itu sentiasa melarikan diri demi kepentingan diri.
“Muhammad Zahid memang perangai begitu,
mesti lepaskan dirinya. Sebab itu dalam politik dia lompat-lompat mana
yang dapat beri dia keuntungan dia akan pergi, itu peribadi dia stail
dia,” tambahnya.
Malah Mohd Isa sendiri mendedahkan beliau tidak sepenuhnya bersetuju untuk melantik Muhammad Zahid sebagai Pegawai Khas setelah melihat rekodnya yang disifatkan sebagai ‘kurang baik’.
Bagaimanapun atas permintaan Datuk Seri
Najib Razak yang pada waktu itu merupakan Perdana Menteri, Mohd Isa
bersetuju melantiknya.
“Apabila hampir pilihan raya tahun 2014
dan saya melantik beliau atas permintaan PM, Datuk Seri Najib Razak jadi
saya lantiklah . Saya lihat rekodnya tidak begitu elok. Tapi oleh
kerana PM mahu. Saya tidak berminat sangat jadikan dia Pegawai Khas tapi
kerana permintaan Datuk Seri Najib,” ujarnya.
Prosiding yang bermula hari ini dijangka berlangsung selama tiga hari. – MalaysiaGazette
Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim. foto MOHD ADZLAN
KUALA LUMPUR – Perbicaraan tiga kes rasuah berjumlah RM5.4
juta membabitkan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul
Rahim berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah serta sembilan
pertuduhan pengubahan wang haram sebanyak RM140 juta ditangguhkan hari
ini.
Kes rasuah ini ditangguh kepada esok kerana Abdul Azeez terpaksa
menghadiri sesi Parlimen bagi mengundi Rang Undang-Undang (RUU) )
Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus
2019 (COVID-19) 2020.
Peguam mewakili tertuduh, Hisyam Teh Poh Teik memaklumkan
kepada hakim permohonan penangguhan perbicaraan kerana anak guamnya
perlu menjalankan tanggungjawabnya sebagai Ahli Parlimen.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Aslinda Ahad memaklumkan kepada
mahkamah bahawa pihak pendakwaan tidak keberatan terhadap permohonan
penangguhan tersebut.
Hari ini sepatutnya merupakan hari pertama perbicaraan rasuah Abdul
Azeez dan abangnya, Datuk Abdul Latif Abdul Rahim dibicarakan
bersama-sama.
Pada masa sama, seorang lagi peguam Abdul Azeez, M Athimulan
memberitahu mahkamah pihak pembelaan perlukan penangguhan kerana
keterangan saksi pendawaan hanya diberikan minggu lepas.
“Kami perlukan masa untuk meneliti keterangan saksi sebelum perbicaraan ini bermula,” terangnya.
Mengikut peruntukan, keterangan saksi pendakwaan perlu diserahkan kepada pihak pembelaan 14 hari sebelum perbicaraan dimulakan.
Hakim Azura Alwi kemudian menetapkan penangguhan sehingga 9 pagi esok
selain mengarahkan pihak pendakwaan untuk memastikan kesemua sembilan
saksi pendakwaan memberi keterangan esok.
Pada 16 Januari lalu, Abdul Azeez didakwa atas tiga pertuduhan
menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta daripada Pengarah Syarikat Menuju
Asas Sdn Bhd, Mohammad Redzuan Mohanan Abdullah sebagai upah membantu
syarikat itu mendapatkan projek-projek pembinaan jalan raya di Perak dan
Kedah antara 8 Disember 2010 dan 10 April 2018.
Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji itu didakwa mengikut Seksyen
16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh
dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman
penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali
ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mengikut mana lebih tinggi.
Beliau juga didakwa atas sembilan tuduhan melakukan pengubahan wang
haram dengan menerima wang berjumlah hampir RM140 juta daripada empat
syarikat di sekitar Lembah Klang, di sini antara tahun 2010 dan 2018.
Kesemua tuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta
Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan
Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum mengikut Seksyen
4(1) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15
tahun dan denda.
Sementara itu, Abdul Latif turut mengaku tidak bersalah atas dua
tuduhan bersubahat dengan Abdul Azeez menerima rasuah berjumlah RM4 juta
bagi beberapa projek pembinaan lebuh raya dan naik taraf jalan raya.
Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM
2009 dan dibaca bersama seksyen 16(a)(A) dan seksyen 24(1) akta yang
sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda. –
MalaysiaGazette
Bekas
pengerusi Felda Mohd Isa Samad menghadapi 9 pertuduhan menerima rasuah
di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM berkait pembelian Merdeka Palace
Hotel & Suites oleh Felda Investment Corporation 6 tahun lepas.
KUALA LUMPUR: Bermula esok, bekas pengerusi Felda Mohd Isa Samad akan
membela diri di Mahkamah Tinggi di sini terhadap 9 pertuduhan rasuah
berjumlah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites
(MPHS) oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB), 6 tahun
lepas.
Peguamnya Salehuddin Saidin semasa dihubungi berkata, Isa akan menjadi saksi pembelaan pertama memberi keterangan.
Kes berkenaan ditetapkan bermula pada 9 pagi di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
Sebelum ini, hakim menetapkan 3 hari untuk mendengar kes pembelaan itu bermula 17 Ogos.
Isa, 71, memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari
tempat duduk saksi. Beliau akan disoal terlebih dahulu oleh peguamnya
semasa pemeriksaan utama dan kemudian pemeriksaan balas oleh pihak
pendakwaan.
Pada 16 Jun, hakim memerintahkan Isa membela diri terhadap 9
pertuduhan rasuah setelah pendakwaan berjaya membuktikan setiap unsur
penting kesalahan menerima rasuah di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Hakim memutuskan bahawa 9 pengeluaran tunai oleh seorang saksi
pendakwaan, pemegang saham dan pengarah JV Evolution Sdn Bhd, Azizi
Abdul Wahab, mencukupi sebagai keterangan boleh dipercayai bagi
membuktikan inti pati pertuduhan bagi kesalahan menerima rasuah yang
dihadapi Isa.
JV Evolution Sdn Bhd adalah ejen yang dilantik oleh Gegasan Abadi
Properties Sdn Bhd (GAPSB) dan bekas pengarahnya ialah Ikhwan Zaidel,
60, untuk menguruskan penjualan Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS)
oleh GAPSB, pemilik hotel berkenaan ketika itu.
“Ikhwan kemudian menyerahkan wang tunai itu kepada pegawai khas Isa,
iaitu Muhammad Zahid Md Arip, yang akhirnya memberikan wang tersebut
kepada tertuduh sebagaimana yang dinyatakan dalam kesemua 9 pertuduhan,”
kata hakim itu dalam penghakimannya.
Mahkamah bagaimanapun membebaskan Isa daripada 1 pertuduhan pecah
amanah jenayah (CBT) yang dihadapinya membabitkan pembelian hotel sama
selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie bagi
pertuduhan itu.
Pihak pendakwaan menutup kesnya pada 14 Januari lepas setelah
perbicaraan berlangsung 15 hari dengan 22 saksi dipanggil memberi
keterangan.
Isa menghadapi 9 pertuduhan rasuah, iaitu menerima suapan untuk
dirinya berjumlah RM3,090,000 daripada Ikhwan Zaidel, iaitu ahli lembaga
Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd, menerusi individu bernama Muhammad
Zahid Md Arip, sebagai tanda terima kasih bagi membantu meluluskan
pembelian hotel oleh FICSB bagi RM160 juta.
Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di tingkat 49, Menara Felda,
Platinum Park, No. 11, Persiaran KLCC di sini antara 21 Julai, 2014 dan
11 Disember, 2015.
Setiap pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut
Seksyen 24(1) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun
dan denda tidak kurang 5 kali ganda jumlah atau nilai suapan atau
RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Naib
Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama calon calon
Barisan Nasional (BN) ,Mohd Zaidi Aziz mengecat mural disebuah dinding
semasa sesi walkabout sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N. 58 di
Pekan Slim River, Perak. foto AFFAN FAUZI
SLIM RIVER – Kadar kompaun yang sedia ada sebanyak RM1,000
kepada individu yang masih ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan
(PKPP) masih boleh dikurangkan.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata,
pengurangan itu atas budi bicara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)
yang mengeluarkan kompaun itu.
Oleh itu jelas beliau, tiada keperluan untuk meminda akta untuk mengurangkan kadar kompaun ketika ini.
“Setiap denda tidak kira dalam mahkamah atau sebagainya,
ia cuma menetapkan denda maksimum dan masih lagi mereka boleh merayu untuk dapat pengurangan.
“Dalam mahkamah misalnya penjara dua tahun sebagai contoh tidak kira
akta mana-mana pun atau hukuman denda sebanyak RM10,000 sebagai contoh
maksimum, hakim ada budi bicara kurangkan hukuman tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri majlis Santai Melukis Mural di Pasar Slim River di sini hari ini.
Ismail diminta mengulas tindakan Ahli Parlimen pembangkang baru-baru
ini yang mendesak kerajaan supaya mengkaji semula kadar denda sebanyak
RM1,000 yang dikenakan terhadap mereka tidak memakai pelitup muka.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO hadir sempena kempen Pilihan Raya
Kecil Dewan Undangan Negeri Slim untuk calon Barisan Nasional, Mohd
Zaidi Aziz.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, sebarang pindaan akta
memerlukan masa sedangkan kes sedang berlaku dan tindakan perlu
dilakukan sekarang.
“Hendak pinda (akta) makan masa dan dalam sesi parlimen kali ni tidak
sempat. Kita akan tunggu parlimen akan datang. Lagi berapa lama hendak
tunggu, jadi kita teruskan tapi budi bicara boleh digunakan.
“Yang saya sentuh bukan Akta 342 (Akta Pencegahan Dan Pengawalan
Penyakit Berjangkit 1988) hanya hendak beri gambaran iaitu di mahkamah
atau di mana-mana, kompaun masih boleh dikurangkan.
“Polis pun banyak kali beri pengurangan kompaun kalau bayar cepat satu ketika dulu.
“Walaupun kompaun ditetapkan pengurangan atas budi bicara,” katanya. – MalaysiaGazette
Nama
ahli perniagaan “Datuk Seri” G Gnanaraja sebelum ini pernah terpalit
dengan dakwaan rasuah membabitkan projek terowong dasar laut Pulau
Pinang.
Projek berkenaan yang bernilai RM6.3 bilion turut
menyaksikan bekas ketua menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dihadapkan ke
mahkamah baru-baru ini atas tuduhan menyalahgunakan kedudukan untuk
meminta dan menerima suapan, masing-masing sebanyak 10 peratus dari nilai keuntungan projek dan RM3.3 juta.
Bagaimanapun Guan Eng mengaku tidak bersalah atas pertuduhan-pertuduhan berkenaan dan minta dibicarakan.
Pada
27 Feb 2018, Gnanaraja ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
(SPRM) kerana disyaki menerima rasuah RM19 juta bagi mempengaruhi
penutupan siasatan projek berkenaan.
Dia
yang ketika itu berumur 37 tahun disiasat kerana dipercayai menerima
wang berkenaan dari sebuah syarikat Consortium Zenith Construction Sdn
Bhd, selepas mendakwa dia mampu “menyelesaikan” siasatan yang dijalankan
oleh SPRM.
Pengarah Urusan syarikat tersebut merupakan Zarul Ahmad Mohd Zulkifli iaitu kontraktor utama yang dilantik bagi projek tersebut.
Pada 3 April 2019, Gnanaraja dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam.
Dia
dituduh memperdaya Zarul sebanyak tiga kali pada 2017 untuk mempercayai
bahawa dia mempunyai hubungan politik yang mampu membantu untuk menutup
siasatan SPRM terhadap Zarul.
Dalam tuduhan pertama, Gnanaraja
didakwa memperdayakan Zarul supaya menyerahkan RM2 juta kepadanya di
Hotel Eastin, Selangor sekitar Julai 2017.
Untuk tuduhan kedua,
dia dituduh memperdayakan Zarul agar menyerahkan RM15 juta secara rentas
akaun di bank CIMB cawangan KLCC pada bulan yang sama.
Bagi
tuduhan ketiga, Gnanaraja dituduh melakukan kesalahan sama dengan
memperdayakan Zarul supaya menyerahkan tambahan RM2 juta kepadanya di
Hotel Eastin, Selangor, sekitar Ogos 2017.
Bagaimanapun Gnanaraja mengaku tidak bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan.
Dituduh lagi 68 pertuduhan
Pada 8 April 2019, Gnanaraj didakwa lagi di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 68 pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM11.4 juta.
Dana
tersebut didakwa dipindahkan dari akaun Bumi Muhibah Capital Holding
Sdn Bhd (Bumi Muhibah) ke pelbagai akaun lain termasuk Kementerian Dalam
Negeri (KDN), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan syarikat serta
individu lain.
Tertuduh yang dikatakan pengarah serta pemilik
syarikat Bumi Muhibah didakwa memindahkan RM2.2 juta wang haram kepada
KDN pada 19 Sept 2017.
Dia juga didakwa memindahkan wang haram
sebanyak RM108,580.80 melalui cek kepada akaun Zenith Consulting
Services pada 25 Okt 2017 dan RM15,614.70 ke akaun LHDN pada 15 Jan
2018.
Mengikut pertuduhan pertama sehingga ke-68, ia melibatkan
dua organisasi iaitu LHDN dan KDN, 26 buah syarikat termasuk Zenith
Consulting Services Sdn Bhd dan 10 individu.
10 individu itu ialah
Tan Su Cheng, You Hui Koon, Koh Yee Phok, Lim Voi Heng, Lee Sue Wee,
Teh Eng Soon, S. Jeewanathan, K.Thiagu, K. Boohalan dan Kee Bee Sim.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Cawangan KLCC, Jalan Ampang antara 28 Julai 2017 dan 18 Jan 2018.
Dia
bagaimanapun sekali lagi mengaku tidak bersalah atas semua petuduhan di
hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Rozina Ayob.
Gelaran ‘Datuk Seri’ ditarik balik
Gnanaraja, 39, yang turut dikenali sebagai “Dato Sri G” atau “DSG” memperolehi gelaran “Datuk Seri” daripada Istana Pahang pada Mac 2014.
Bagaimanapun,
pada 3 April 2019 dilaporkan bahawa Istana Pahang telah menarik balik
kurniaan darjah kebesaran tersebut, yang berkuat kuasa pada 13 Mac 2019.
Berita tersebut muncul selepas dia dituduh menipu RM19 juta untuk menutup siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang.
Gambar bersama Guan Eng
Pada Mac 2018, gambar Gnanaraja bersama Lim tersebar dan secara tidak langsung menimbulkan kecurigaan mengenai hubungan mereka.
Lim menafikan dirinya mengenali Gnanaraja secara dekat.
Sebaliknya,
Pejabat Ketua Menteri dalam kenyataannya, menyatakan bahawa sebagai
seorang pemimpin yang dikenali ramai, Lim berhak bergambar kenangan
bersama sesiapa yang dikehendakinya.
Kenyataan itu juga
berkata, sebagai seorang yang dikenali, Lim pernah bergambar dengan
ramai personaliti dan beliau tidak mampu mengingati berapa banyak atau
di mana gambar itu dirakamkan.
Isteri dan dunia lakonan
Selain
memegang jawatan presiden di persatuan usahawan agro, Agro Malaysia,
Gnanaraja turut membintangi trailer filem di Youtube, ‘G The Movie
Official Teaser’ pada 2017.
Trailer tersebut menampilkan dirinya bersama seorang pelakon wanita dengan babak yang penuh aksi dan romantik ala “James Bond.”
Bagaimanapun, berdasarkan carian Malaysiakini, filem penuh tersebut tidak dijumpai.
Selain itu, dia juga aktif mengemaskini aktiviti hariannya di media sosial dan mempunyai 621,000 pengikut di Instagram.
Untuk
rekod, dia berkahwin dengan isterinya, Geethanjali G yang juga
personaliti media sosial yang terkenal di kalangan komuniti berbahasa
Tamil pada Feb 2012 dan mempunyai anak kembar lelaki.
Pada 2016,
pelantikan Geethanjali sebagai sebagai penasihat khas media menteri
pendidikan ketika itu Mahdzir Khalid dilaporkan ditarik balik dalam masa
kurang 24 jam.
Bagaimanapun, sebab penarikan balik pelantikan tersebut tidak dinyatakan oleh pihak kementerian.
Geethanjali merupakan bekas finalis Miss Malaysia Universe 2009 dan pernah menjadi penghebah radio.
Pada
Jun 2013, dia dinobatkan dalam senarai 10 wanita yang paling berkuasa
di Malaysia pada tahun tersebut, yang diterbitkan oleh akhbar The Star.
Turut berada dalam senarai tersebut ialah Rosmah Mansor, Zeti Akhtar Aziz, Michelle Yeoh, Nurul Izzah Anwar dan Marina Mahathir.
Dia
berdepan dengan spekulasi bahawa dirinya atau syarikatnya G Global
Media - sebuah syarikat promosi dan produksi - telah membuat senarai
tersebut dan membayar iklan di halaman akhbar tersebut untuk publisiti
dirinya sendiri.
Geethanjali telah menafikan dakwaan itu.
Didakwa terlibat penipuan skim pelaburan
Pada Nov 2016, bekas setiausaha agung MIC, S. Vell Paari mendakwa Gnanaraja dan isterinya, Geethanjali sebagai dalang skandal penipuan pelaburan
yang melibatkan kerugian berjuta ringgit kepada mangsa-mangsa skim
pelaburan tersebut selepas memasukkan wang akaun Yayasan Usaha Ventures
Malaysia.
Menurut Vell Paari, mereka menggunakan yayasan tersebut
yang bertindak sebagai syarikat induk dalam mendapatkan wang daripada
pelabur di bawah syarikat Venus FX.
Difahamkan pasangan suami
isteri itu menggunakan nama Najib Razak yang merupakan perdana menteri
ketika itu dan isterinya Rosmah Mansor dalam kegiatan mereka.
Bagaimanapun, kedua-duanya menafikan dakwaan tersebut dalam satu kenyataan bersama.
Nantikan perkembangan lanjut yang menyorot ke dalam dunia ‘Dato Seri G’ yang menarik perhatian ini.
Wanita
warga emas yang sebelum ini tular sebagai ‘makcik gelang pink’, hari
ini dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret di sini atas kesalahan tidak mematuhi perintah pengawasan dan pemerhatian ketika dikenakan perintah kuarantin, awal bulan lepas.
IPOH – Wanita warga emas yang sebelum ini tular sebagai ‘makcik
gelang pink’, hari ini dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM8,000
oleh Mahkamah Majistret di sini atas kesalahan tidak mematuhi perintah
pengawasan dan pemerhatian ketika dikenakan perintah kuarantin, awal
bulan lepas.
Majistret Nabihah Mohd Noor menjatuhkan hukuman terhadap Nur Emah
Mohamad Hashim, 72, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan
melakukan kesalahan itu di sebuah restoran, di Lengkok Meru Permai 1,
Halaman Meru Permai, kira-kira 8 pagi, 6 Julai lepas.
Mahkamah turut memerintahkan wanita yang hadir memakai jubah
hitam itu menjalani hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda
itu.
Dia dituduh tidak mematuhi perintah pengawasan dan pemerhatian di
bawah Subseksyen 15(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit
Berjangkit 1988 yang diarahkan Pegawai Diberi Kuasa Syarifudin Abu Bakar
di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Selangor, pada
pukul 5.30 petang, 4 Julai lepas.
Tertuduh didakwa mengikut Sub Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan
Pengawalan Berjangkit 1987 dan boleh dihukum di bawah Sub Seksyen 24(a)
akta yang sama, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau
denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Ketua Pegawai Kesihatan Persekitaran Jabatan
Kesihatan Negeri (JKN) Perak Ahmad Fakurazi Abu Bakar manakala tertuduh
tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Ahmad Fakurazi memohon mahkamah memberikan hukuman yang
setimpal kepada tertuduh dengan mengambil kira kesalahan yang
dilakukannya.
Nur Emah yang merupakan ibu tunggal dalam rayuannya dengan nada sebak
sambil mengalirkan air mata memohon hukuman ringan kerana itu merupakan
kesalahan pertamanya selain mempunyai masalah kesihatan.
Mengikut fakta kes, pada 21 Julai lepas, JKN Perak menerima aduan
mengenai tular satu gambar seorang wanita memakai gelang perintah
pengawasan di rumah tidak berada di alamat yang diperintahkan dan
didapati keluar makan di restoren Hanaz Cafe, di Meru Raya.
Susulan itu, siasatan telah dijalankan oleh Pegawai Diberi Kuasa dari
Pejabat Kesihatan Daerah Kinta dan mendapati wanita itu merupakan orang
kena perintah pengawasan dan pemerintahan mengikut Seksyen 15, Akta
Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, bermula 4 hingga 18
Julai lepas.
Tertuduh telah berada di restoran itu pada 6 Julai lepas walaupun
diperintahkan menjalani kuarantin di rumah selepas pulang dari United
Kingdom pada 4 Julai lepas, bagi membendung penularan COVID-19.— BERNAMA
Budi bicara tentu ukuran hukuman bukan sebahagian dari kuasa kehakiman
PUTRAJAYA –
Parlimen mempunyai kuasa untuk menggubal perundangan dan menetapkan
hukuman bagi kesalahan termasuk hukuman mati mandatori, demikian putus
Mahkamah Persekutuan hari ini.
Hakim
Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed yang menyampaikan keputusan
mahkamah dengan majoriti 8-1 itu berkata, penetapan hukuman adalah hak
prerogatif Parlimen.
Beliau berkata, budi bicara untuk menentukan ukuran hukuman bukan sebahagian daripada kuasa kehakiman.
“Mahkamah hanya diberi kuasa untuk menjatuhkan hukuman dalam parameter hukuman yang ditetapkan oleh Parlimen,” katanya.
Panel
sembilan hakim itu dipengerusikan oleh Presiden Mahkamah Rayuan Datuk
Rohana Yusuf, menyampaikan keputusan mereka dalam rayuan oleh empat
individu yang membangkitkan isu perlembagaan mengenai peruntukan Akta
Dadah Berbahaya 1952 (ADB) dan Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang
menjatuhkan hukuman mati mandatori masing-masing bagi kesalahan mengedar
dadah dan membunuh.
Kecuali
Hakim Nallini Pathmanathan yang tidak setuju, hakim yang lain – Rohana,
Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abang Iskandar Abang Hashim,
Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Abdul
Rahman Sebli, Puan Sri Zaleha Yusof, Datuk Zabariah Md Yusof dan Datuk
Hasnah Mohammed Hashim – mewakili keputusan majoriti.
Keputusan
itu disampaikan hampir empat jam di Dewan Banquet Istana Kehakiman yang
diubah suai untuk perbicaraan bagi mematuhi penjarakan fizikal.
