Jumaat, 2 Mac 2018

Suhakam digesa siasat dakwaan dera dalam tahanan polis



Sivamalar-Genapathy
Sivamalar di ibu pejabat Suhakam meminta siasatan ke atas dakwaan seorang pemuda didera dalam tahanan polis.


PETALING JAYA: Wanita PKR hari ini menggesa Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menyiasat dakwaan seorang pemuda didera dalam tahanan polis di lokap Ibu Pejabat Polis Kuala Selangor November lepas.

Naib Ketua Wanita PKR Sivamalar Genapathy dalam kenyataan berkata Jayeendiran Kumaresan, 18, membuat aduan rasmi di Suhakam hari ini selepas 3 bulan menunggu tindakan polis.

Beliau berkata Jayeendiran dan bapanya, A Kumaresan, ditahan pada 7 November dan direman 8 hari dalam siasatan ke atas kes rompakan.

Jayeendiran mendakwa dia diseksa dan dipukul dengan paip getah selama lebih 1 jam oleh 2 anggota polis berpakaian biasa dalam tempoh reman itu.

Beliau berkata dia dipaksa membuat pengakuan salah selepas polis didakwa mengancam untuk memukul bapanya, kata Sivamalar.

Sivamalar berkata Jayeendiran mengadu kesakitan dan kehausan, selepas seorang pegawai menendangnya dan seorang lagi menuangkan air dari mangkuk tandas ke dalam lubang hidungnya.

Jayeendiran dan bapanya dibebaskan tanpa sebarang tuduhan, tetapi pemuda itu kini menghadapi trauma akibat pengalamannya, kata Sivamalar.

Pemuda itu membuat laporan polis pada 27 November tetapi tiada tindakan konkrit daripada Bukit Aman, kata Sivamalar.

Ketua Biro Guaman Wanita PKR itu berkata aduan ke Suhakam dibuat sehari selepas perdana menteri melancarkan Pelan Tindakan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (NHRAP).

“Sekiranya perdana menteri benar-benar ikhlas, maka beliau mesti membuktikan komitmen beliau dengan segera menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis, jika tidak terbukti ialah satu lagi janji kosong dan gimik pilihan raya.”

Tiada ulasan: