KUALA TERENGGANU: Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersedia melepaskan
jawatan sebagai Naib Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia (KUIS)
berikutan kunjungannya ke Persidangan Lembaga Taqrib Mazhab Antarabangsa
di Tehran, Iran yang terus mendapat kecaman daripada beberapa pihak.
Presiden PAS itu berkata, penjelasan terperinci mengenai kehadirannya
ke persidangan tahunan tersebut sudah dimaklumkan kepada pihak kesatuan
melalui surat yang dihantar kepada Setiausaha Agung, Prof. Dr. Ali
Qaradaghi, empat hari lalu.
"Saya sudah tulis surat (penjelasan) dan bersedia untuk letak jawatan.
Saya pegang jawatan bukan saya minta sebaliknya dilantik," katanya
kepada pemberita di kediamannya di Rusila dekat sini hari ini sejurus
selesai menyampaikan kuliah Jumaat di Masjid Rusila yang terletak
bersebelahan.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai teguran Presiden KUIS, Dr. Yusuf
al-Qaradawi terhadapnya, beliau tidak pasti adakah benar kenyataan
tersebut daripada pemimpin tersebut atau sebaliknya.
"Beliau uzur jadi saya tidak tahu sama ada kenyataan beliau itu benar atau tidak. Atau mungkin daripada orang lain," jelasnya.
Kunjungan Abdul Hadi ke Tehran menjadi semakin panas apabila nama KUIS
turut diheret sehingga menyebabkan Dr. Yusuf tampil membuat kenyataan
selain menegur tindakan Presiden PAS itu.
Bagaimanapun, semalam, Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Dr.
Mohd. Khairuddin Aman Razali menegaskan kehadiran pemimpin itu adalah
mewakili parti berkenaan bagi menyatakan pendirian PAS terhadap krisis
di Asia Barat.
No comments:
Post a Comment