Dalam
keputusannya, Azahar berkata, mahkamah tidak boleh dengan sesuka hati
menjatuhkan hukuman sebagaimana yang diinginkan jika undang-undang tidak
mengizinkannya.
“Kuasa
menjatuhkan hukuman adalah undang-undang dan mahkamah tidak boleh
melebihi atau mengehadkan kuasa menjatuhkan hukuman atas nama
menjalankan kuasa kehakimannya,” katanya.
Beliau
berkata, peruntukan Seksyen 39B ADB dan Seksyen 302 Kanun Keseksaan
tidak merampas kuasa kehakiman atau melanggar doktrin pemisahan kuasa.
“Pada
pendapat saya, sebarang masalah kontroversi dasar yang melibatkan
pandangan berbeza mengenai isu moral dan sosial adalah satu keadaan di
mana Parlimen berada di kedudukan yang lebih baik untuk menilai
keperluan masyarakat dan membuat pilihan sukar antara
pertimbangan-pertimbangan yang ada,” katanya.
Azahar
berkata, dalam konteks masyarakat Malaysia, Parlimen sebagai badan
perundangan yang dipilih merupakan badan yang sesuai untuk menentukan
hukuman bersesuaian terhadap pengedar dadah dan pembunuh, atas kesalahan
yang dianggap oleh masyarakat sebagai jenayah paling serius.
Beliau
berkata, justeru, adalah sewajarnya keputusan dan inisiatif untuk
mengubah atau memansuh hukuman mati mandatori datang daripada Parlimen.
Dalam
keputusannya, Nallini berkata, kuasa perundangan Parlimen untuk
menetapkan hukuman tertakluk kepada penelitian kehakiman untuk
memastikannya tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan.
“Ia
membenarkan badan kehakiman menyemak dan mengimbang kuasa eksekutif dan
badan perundangan dengan mengetepikan undang-undang yang tidak mematuhi
Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Nallini berkata, Seksyen 39B ADB dan Seksyen 302 Kanun Keseksaan tidak mengikut perlembagaan.
“Saya
telah memutuskan bahawa hukuman mati mandatori tidak mengikut
perlembagaan kerana melanggar Perkara 5 (1) (kebebasan individu) dan
Perkara 8 (1) (semua orang adalah sama di sisi undang-undang)
Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Mahkamah
Persekutuan juga memutuskan mengenai merit rayuan keempat-empat individu
tersebut -warga Afrika Selatan Letitia Bosman dan Benjamin William
Hawkes, warga Peru Jorge Crespo Gomes dan P. Pubalan, rakyat Malaysia
yang memiliki syarikat keselamatan, yang merayu terhadap sabitan dan
hukuman mati yang dihadapi mereka.
Bagi Bosman dan Hawkes, mahkamah mengesahkan sabitan mereka atas kesalahan mengedar dadah dan hukuman mati.
Mahkamah
mensabitkan Gomes dengan tuduhan memiliki 779 gram kokain dan dia
dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bermula tarikh tangkapnya pada 27 Jun,
2016.
Sementara
itu, mahkamah mengetepikan sabitan Pubalan atas pertuduhan membunuh
iparnya D. Murali dan menjatuhkan hukuman atas tuduhan membunuh tanpa
niat. Dia dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dari tarikh penangkapannya
pada 7 Nov 2013.
Peguam
Abdul Rashid Ismail mewakili Bosman, Hawkes dan Gomes manakala peguam
Hisyam Teh Poh Teik mewakili Pubalan. Pendakwaan diwakili Timbalan
Pendakwa Raya Datuk Nik Suhaimi Nik Sulaiman. – Bernama
Pemilik
kedai Nasi Kandar Salleh di Napoh, Kubang Pasu dihukum penjara lima
bulan dan denda RM12,000 oleh Mahkamah Majistret Alor Setar selepas
mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan tidak mematuhi perintah
pengawasan dan pemerhatian pada 14 Julai lepas sehingga mencetuskan
kluster Sivagangga.
Majistret Mohd Hadi Hakimi Harun menjatuhkan
hukuman itu terhadap Nezar Mohamed Sabur Batcha, 57, pada sesi
pertuduhan khas yang diadakan di Hospital Lama Alor Setar, tempat
tertuduh dikuarantin selepas didapati positif COVID-19.
Nezar
Mohamed dituduh meninggalkan premis yang ditetapkan untuk menjalani
pengawasan dan pemerhatian yang dikeluarkan terhadapnya di bawah Seksyen
15(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Dia
dituduh melakukan kesalahan itu di premis Bank Rakyat Cawangan Jitra
pada 4.40 petang; di premis Agro Bank Cawangan Jitra pada 3.58 petang;
di premis Pusat Khidmat Hasil Kubang Pasu, Lembaga Hasil Dalam Negeri
(LHDN) pada 3.35 petang dan di premis Public Bank Cawangan Jitra pada 3
petang, 14 Julai lepas.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 22(b)
dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(a) Akta Pencegahan dan Pengawalan
Penyakit Berjangkit 1988, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara
maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Nezar Mohamed
dijatuhi hukuman penjara lima bulan, menjadikan jumlahnya 20 bulan,
bermula hari ini dan denda RM,3000 bagi setiap pertuduhan dan hanya
perlu menjalani hukuman penjara lima bulan selepas mahkamah
memerintahkan hukuman itu berjalan serentak.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zabidah Ahmad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu,
Zabidah memohon mahkamah mengenakan hukuman penjara terhadap tertuduh
sebagai pengajaran kepadanya dan rakyat agar tidak melanggar perintah
yang dikeluarkan oleh kerajaan.
Katanya tertuduh telah menyebabkan
kesihatan awam terjejas dengan tercetusnya kluster Sivagangga pada 28
Julai lepas, melibatkan tiga daerah di Kedah (Kubang Pasu, Kulim, Padang
Terap), satu daerah di Perlis (Kangar) dan dua daerah di Pulau Pinang
(Seberang Perai Selatan dan Seberang Perai Tengah).
“Ekonomi
negara juga terjejas kerana Kluster Sivagangga telah menyebabkan
kerajaan kerugian lebih RM1 juta di kawasan TEMCO (Perintah Kawalan
Pergerakan Diperketatkan Bersasar) daerah Kubang Pasu sahaja dan
menyebabkan keresahan dan kebimbangan kepada masyarakat umum,” katanya.- Bernama
Daripada
92 cek bernilai hampir RM77 yang dimasukkan ke akaun pelanggan yang
dibuka untuk Yayasan Al-Falah di firma guaman tetuan Lewis & Co,
tidak ada satu pun datang daripada Yayasan Al-Falah sendiri.
Menurut
rakan kongsi di Lewis & Co, B Muralidharan, kesemua cek dan cek
jurubank itu sebaliknya diberikan oleh Ahmad Zahid Hamidi untuk
dimasukkan ke akaun pelanggan tersebut.
Katanya, arahan untuk
membuka akaun pelanggan untuk Yayasan Al-Falah tersebut juga dibuat atas
arahan Ahmad Zahid, malah satu fail dibuka untuk Yayasan Al-Falah
mengandungi lejar bagi merekod semua transaksi itu juga dibuat atas
arahan Ahmad Zahid.
Muralidharan
berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh timbalan pendakwa raya
Raja Rozela Raja Toran dalam perbicaraan rasuah, pengubahan wang haram
dan pecah amanah melibatkan Ahmad Zahid yang masuk hari ke-33 di
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Raja Rozela: Kenapa rekodkan kesemua cek atau transaksi berkaitan 92 cek ini di bawah fail Yayasan Al-Falah?
Muralidharan: Saya diarahkan untuk simpan di dalam (fail) Yayasan Al-Falah.
Raja Rozela: Siapa arahkan untuk buka fail Al-Falah?
Muralidharan: Datuk Seri Zahid.
Lagi,
katanya, arahan untuk menyimpan wang itu di dalam akaun pelanggan itu
juga tidak datang daripada Yayasan Al-Falah, tetapi dari Ahmad Zahid.
Raja Rozela: Adakah arahan (simpan wang dalam akaun pelanggan Yayasan Al-Falah) datang daripada Al-Falah?
Muralidharan: Tak. (Arahan dari) Datuk Seri Zahid.
Menurut
keterangan saksi ke-66 pada 17 Jun lalu, peguam dan ahli lembaga
pemegang amanah Yayasan Al-Falah, Faisalludin Mohamat Yusuff, Yayasan
Al-Falah dipengerusikan oleh adik Ahmad Zahid, Mohamad Nasaee Ahmad
Tarmizi, yang juga merupakan pemegang amanah sepertinya dan
penandantangan wajib bagi yayasan tersebut.
Faisalludin turut
menjelaskan perbezaan kedua-dua yayasan berkenaan, iaitu Yayasan
Al-Falah ialah yayasan keluarga besar Hamidi@Ahmad Tarmidzi Radin Abdul
Fateh, manakala Yayasan Akalbudi pula adalah untuk Ahmad Zahid seorang
sahaja.
Ahmad Zahid merupakan pengasas, pemegang amanah, dan penandatangan tunggal Yayasan Akalbudi.
Ahmad
Zahid berhadapan dengan 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan pecah
amanah (CBT) melibatkan dana Yayasan Akalbudi, lapan tuduhan rasuah dan
27 pertuduhan pengubahan wang haram.
