Khamis, 22 Mac 2018

Pas tentang rasuah, bukan tak cukup ‘dedak’ – Idris Ahmad

Nizam Zain
Naib Presiden PAS, Idris Ahmad


KUALA LUMPUR – Pas menentang rasuah bukan kerana marah kepada mana-mana individu, jauh sekali hanya disebabkan tidak cukup ‘dedak’.

Malah penolakan itu bukan retorik semata-mata.

Naib Presidennya, Idris Ahmad menegaskan parti itu menentang jenayah tersebut kerana ia dilarang oleh Allah dan sehingga kini Pas konsisten dengan pendirian berkenaan.

“Pas istiqamah menentang rasuah, sebagaimana sabda Rasulullah SAW bermaksud pemberi rasuah dan penerima rasuah ada di dalam neraka.

“Pas juga menentang politik kronisme, rasuah, nepotisme istilah yang cukup popular sewaktu zaman reformasi 1998.

“Cuma sekarang hanya menjadi bahan sejarah sahaja. Pas juga menentang kleptokrasi. Semua ini memusnahkan negara dan rakyat,” katanya yang dimuat naik di akaun Facebooknya, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan bekas menteri Kabinet, Tan Sri Rafidah Aziz pada Isnin yang mengingatkan rakyat Malaysia agar tidak mengundi pemimpin politik korup.

Beliau berkata, rakyat Malaysia akan bersubahat dengan perbuatan rasuah dan pengkhianatan sekiranya mereka secara sukarela mengundi ahli politik yang korup.

Idris selaku Ahli Parlimen Bukit Gantang juga menyeru rakyat mengubah negara dengan politik yang lebih sejahtera dan menyingkirkan pemimpin mengamalkan rasuah.

“Jenayah rasuah ini amat berbahaya kepada negara dan rakyat. Selain menyebabkan ketirisan dan pembaziran wang negara, turut mempengaruhi imej negara dalam ekosistem perdagangan dan politik antarabangsa,” katanya.

Katanya, Pas tidak akan berkompromi dengan masalah rasuah sama di dalam mahupun atau di luar parti.

“Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low mengatakan bahawa 71 pemimpin Barisan Nasional dan 21 pemimpin Pakatan Harapan (PH) manakala pemimpin Pas sifar dariapda siasatan kesalahan dalam tempoh 2013 hingga 2017, alhamdulillah,” katanya. – MalaysiaGazette.


Tiada ulasan: