Memaparkan catatan dengan label JENAYAH - rasuah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label JENAYAH - rasuah. Papar semua catatan

Rabu, 2 September 2020

Orang Islam kena tolak rasuah seperti mereka jijik kepada babi – Azam

Manzaidi Mohd Amin
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata penangkapan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak akan melibatkan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.
Azam Baki

KUALA LUMPUR – Dua perkara yang agak kritikal perlu dilihat oleh kerajaan dan masyarakat dalam usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan penguatkuasaan pencegahan rasuah secara berkesan di negara ini.

Pertamanya, daripada segi kebebasan SPRM itu sendiri di mana perlu ada political will dan kedua perlu memperlihatkan suruhanjaya itu sebagai satu badan yang bebas tanpa ada ganggu gugat atau campur tangan mana-mana pihak.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika menjelaskan perkara itu berkata, jika ditanya kepadanya di mana SPRM sekarang, beliau mengakui sememangnya badan itu disokong oleh kerajaan pemerintah.

“Kalau tanya saya, di mana SPRM dalam keadaan sekarang ini, memang kami disokong oleh kerajaan pemerintah untuk kita melaksanakan pencegahan rasuah secara berkesan.

“Bahkan, baru-baru ini kerajaan telah bersetuju dalam Mesyuarat Kawatankuasa Khas Mengenai Rasuah Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) untuk memperkasakan lagi SPRM.

“Mesyuarat itu membincangkan mengenai pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM perlu dibuat melalui perlembagaan undang-undang, iaitu pelantikan akan datang kalau dipersetujui, memerlukan majoriti dua pertiga dari Ahli Parlimen,” katanya menerusi bual bicara Dialog@Gegau bersama Melakafm hari ini.

Beliau berkata, Perlembagaan Persekutuan akan meletakkan mengenai pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu mengikut Perlembagaan dan sekiranya untuk ditamatkan perkhidmatan juga perlu melalui satu tribunal yang khas- bukan boleh ditamatkan begitu saja oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.

Seterusnya, kata Azam, mesyuarat itu juga bersetuju untuk mewujudkan Suruhanjaya Perkhidmatan SPRM yang mana sekarang ini mereka di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

“Sebelum ini, pengambilan pegawai dan kakitangan (SPRM) melalui SPA. Jadi, dengan memberi kebebasan kepada kami untuk melantik pegawai atau kakitangan melalui suruhanjaya sendiri adalah baik dan ini akan menunjukkan ketelusan kerajaan serta kebebasan SPRM dalam melakukan tindakannya,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai terutama penjawat awam agar menolak dan membenci rasuah sebagaimana umat Islam menyatakan benci dan jijik kepada daging babi serta anjing.

“Kita perlu meningkatkan integriti yang baik dalam kehidupan seharian dan dalam menjalankan tugas sebagai penjawat awam.

“Tolaklah rasuah dan bencilah rasuah sebagaimana orang Islam mengatakan benci dan jijik kepada daging babi dan anjing.

“Begitu juga kalau kita bercakap pasal rasuah ini, kita benci kepada rasuah sebagaimana kita benci anjing dan babi,” katanya. – MalaysiaGazette

Isnin, 31 Ogos 2020

Penguat kuasa korup punca tanah kerajaan diceroboh: MCW

SHAH ALAM - Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) mendakwa sikap tidak amanah, tidak berintegriti dan korup dalam kalangan penguat kuasa menyebabkan ada pihak mengambil kesempatan dengan berani menceroboh tanah milik kerajaan.

Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, kerajaan terpaksa mengalami kerugian akibat pencerobohan dan hasil hutan yang ditebang bagi membuka ladang disebabkan suapan 'one-off' atau bulanan kecil yang diterima.

"Malah ketirisan daripada kutipan cukai tanah, cukai pendapatan dan sebagainya.

"Penguat kuasa atau pegawai kerajaan yang korup itu menjadi parasit dan petualang kepada pencerobohan tanah rezab kerajaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini mengulas mengenai isu pencerobohan tanah milik kerajaan Pahang.

Beliau berkata, walaupun rakyat sudah sedaya upaya memerangi rasuah, namun ia tidak berjaya disebabkan oleh petualang negara yang sanggup menjual maruah diri.

Justeru katanya, sempena Hari Kemerdekaan yang ke- 63 ini, seluruh lapisan rakyat menyeru pegawai kerajaan terutamanya pegawai penguat kuasa untuk mengamalkan jati diri integriti demi negara yang tercinta.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis terima 9 laporan pengusaha kebun haram di Raub

Selasa, 25 Ogos 2020

Selangor tak cadang pindahkan penjawat awam bagi tangani rasuah

Bernama
 
 Malaysiakini

Kerajaan Selangor tidak bercadang untuk merombak atau memindahkan penjawat awam termasuk penguat kuasa negeri, sebagai langkah penyelesaian bagi membendung gejala rasuah dalam sektor berkenaan.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata sebaliknya, tindakan perundangan sedia ada dilihat lebih wajar dan memadai bagi mengekang kegiatan rasuah tersebut.

“Saya percaya hanya segelintir sahaja terlibat (dalam gejala rasuah) dan kita tidak boleh menghukum mereka yang belum didapati bersalah.

"Namun kebimbangan (kegiatan rasuah) ini wujud tetapi pertukaran (penjawat awam negeri) bukanlah jawapan kerana ia melibatkan (perbuatan) jenayah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan penjenamaan semula Kolej Antarabangsa INPENS di Kuala Selangor, hari ini, yang turut dihadiri Ketua Eksekutifnya, Asyraf Amin.

Pada majlis berkenaan, Kolej Antarabangsa INPENS dijenamakan semula menjadi Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor seiring agenda kerajaan negeri dalam merancakkan pembangunan sumber manusia dan tenaga mahir melalui pemerkasaan Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Mengulas lanjut, Amirudin berkata pihaknya komited untuk bekerjasama dengan agensi penguat kuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika ada laporan penglibatan rasuah dalam kalangan penjawat awam di negeri ini dan tidak akan melindungi mereka yang disyaki terlibat.

Semalam, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam kalangan segelintir pegawai serta kakitangan penguat kuasa jabatan kerajaan di negeri ini yang dilihat mencemarkan reputasi jabatan dan pihak berkuasa terlibat.- Bernama

Isnin, 24 Ogos 2020

Sultan Selangor zahir kebimbangan peningkatan kes rasuah

Norzamira Che Noh
 
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. FOTO Sairien Nafis

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam kalangan segelintir pegawai dan kakitangan jabatan penguatkuasaan kerajaan khususnya di Selangor.

Istana Alam Shah menerusi satu kenyataan memaklumkan, tindakan segelintir mereka yang terbabit dalam jenayah yang tidak bermoral ini sekali gus mencemarkan reputasi dan imej pihak kerajaan dan pihak berkuasa yang terbabit.

Menurut kenyataan yang dikongsikan di Facebook Selangor Royal Office hari ini, laporan media yang meluas mengenai kesalahan jenayah rasuah menggambarkan penolakan rakyat terhadap perbuatan yang boleh menjejaskan kelicinan pentadbiran kerajaan.

"Seandainya gejala rasuah ini terus berlaku dengan berleluasa ia akan menyebabkan hilangnya kepercayaan rakyat terhadap kemampuan jabatan penguat kuasa ini di dalam melaksanakan tindakan undang-undang di negara ini.

"Justeru itu, baginda menyeru dan menasihatkan pegawai dan kakitangan penguat kuasa di semua majlis kerajaan tempatan, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan semua jabatan kerajaan lain yang dipertanggungjawabkan untuk menguatkuasakan undang-undang supaya tidak membabit atau mendekatkan diri dengan segala perbuatan rasuah dan perkara yang membolehkan tohmahan rasuah dan penyelewengan dilemparkan oleh mana-mana pihak.

"Ini termasuk juga aspek penyalahgunaan kuasa bagi kepentingan diri sendiri atau pihak tertentu ketika melaksanakan tugas penguatkuasaan.

"Perbuatan sebegini perlu dielakkan sama-sekali dari dilakukan," kata kenyataan itu.

Sultan Selangor juga menegaskan agama Islam melarang keras perbuatan rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan mereka yang sudah diamanahkan dengan jawatan dan kuasa.

Gejala rasuah adalah perbuatan mengkhianati amanah negara dan masyarakat.

"Baginda juga menyeru supaya semua pegawai dan kakitangan penguat kuasa menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan berhemah dengan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan ditetapkan yang mana mereka perlu bersikap adil kepada semua pihak ketika tindakan penguatkuasaan dilakukan," katanya.

Menurut kenyataan itu, sikap berhemah dalam mengambil sesuatu tindakan perlu sentiasa diutamakan demi memelihara ketenteraman dan keamanan awam.

Rabu, 19 Ogos 2020

Suruh menteri bagi arahan bertulis, kata badan anti rasuah

(Dari kiri) Wan Saiful Wan Jan, moderator Salihin Othman, Abu Kassim 
Mohamed dan Mustafar Ali dalam forum anti rasuah hari ini.

KUALA LUMPUR: Sebuah badan pemerhati dan pengurusan anti rasuah mengingatkan pengarah syarikat untuk melindungi diri mereka daripada sebarang arahan tidak beretika daripada menteri.

Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC) Abu Kassim Mohamed berkata, kakitangan syarikat juga perlu bersuara jika ketua mereka melakukan kesalahan.

Katanya, seorang menteri mungkin kadangkala membuat keputusan atas kepentingan CEO syarikat tertentu dan perkara itu pernah berlaku sebelum ini.

“Kalau ada kesalahan, sila maklum kepada menteri untuk kemuka arahan secara bertulis supaya anda boleh maklumkan kepada ahli lembaga pengarah,” katanya merujuk Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) (Pindaan) 2018.

Akta itu yang berkuatkuasa 1 Jun, membolehkan mana-mana syarikat korporat didakwa atas kesalahan rasuah.

“Letakkan arahan dalam minit mesyuarat dan nyatakan anda menolaknya. Itu akan menjadi pembelaan anda,” katanya dalam forum bertajuk “Ke arah mewujudkan negara bebas rasuah” anjuran Institut Integriti Malaysia hari ini.

“Tanggungjawab di tangan anda melainkan perkara itu jelas merupakan tanggungjawab menteri,” katanya.

Beliau berkata, terdapat keperluan penyediaan minit mesyuarat atau sebarang bentuk komunikasi antara pegawai dan kakitangan dalam sektor swasta bagi melindungi mereka daripada disabitkan dalam akta berkenaan.

Abu Kassim yang juga bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM berkata, sejak sedekad lalu sektor perniagaan memainkan alasan sama berulang kali yang mereka perlu merasuah pegawai kerajaan untuk mendapatkan projek dan kontrak.

Melalui Seksyen 17A, beliau berkata, agensinya akan cuba mempromosikan budaya baru bagi memastikan semua peringkat bertanggungjawab terhadap integriti dalam sektor awam dan swasta.

Beliau mengingatkan syarikat untuk memiliki polisi jelas dalam aspek penerimaan hadiah.

“Kami menentang mana-mana pegawai menerima hadiah. Perbuatan itu boleh disabitkan dengan Seksyen 17A.”

Beliau berkata, pengurusan atasan perlu komited untuk meningkatkan integriti syarikat, dengan tawaran kenaikan pangkat perlu berdasarkan perkara itu.

“Namun, kajian menunjukkan pengurusan peringkat pertengahan ada kecenderungan untuk melakukan perkara tidak sepatutnya bagi mencapai petunjuk prestasi utama (KPI),” katanya.

Beliau berkata, usaha mencapai KPI mungkin penting tetapi ia harus berdasarkan landasan peraturan betul.

Terdahulu, Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Wan Saiful Wan Jan berkata, menteri kebiasaannya mengadakan mesyuarat pasca Kabinet dengan CEO, termasuk daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan firma, dan mereka mungkin “menerima arahan untuk melakukan itu dan ini”.

Tiada ketua polis negeri, daerah ‘dipegang’ tauke judi, kata KPN

KUALA LUMPUR: Tiada ketua polis daerah atau negeri “dipegang” oleh tauke judi bagi mengatur perpindahan dan penempatan mana-mana pegawai dan anggota polis, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.

Beliau sekeras-kerasnya menafikan perkara itu malah menegaskan polis tidak akan berkompromi dan mengamalkan sifar toleransi terhadap kegiatan perjudian.

“Saya sering mengingatkan semua warga polis daripada semua peringkat pengarah jabatan sehingga ke peringkat ketua polis daeah agar tidak sesekali terlibat dengan kegiatan atau sindiket perjudian.

“Dakwaan pengaruh sindiket ini hingga boleh mengaturkan pegawai-pegawai tertentu untuk menduduki sesuatu jawatan itu adalah tidak benar sama sekali,” katanya kepada Bernama selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Mes Pegawai Kanan, Bukit Aman, hari ini.

Hamid berkata, perkara melibatkan perpindahan penempatan pegawai dan anggota polis akan dibincangkan bersama Timbalan Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah dan 10 pengarah jabatan PDRM.

“Ini termasuklah dalam menentukan kedudukan mana-mana pegawai dan anggota polis setelah diadakan perdebatan, perbincangan dan komen termasuk penilaian oleh 1 jawatankuasa dari Jabatan Pengurusan yang menilai kesesuaian dan potensi seseorang dinaikkan pangkat atau diletakkan ke satu-satu jawatan,” katanya.

Dalam pada itu, Hamid turut memberikan arahan agar kes fail dibuat untuk diambil tindakan di bawah Perintah Tahanan Akta Pencegahan Jenayah (Poca) 1959 terhadap mana-mana sindiket perjudian yang dikenal pasti kerap menganjurkan kegiatan perjudian haram.

Beliau berkata, agenda baik PDRM telah dirosakkan oleh sindiket ini akibat kegiatan perjudian haram mereka, walaupun amaran telah diberikan berulang-kali.

“Saya sudah keluarkan arahan kepada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman untuk melengkapkan kes fail ke atas mereka untuk diambil tindakan di bawah Poca.

“Saya sudah berikan amaran secukupnya. Sedangkan warga PDRM sendiri saya ambil tindakan di bawah Poca apatah lagi sindiket ini,” katanya.

Katanya, banyak masalah ditimbulkan oleh sindiket perjudian ini sehinggakan mampu meruntuhkan rumah tangga seseorang.

“Ada laporan diterima sampai peti ais pun digadaikan oleh seorang kaki judi. Isteri telah pun menegah perbuatannya itu namun tidak dipeduli malah dipukulnya.

“Jijiknya judi ini, saya tidak boleh terima sekiranya terdapat pegawai saya yang berkomplot dengan tauke judi,” katanya sambil menegaskan tiada sebarang tangkapan terhadap pegawai atau anggotanya yang terlibat dalam kegiatan perjudian setakat ini.

Hamid berkata, beberapa pegawai dan anggota polis yang ditahan antaranya terlibat dalam penyalahgunaan kuasa.

“Daripada segi judi, belum ada ditahan tetapi daripada segi kegiatan lain, ada (ditahan) kerana menyalahgunakan kuasa. Bagi yang didapati berkompromi dengan ‘tauke-tauke dadah’ sudah mula diambil tindakan.

“Ada beberapa orang diambil tindakan. Bagi perjudian pula, sebagaimana yang dikatakan tadi, polis akan ambil tindakan bawah Poca,” katanya.

Ahad, 16 Ogos 2020

Besan Najib dinamakan suspek kes rasuah berkait buruan Indonesia

Alyaa Alhadjri

Malaysiakini

Besan kepada bekas perdana menteri Najib Razak telah dinamakan sebagai suspek kes rasuah berkaitan dengan siasatan yang sedang dilakukan oleh polis Indonesia berikutan penangkapan salah seorang buruan yang dikehendaki, Djoko Tjandra, di Kuala Lumpur bulan lalu.

Jurucakap polis pusat Indonesia Argo Yuwono dilaporkan mengenal pasti suspek sebagai "TS", yang merupakan singkatan bagi nama hartawan Tommy Sumardi.

Tommy dituduh memberi rasuah kepada dua pegawai kanan polis untuk memudahkan penghapusan notis merah Interpol terhadap Djoko dan membantu perjalanannya. Dua pegawai kanan polis itu kemudian digugurkan daripada jawatan mereka kerana disyaki menerima rasuah.

Identiti suspek dan hubungan keluarga dengan Najib kemudiannya didedahkan oleh penyelaras Masyarakat Anti-Korupsi Indonesia (Maki) Boyamin Saiman, menurut portal dalam talian Detik.com.

Ketika dihubungi, Boyamin mendakwa Tommy ialah orang yang rapat dengan Djoko dan Setya Novanto, bekas speaker parlimen Indonesia yang kini menjalani hukuman penjara 15 tahun setelah disabitkan dalam skandal rasuah perolehan kerajaan.

"Dia (Tommy) mengikuti hubungan perniagaan Djoko," kata Boyamin kepada Malaysiakini.

Dia menyebut contoh pembinaan menara 1MDB yang diberi nama Signature The Exchange 106 di Tun Razak Exchange oleh Kumpulan Mulia Indonesia di bawah kendalian saudara Djoko, Eka Tjandranegara sebagai presiden merangkap pengarah dan pemiliknya.

Gambar fail.

Sewaktu Djoko menjadi berita utama di sini pada tahun 2015 mengenai kaitan dengan rancangan pembinaan bangunan pencakar langit tertinggi di Malaysia, Najib ketika itu perdana menteri dan menteri kewangan. 

Boyamin mendakwa apa yang bermula sebagai hubungan perniagaan yang melibatkan Djoko, Tommy dan Najib secara beransur-ansur menjadi lebih peribadi.

Dikatakan hal ini membawa kepada pertemuan anak perempuan Tommy, Fitri Aprinasari Utami dan anak Najib, Mohd Nazifuddin, yang akhirnya melangsungkan perkahwinan yang diadakan di Kuala Lumpur pada Julai lalu.

Permintaan bekas AG M'sia 

"Pasangan itu bertunang pada Mei tahun lalu, tetapi Najib tidak dapat menghadiri majlis di Jakarta kerana larangan perjalanannya," katanya.

Malaysiakini telah menghubungi Najib untuk mendapatkan penjelasan beliau.

Menjawab pertanyaan yang diajukan mengenai amaran merah Interpol terhadap Djoko, Mulia Group pada tahun 2015 berkata Djoko tidak lagi memegang sebarang jawatan atau saham dalam kumpulan itu walaupun Boyamin menegaskan hari ini bahawa pengumuman itu hanyalah "penyamaran" untuk menghindari pertanyaan daripada pihak berkuasa.

"Itu hanya penyamaran. Djoko Tjandra ialah pemilik yang mendapat manfaat (beneficial owner)," katanya.

"Tommy masih belum ditangkap. Dia hanya akan dipanggil minggu depan.

"Di Indonesia, siasatan akan dilakukan terlebih dahulu sebelum seorang suspek (yang dinamakan) ditangkap, tidak seperti di Malaysia," jelas Boyamin ketika disoal mengenai status Tommy sekarang.

Dia berkata polis pusat Indonesia diharapkan akan memanggil Tommy sekitar minggu depan.

Dakwaan kaitan Djoko di Malaysia sebelumnya ditimbulkan oleh bekas peguam negara Indonesia, HM Prasetyo, yang mendakwa bahawa peguam negara Malaysia ketika itu, Apandi Ali, pada tahun 2016 telah membuat permintaan peribadi baginya untuk mempertimbangkan supaya menggugurkan sabitan terhadap hartawan berusia 68 tahun itu dan membenarkannya kembali sebagai seorang bebas.

Polis Malaysia setakat ini tidak mengeluarkan sebarang perincian mengenai penangkapan Djoko (gambar, atas) pada 30 Julai, walaupun rakan sejawat mereka dari Indonesia dilaporkan telah mengucapkan terima kasih atas kerjasama pihak berkuasa negara.

Dia diserahkan kepada sepasukan polis Indonesia dan diterbangkan kembali ke Jakarta dengan jet peribadi sewa dari lapangan terbang Subang.

Menteri Koordinator Politik, Perundangan, dan Keselamatan Indonesia Mahfud MD sebelumnya mendedahkan operasi rahsia itu dilakukan atas kerjasama "polis dengan polis" antara Polri dan PDRM di bawah arahan langsung dari Presiden Joko Widodo.

Djoko Tjandra melarikan diri dari Indonesia ke Papua New Guinea pada tahun 2009, sehari sebelum Mahkamah Agung menjatuhkan hukuman dua tahun penjara dan denda 15 juta rupiah berikutan sabitannya dalam kes rasuah Bank Bali.

Dia kini menjalani hukuman penjara dua tahun dan dijangka diadili atas tuduhan rasuah tambahan berkaitan dengan siasatan dana haram yang sedang berlangsung.

Sabtu, 15 Ogos 2020

Dua lagi Datuk direman bantu siasat kes projek balak lebih RM27 juta

fazleensafina

 

Salah seorang suspek adalah bekas timbalan pengerusi syarikat

PUTRAJAYA – Dua individu lelaki bergelar Datuk direman bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah membabitkan projek pembalakan bernilai lebih RM27 juta di Pahang, lima tahun lepas.

Seorang daripada suspek yang juga bekas timbalan pengerusi syarikat berusia 65 tahun itu direman selama empat hari bermula hari ini sehingga 18 Ogos depan.

Seorang lagi suspek berusia 40 tahun, yang juga bekas ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat, direman lima hari mulai hari ini sehingga 19 Ogos depan.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Menurut sumber, mereka ditahan ketika memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di sini pada 5 petang dan 10.20 malam, semalam.

Semalam, media melaporkan SPRM mendapat perintah reman terhadap tiga individu termasuk seorang bergelar Datuk, bagi membantu siasatan kes yang sama.

Difahamkan, kes ini berkaitan pengambilalihan projek pembalakan di satu daerah di Pahang seluas 6,591.67 ekar pada 2015. (1 ekar = 0.404686 hektar). -Bernama

Denda pelitup muka RM1,000: MP Seputeh dakwa terdapat aduan rasuah

MALAYSIAKINI
 
Malaysiakini

Kerajaan perlu memastikan terdapat platform untuk mencari jalan keluar bagi mereka yang dikenakan denda RM1,000 bagi pelanggaran pemakaian pelitup separuh muka, kata Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

Kok berkata meskipun beliau menghargai objektif kerajaan dalam membendung penularan wabak Covid-19, MP DAP itu berkata turut menerima aduan bahawa terdapat kemungkinan berlakunya penyalahgunaan kuasa.

“Kerajaan juga harus berhati-hati, di mana pada masa sama (perkara yang) tidak dapat dielakkan, akan berlaku penyalahgunaan kuasa dan rasuah oleh pegawai penguat kuasa.

"Cadangan saya akan meredakan aduan orang ramai kerana tiada tempat bagi mereka yang berasa tidak puas hati untuk membuat aduan atau merayu terhadap denda yang tidak sama rata (disproportionate).

"Saya telah menerima aduan bahawa beberapa pegawai penguat kuasa sengaja menyusahkan pemilik perniagaan. Terdapat tuduhan rasuah," kata Kok dalam satu kenyataan.

Kok juga menyokong petisyen dari rakan sejawatnya, Ahli Parlimen Bandar Kuching, Kelvin Yii dan Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi agar kompaun itu dikurangkan kepada RM250 untuk kesalahan pertama.

“Mengenakan denda kompaun RM1000 yang dilaksanakan ketika ini adalah tidak munasabah dan tidak seimbang untuk semua kesalahan, tidak mengira betapa ringannya (kesalahan tersebut).

Kok turut memberikan contoh seorang pelajar didenda RM1,000 kerana tidak memakai pelitup separuh muka dengan betul, dengan menyifatkannya sebagai “mengejutkan”.

"Oleh itu, cadangan saya untuk menubuhkan jawatankuasa khas atau ombudsman untuk meneliti semula hukuman keras yang dikenakan adalah tepat pada masanya, memandangkan wabak itu telah menyebabkan penderitaan yang cukup besar kepada rakyat," katanya.

Beliau menambah langkah itu juga akan menjaga imej dan integriti agensi penguatkuasaan undang-undang.

Rabu, 12 Ogos 2020

Koperal polis dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan terima rasuah

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Seorang anggota polis berpangkat Koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas dua pertuduhan meminta rasuah daripada orang awam pada 2016 dan 2017.

Tertuduh, Mohd Yusry Borhan, 34, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang bertugas di Balai Polis Sentral Johor Bahru didakwa secara rasuah meminta suapan berjumlah RM2,000 secara bulanan daripada seorang wanita sebagai dorongan untuk memberikan maklumat sekiranya ada serbuan dan operasi yang dijalankan oleh cawangan pencegahan jenayah Balai Polis Sentral.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Balai Polis Sentral Johor Bahru pada pukul 7 malam, 16 Disember 2016.

Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa memperoleh rasuah sebanyak RM1,500 daripada wanita sama sebagai dorongan untuk memberikan maklumat sekiranya ada operasi yang dijalankan oleh cawangan pencegahan jenayah Balai Polis Sentral.

Perbuatan itu dilakukan di Merlin Tower, Jalan Meldrum di Johor Bahru pada pukul 2.40 petang, 9 Januari 2017.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(B) dan Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan atau mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Raya SPRM Yunus Mohamed manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Fazaly Ali.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM14,000 bagi dua pertuduhan dengan isterinya sebagai penjamin dan memerintahkan tertuduh untuk melaporkan diri ke pejabat SPRM terdekat setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 14 September ini untuk sebutan semula kes.- Bernama

Jumaat, 7 Ogos 2020

Pertuduhan rasuah terhadap Guan Eng bertujuan politik, kata Mahathir

Bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berdepan pertuduhan rasuah 
di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM berhubung projek terowong dasar laut 
dan jalan di negeri itu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR: Dr Mahathir Mohamad berkata hari ini bahawa beliau “cenderung” untuk berfikir bahawa pertuduhan rasuah terhadap Lim Guan Eng bertujuan politik.

“Kami cenderung untuk berfikir begitu,” katanya ketika ditanya mengenai pendakwaan terhadap setiausaha agung DAP itu di mahkamah pagi tadi.

Bekas perdana menteri itu berharap Lim, yang merupakan menteri kewangan di bawah pentadbirannya, akan dilayan dengan adil dengan berkata, semua orang mesti dilayan dengan saksama.

“Tidak boleh ada layanan istimewa untuk orang ini, tetapi tidak orang itu. Diskriminasi seperti itu tidak wajar.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas mengumumkan keputusannya untuk menubuhkan sebuah parti baru.

Bekas ketua menteri Pulau Pinang itu berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 kerana menyalahgunakan kedudukannya sebagai ketua menteri Pulau Pinang untuk meminta upah 10% daripada keuntungan projek jalan dan terowong di negeri itu daripada pengarah kanan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.

Zenith dianugerahkan kontrak projek pembinaan terowong dasar laut serta 3 jalan yang menghubungkan bahagian pulau dengan tanah besar Pulau Pinang.

Lim yang didakwa melakukan kesalahan itu pada 2011 memohon dibicarakan.

Kes Rasuah Lim Guan Eng: Dap/PH ‘Double Standard’ – Khairy

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin membidas tindakan Dap dan Pakatan Harapan (PH) yang menunjukkan sekali lagi bagaimana sikap ‘double standard’ mereka terhadap perjalanan undang-undang negara.

Bidas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu, apabila sesuatu pendakwaan melibatkan mereka, habis dihina sistem kehakiman negara.

“Sedangkan hanya pada minggu lalu, mereka sanjung mahkamah apabila keputusan kes melibatkan pemimpin UMNO sesuai dengan kehendak mereka.

“Dalam tempoh dua tahun yang lalu, ramai pemimpin UMNO dihadapkan ke mahkamah. Ahli-ahli UMNO menghormati proses yang telah dibuat,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di blognya www.khairykj.com.

Khairy berkata demikian mengulas mengenai sikap pembangkang apabila Setiausaha Agung Dap, Lim Guan Eng dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan menerima rasuah dalam projek terowong ketika menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang dan difahamkan akan ada beberapa pertuduhan lain yang akan dihadapkan.

Mengulas lanjut, Khairy berkata dalam tempoh kurang 24 jam yang lalu, telah banyak penghinaan serta herdikan yang dikeluarkan oleh pemimpin Dap dan PH yang menyatakan proses undang-undang yang dihadapi oleh Guan Eng ketika ini adalah suatu bentuk pendakwaan bersifat politik dan tindakan ‘political persecution’.

“Malah dalam saluran media rasmi Dap sendiri telah menyatakan kononnya “tiada sebarang bukti kesalahan dapat dikemukakan” oleh pihak pendakwaan.

“Ini sangat pelik sebab perbicaraan belum lagi bermula, baru di peringkat bacaan dakwaan,” katanya.

Justeru kata Khairy, jika yakin tidak bersalah pihak pembelaan boleh mengemukakan hujah dan bukti di mahkamah.

“Tidak perlu bermain dengan kad simpati dengan menghina proses undang-undang kononnya tidak bebas dan bermotifkan politik,” bidasnya lagi. – UMNO ONLINE

Isnin, 3 Ogos 2020

Sabah contoh amalan rasuah paling buruk – Tun M

Mohammad Arif Nizam
MGF01032020_SIDANG-MEDIA-TUN-M_07-681x454
Bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad  mendakwa budaya lompat parti di negeri itu baru-baru ini adalah contoh amalan rasuah paling buruk.

Bekas Perdana Menteri sebanyak dua kali itu mendakwa, ia dibuktikan dengan tindakan  seramai 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri tersebut keluar parti kerana diumpan dengan wang dan mereka telah dirasuah.

Beliau berkata, sekiranya seseorang ahli politik itu keluar parti kerana tidak bersetuju dengan dasar kerajaan, hal itu masih boleh diterima.

“Saya akan pergi ke Sabah kerana saya mendapati bahawa apa yang berlaku di Sabah adalah contoh rasuah yang sangat buruk.

“Saya dapati 13 ADUN yang keluar dari parti kerajaan negeri untuk menyertai parti lawan. Kenapa mereka keluar? Kalau mereka keluar kerana tidak bersetuju dengan dasar, itu kita boleh terima.

“Tetapi kita didapati mereka keluar kerana diumpan dengan duit. Mereka dirasuah. Jadi, ini sesuatu yang ingin kita hapuskan. Pakatan Harapan masa jadi kerajaan kita tumpukan untuk hapus rasuah kerana ia dianggap penting,” katanya.

Beliau berkata demikan pada Live Session With Tun Dr Mahathir Mohamad yang disiarkan secara langsung pada Facebook Dato Howard Chew- Chester Venture Berhad di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas budaya lompat parti hingga menyebabkan pembubaran DUN Sabah seterusnya membuka laluan kepada pilihan raya negeri minggu lalu.

Mengulas lanjut, Mahathir meluahkan rasa sedih kerana amalan rasuah dilakukan secara terbuka di Sabah.

Tegas beliau, ADUN yang keluar parti itu hanya memikirkan soal wang.

“Dapat duit mereka lompat. Jadi ini tidak sihat bagi politik Sabah dan Malaysia.

“Saya harap orang keluar ini akan ditolak sepenuhnya oleh rakyat Sabah kerana mereka tidak boleh dipercayai. Mereka ini cuma ikut duit, bukan ada prinsip dan perjuangan tertentu. Apabila dapat duit, mereka melompat.

“Saya risau kerana dapati bahawa amalan rasuah lama yang ingin kita hapuskan rasuah sudah telah kenali di Sabah.

“Apa yang menyedihkan adalah orang yang dahulu memerangi rasuah adalah orang yang kini terlibat secara langsung dalam memberi rasuah untuk mendapat sokongan,” katanya. – MalaysiaGazette

Ahad, 2 Ogos 2020

Dr M: Rasuah untung jangka pendek, anak cucu jadi mangsa

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini menegaskan sekali lagi mengenai keperluan rakyat Malaysia memiliki nilai-nilai yang mulia jika mahukan negara berjaya.

"Kita amanah, tidak mungkir janji, bekerja keras. Kalau ada nilai hidup ini, percayalah kita akan dapat kejayaan," katanya.

Beliau berkata kegagalan berbuat demikian, misalnya dengan terlibat dalam amalan rasuah mungkin memberikan keuntungan jangka pendek tetapi tindakan sebegitu akan mengorbankan generasi masa depan.

"Saya berkali-kali ulang perkara ini tapi masing-masing tak nampak kesan masa depan. Kesan hari ini mungkin tak sama.

"Umpamanya kita dihulurkan sogokan rasuah, waktu ini kita dapat dan kita mungkin rasa kita untung.

"Tapi bangsa kita mudah disogok rasuah. Percayalah negara kita akan hancur dan kita akan jadi mangsa. Anak cucu kita akan jadi mangsa," tegas beliau pada rancangan bual bicara dalam talian, "Mengopi Malam Minggu."

Menjelaskan lanjut, Dr Mahathir berkata rakyat Malaysia tidak akan berjaya tanpa mengamalkan nilai-nilai mulia yang disebutkannya tadi.

"Nilai hidup mulia bermakna kita rajin bekerja, kita beramanah, kita tidak rasuah, kita tolak benda tidak baik, kita tak mencuri.

"Kalau kita tolak benda yang tak baik, (ambil) hanya yang baik, Malaysia akan jadi negara maju dalam jangka masa yang pendek," katanya lagi.

Mahathir juga ditanya mengenai perkembangan politik baru-baru ini, terutama percubaan rampasan kuasa di Sabah tetapi memberikan jawapan yang bersifat umum.

Katanya, walaupun wakil rakyat boleh menukar sokongan jika parti mereka tersasar, mereka tidak seharusnya melakukannya atas dorongan peribadi.

"Kita boleh keluar parti kerana parti menyeleweng. Tapi apa berlaku bukan parti menyeleweng, wakil rakyat menyeleweng kerana ada upah, janji-janji manis dari pihak lain.

"Kita lupa janji kita kepada rakyat dan kita tinggal parti kita dan kerajaan kita.

"Ini tidak baik bagi negara demokratik kerana kita abaikan janji kita kepada rakyat," katanya lagi.

Selasa, 28 Julai 2020

Dua lelaki ditahan cuba rasuah polis

BERNAMA

FOTO HIASAN.

POLIS menahan dua lelaki warga Bangladesh malam tadi selepas cuba menyogok Ketua Balai Polis Danga Bay wang tunai berjumlah RM10,000 supaya melepaskan sembilan pendatang asing tanpa izin yang ditangkap semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, kedua-dua lelaki berumur 35 dan 43 tahun itu ditahan pada 11 malam di Balai Polis Danga Bay.

"Terdahulu, sepasukan polis dari Balai Polis Sentral menahan lapan lelaki Bangladesh dan seorang lelaki Myanmar yang didapati memiliki dokumen perjalanan tamat tempoh dan tidak mempunyai dokumen perjalanan menerusi serbuan Op Benteng pada 6.30 petang di sebuah kondominium di pusat bandar.

"Semasa (proses) dokumentasi dibuat terhadap sembilan pendatang asing tersebut di Balai Polis Danga Bay, kedua-dua lelaki Bangladesh itu datang ke balai berkenaan dan menghulurkan wang RM10,000 sebagai imbuhan (untuk) melepaskan kesemua sembilan lelaki berkenaan," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Mohd Padzli berkata, mereka berdua ditahan serta merta kerana cuba memberi rasuah dan wang RM10,000 berkenaan dirampas bagi membantu siasatan.

Katanya, kedua-dua lelaki itu bersama sembilan pendatang asing yang ditahan kini direman selama 14 hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Seksyen 15(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.

Selasa, 21 Julai 2020

2 tekong warga Rohingya ditahan cuba rasuah pegawai APMM

Oleh Mohd Zaid Bin Mohd Noor

ALOR SETAR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah menahan dua tekong warga Rohingya disyaki cuba merasuah pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Padang Matsirat, Langkawi awal pagi ini.

Sumber SPRM negeri berkata, kedua-dua lelaki berusia 29 dan 35 tahun itu cuba merasuah pegawai APMM berkenaan supaya melepaskan 25 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Rohingya yang cuba masuk ke Malaysia.

Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu.

Sumber berkata, tekong tersebut menyembunyikan kesemua PATI terbabit di sebuah rumah di Padang Matsirat.

“Tekong terbabit menawarkan rasuah sebanyak RM1,000 setiap PATI berkenaan supaya tidak diambil tindakan,”  katanya dalam kenyataan hari ini.

Sumber itu  berkata, tangkapan hasil operasi bersama APMM Wilayah Utara dan kes disiasat di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.  – UTUSAN ONLINE

Isnin, 18 Mei 2020

Khalid Samad sahkan bekas pembantu ditahan kerana nama dijaja ‘broker’ raih jutaan ringgit


Khalid Abdul Samad berkata, sebuah syarikat arkitek membuat aduan diberikan perintah pembangunan palsu oleh seorang ‘broker’ yang menerima bayaran dengan menjaja nama bekas pembantunya.

PETALING JAYA: Bekas menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad mengesahkan bekas setiausaha politiknya ditahan polis semalam susulan aduan sebuah syarikat arkitek berhubung dakwaan rasuah.

Katanya, syarikat itu diberikan perintah pembangunan (DO) palsu oleh seorang “broker” yang menerima bayaran selepas menjaja nama bekas pembantunya yang dikenalinya sebagai “Haji Azli”.

Bekas setiausaha politik Khalid bernama Azli Yusuf.

“Saya tidak boleh menceritakan lebih daripada itu kerana kes ini masih dalam siasatan polis. Saya diberitahu broker berkenaan menerima jutaan ringgit melalui kaedah jual nama ini.

“Kepercayaan ‘cash is king’ memungkinkan broker berjaya. Broker kaya, yang nama dijual teraniaya,” katanya dalam catatan di Twitter malam ini.

Khalid berkata, broker itu turut disiasat polis.

Terdahulu, FMT mendedahkan Bukit Aman memulakan siasatan ke atas dakwaan rasuah membabitkan seorang bekas menteri di bawah kerajaan Pakatan Harapan.

FMT difahamkan, setiausaha politik menteri itu ditahan Jabatan Siasatan Jenayah di Kuala Lumpur untuk disoal siasat atas dakwaan rasuah membabitkan beberapa pemaju di ibu negara.

Pemeriksaan FMT mendapati siasatan sedang dijalankan polis Brickfields dan Sentul atas “2 jenayah komersial”.

Sumber memberitahu FMT, polis akan memanggil bekas menteri itu dan timbalannya tidak lama lagi, serta pegawai dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).


Ahad, 17 Mei 2020

Bekas menteri akan dipanggil selepas pembantu ditahan dalam kes babit pemaju KL

Polis dijangka menyoal siasat pegawai DBKL dan seorang bekas menteri di bawah kerajaan PH.

KUALA LUMPUR: Bukit Aman memulakan siasatan ke atas dakwaan rasuah membabitkan seorang bekas menteri di bawah kerajaan Pakatan Harapan selama 22 bulan, FMT mendapat tahu daripada sumber.

Difahamkan, setiausaha politik menteri itu sudah ditahan Jabatan Siasatan Jenayah di Kuala Lumpur untuk disoal siasat atas dakwaan rasuah membabitkan beberapa pemaju di ibu negara.

Satu laporan dibuat dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pemeriksaan FMT mendapati siasatan sedang dijalankan polis Brickfields dan Sentul atas “2 jenayah komersial”.

Satu sumber turut memberitahu FMT, polis akan memanggil bekas menteri itu dan timbalannya tidak lama lagi, serta pegawai dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

FMT sudah menghubungi polis untuk mendapatkan butiran lanjut dan bekas menteri itu yang namanya tidak didedahkan sementara menunggu pengesahannya.


Jumaat, 15 Mei 2020

Tuntut kes terowong dasar laut babit pemimpin DAP dibuka semula

Oleh Mohd Iskandar Ibrahim dan Ahmad Suhael Adnan
 
PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. NSTP/Saifullizan Tamadi.

   PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. NSTP/Saifullizan Tamadi.

KUALA LUMPUR: UMNO menggesa enam tuntutan daripada parti itu dilaksanakan segera oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi memelihara kepentingan agama dan negara.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata tuntutan itu termasuklah mendesak kerajaan membuka semula kes penyelewengan yang dihentikan perbicaraan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Antara kes itu, katanya, termasuklah kes skandal rasuah terowong dasar laut dan tiga lebuh raya membabitkan pemimpin DAP bernilai RM6.3 bilion.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata, UMNO mahu kerajaan Perikatan Nasional (PN) membatalkan agenda PH menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC), yang didakwa mengongkong dan mengekang tugas serta tanggungjawab polis.

“UMNO juga mahu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan segera bagi menyiasat salah laku dan penyelewengan PH terhadap Barisan Nasional (BN) dan pengurusan Tabung Haji (TH) terdahulu.

“Selain itu, kerajaan perlu menilai semula keputusan penjualan lambak aset strategik negara dan agensi berkepentingan rakyat termasuklah TH, Khazanah Nasional, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, UMNO turut menuntut kerajaan menyegerakan siasatan dan pendakwaan terhadap individu dikaitkan dengan kes pembunuhan anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

“Kerajaan juga perlu membekukan keputusan pemberhentian kakitangan awam berstatus kontrak, dasar pengurangan penjawat awam dan mengkaji semula dasar memastikan kebajikan penjawat awam terbela,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid menggariskan panduan untuk UMNO kekal menyokong Muhyiddin sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), antaranya perlu memastikan aspirasi rakyat direalisasikan dan memberi kemakmuran kepada rakyat tanpa mengira kaum, agama, kenegerian dan darjat.

“Kerajaan baharu harus segera berusaha menangani kelembapan ekonomi semasa, termasuklah melakar pelan tindakan berkesan menghadapi cabaran ekonomi global dan kesan wabak COVID-19.

“Kerajaan baharu juga tidak wajar mengulangi kesilapan PH dalam menguruskan isu menyentuh hubungan sensitiviti kaum negara ini,” katanya, yang memberi jaminan akan menyokong Muhyiddin selagi aspirasi rakyat dipelihara.

Beliau turut mengumumkan penstrukturan semula parti dengan melantik Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti, Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai Setiausaha Agung UMNO yang baharu bagi menggantikan Tan Sri Annuar Musa.

Perubahan lain termasuklah melantik Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Suffian Hamdan sebagai Ketua Penerangan parti, bagi menggantikan Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Jumaat, 13 Mac 2020

IGP kecewa masih ada pegawai terima rasuah

THE MALAYSIAN TIMES



PASIR MAS: Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador hari ini meluahkan rasa kecewa terhadap 12 pegawai polis yang disyaki menerima rasuah bagi melindungi pemandu lori lebih muatan sehingga ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semalam.

Abdul Hamid berkata masih ada pegawainya yang masih mengamalkan budaya tersebut walaupun pelbagai amaran dan nasihat telah diberikan sebelum ini.

Katanya beliau masih belum menerima laporan lengkap berhubung penahanan 12 pegawai berkenaan namun mengalu-alukan tindakan agensi antirasuah itu dalam menjalankan tugas mereka.

“Saya tidak boleh kata apa, kecewa memang kecewa dan yang lebih menyedihkan ahli keluarga terpaksa menanggung kesan akibat perbuatan itu.

“Yang mengambil (rasuah) adalah suami, kalau mereka tidak fikir nasib keluarga, maka teruskanlah, namun bila tertangkap tiada lagi sesalan kerana sudah cukup larangan, amaran dan nasihat diberi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada 264 pegawai dan anggota polis yang berkhidmat ketika zaman darurat yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman Datuk Abd Rahim Jaafar dan Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan di Dewan Ketua Polis negara, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Hamid berkata SPRM akan melengkapkan kertas siasatan sebelum menyerahkannya kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

“Sekiranya kertas pendakwaan gagal mengemukakan bukti yang cukup, pegawai dan anggota yang terlibat dengan rasuah ini akan dikenakan tindakan disiplin oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Saya masih tidak berputus asa dan menerusi Jabatan Pengurusan akan terus berusaha memberikan kesedaran kepada pegawai dan anggota bagi mengelak daripada pengambilan rasuah,” katanya.

Semalam, seramai 12 pegawai polis dari Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang ditahan SPRM kerana dipercayai melindungi pemandu lori lebih muatan.  

Sebelas daripada mereka ditahan di sekitar Pulau Pinang, manakala seorang lagi di Kuala Lumpur dalam satu operasi khas SPRM antara pukul 10 pagi hingga 6 petang semalam.—Bernama