Sepanjang perbicaraan
berlangsung, pihak pembelaan konsisten cuba mencadangkan kepada saksi
bahawa Lewis & Co merupakan pemegang amanah kepada Yayasan Akalbudi.
Bagaimanapun, Muralidharan tadi memberikan jawapan senada dengan
seorang lagi rakan kongsi Lewis & Co, V Premshangar semalam, bahawa
Lewis & Co tidak pernah menjadi pemegang amanah untuk Yayasan
Akalbudi.
Menteri
di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan mendakwa bahawa bekas
peguam negara, Tommy Thomas ada menulis nota mengenai surat representasi
Riza Aziz berhubung kes pengubahan wang haramnya yang menunjukkan
bahawa dia secara prinsip bersetuju dengan syarat-syarat penyelesaian.
“Satu
hari selepas peguam Riza Aziz membuat representasi kepada AG (peguam
negara). Pada 19 November 2019, Tommy Thomas telah meneliti surat
representasi ini.
“Setelah dia meneliti surat ini, Tommy Thomas
sebagai AG telah membuat satu nota tulisan tangan, berwarna dakwat merah
di atas surat tersebut, saya baca ini adalah salinan sebenar.
“Surat
ini dituju kepada seorang yang bernama Ram, semua orang kenal,” kata
Takiyuddin, merujuk kepada ketua pendakwa utama kes berkenaan, Gopal Sri
Ram.
Menteri
itu kemudian membaca nota tulisan tangan yang didakwa dari Thomas dari
apa yang didakwanya sebagai salinan asal surat berkenaan.
"'Ram,
berdasarkan pernyataan di perenggan 5.10, 5.14, 5.15, 5.18 dan 5.19,
saya sedia mempertimbangkan representasi. Ini dari Tommy Thomas.
"'Perenggan 5.20 menyebut terma atau syarat penyelesaian yang dicadangkan, saya menunggu nasihat kamu.
"Ditandatangani
oleh Tommy Thomas, pada 19 November, dengan cap meterai Peguam Negara,"
kata Takiyuddin semasa menggulung perbahasan usul titah Yang di-Pertuan
Agong di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Takiyuddin, semua ini ada dalam surat representasi yang dihantar oleh peguam Riza ke pejabat peguam negara.
Dengan
kata lain, dia berkata Tommy pada asasnya telah bersetuju kes Riza Aziz
dibenarkan dikompaun dan diselesaikan tanpa melalui pendakwaan.
Tiada lagi kes mahkamah melibatkan Kerajaan Sarawak dan Petronas.
KUALA LUMPUR : Tiada lagi kes mahkamah melibatkan Kerajaan Sarawak dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas).
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Hanifah Hajar Taib
berkata, ia susulan keputusan kedua-dua pihak yang sepakat menarik balik
rayuan keputusan Mahkamah Tinggi Kuching berhubung kes berkenaan.
Katanya, ini bermakna syarikat petroleum negara itu bersetuju untuk
membayar cukai jualan negeri (SST) lima peritus bagi produk petroleum
kepada Sarawak.
"Dengan ini keputusan Mahkamah Tinggi dikekalkan
dengan penarikan balik rayuan. Ini bermakna Petronas tidak boleh
mempersoalkan kuasa Sarawak untuk mengenakan SST ke atas produk
petroleum," katanya di Dewan Rakyat di sini, pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri
Rohani Abdul Karim mengenai status kes-kes mahkamah berkenaan tuntutan
yang dibuat Sarawak terhadap Petronas.
Untuk rekod Petronas
pada 3 ogos lepas menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah
Tinggi Kuching dalam semakan kehakiman isu bidang kuasa Mahkamah Tinggi
mengenai SST.
Dalam masa yang sama , Kerajaan Sarawak, juga menarik balik rayuan balas berhubung isu sama.
Pada 13 Mac lalu, Mahkamah Tinggi Kuching memutuskan Perkara 95B (3)
Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Dewan Undangan Negeri
Sabah dan Sarawak dibenarkan menggubal undang-undang untuk mengenakan
cukai jualan.
Hakim Mahkamah Tinggi, Azhahari Kamal Ramli,
berkata peruntukan itu menetapkan bahawa mana-mana cukai jualan
dikuatkuasakan oleh undang-undang negeri disifatkan sebagai antara
perkara yang ditetapkan dalam senarai negeri, Ordinan Cukai Jualan
Negeri dan mana-mana perundangan tambahan disenaraikan di bawahnya
adalah berperlembagaan dan sah.
Beliau menolak permohonan
semakan kehakiman oleh Petronas untuk membatalkan notis penilaian
dikeluarkan kerajaan negeri Sarawak memohon syarikat itu membayar SST
berjumlah RM1.3 bilion.