Jumaat, 2 Mac 2018

C4 desak siasat semula akaun RM1 juta pegawai Bukit Aman

 
Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme menyarankan Wan Ahmad Najmuddin Mohd bercuti serta-merta sehingga pihak berkuasa selesai melakukan siasatan ke atasnya demi melindungi integriti polis.

 
Cynthia-Gabriel-C4-twitter
Gambar Twitter


PETALING JAYA: Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) mendesak pihak berkuasa Malaysia membuka semula siasatan ke atas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, susulan laporan terbaru Australia membekukan akaun banknya hampir RM1 juta di negara itu.

Pengarah Eksekutif C4, Cynthia Gabriel dan Penyelaras C4 Bahagian Utara, Sudhagaran Stanley, berkata langkah itu perlu bagi memastikan integriti polis terus dipelihara.

“Laporan pembekuan wang RM972,000 milik pegawai kanan polis itu mesti disiasat pihak berkuasa Malaysia dan individu terlibat perlu didakwa jika didapati bersalah dan kes siasatan itu perlu dibuka semula.

“Jangan sembunyikan penyelewengan daripada rakyat,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Mereka mengulas laporan Sydney Morning Herald (SMH), pihak berkuasa Australia membekukan satu akaun bank hampir RM1 juta milik Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd.

Polis Persekutuan Australia (AFP) mengesyaki “kemasukan wang tunai mencurigakan” dalam akaun “Goal Saver” Bank Commonwealth milik Najmuddin yang tidak aktif selepas dibuka pada 2011.

Menurut laporan itu, kemasukan wang kurang daripada A$10,000 bermula seminggu selepas Najmuddin melawat Australia pada 2016.

Polis Malaysia membersihkan nama Najmuddin melalui satu siasatan dalaman selepas dimaklumkan AFP.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim ketika dihubungi FMT berkata, laporan SMH itu ialah “cerita lama” kerana hasil siasatan dalaman 2 tahun lalu mendapati Najmuddin tidak melakukan sebarang salah laku.

SMH melaporkan baki akaun Najmuddin bertambah hampir A$290,000 kepada A$320,000 (RM972,000) dalam tempoh sebulan, menyebabkan pihak berkuasa mengesyaki wang itu adalah hasil kegiatan jenayah atau pengubahan wang haram.

Najmuddin menjelaskan wang itu untuk membayar yuran pengajian ijazah sarjana anak perempuannya.

Cynthia menyarankan Najmuddin bercuti serta-merta sehingga pihak berkuasa selesai melakukan siasatan.

“Beliu perlu mengambil cuti atau digantung kerja sehingga siasatan selesai. Ini penting untuk menjaga integriti kepimpinan pegawai polis.”

Katanya, kes itu perlu disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001.

Tiada ulasan: