Kalau betul negara memerlukan seorang calon PM sementara, bukankah lebih wajar mencadangkan seorang yang betul-betul dapat memimpin, tetapi waktunya terhad seperti Tun Dr Mahathir Mohamad yang popularitinya hampir setara dengan Anwar?
Timmy Say, Free Malaysia Today
Permainan politik ke arah Pilihan Raya Umum ke-14 semakin hangat, terutamanya di pihak pembangkang.
Namun seperti biasa, sasaran permainan
politik pembangkang bukanlah ke arah menyerang Umno-BN, sebaliknya ke
arah menonjolkan diri dan mematikan langkah rakan sendiri.
Yang menariknya, cadangan dilontar
pembangkang ke media kelihatan tidak dibincang terlebih dahulu semasa
mereka sendiri. Mereka mengharapkan rakyat dan media akan menyambut
cadangan tersebut lalu dibahas dan dihangatkan sebelum idea itu
digunakan sebagai senjata untuk menekan sesama mereka sendiri.
Minggu ini terdapat 2 idea menarik. Idea
pertama ialah lontaran daripada Pemuda PKR agar Amanah diserapkan ke
dalam PKR. Idea kedua ialah pendedahan awal DAP yang Datuk Seri Dr Wan
Azizah Wan Ismail diangkat sebagai calon perdana menteri sementara dan
Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon timbalan perdana menteri
sementara.
Bubar Amanah
Idea agar Amanah dibubar disambut hangat
oleh media pro-pembangkang seperti Malaysiakini – yang terus-menerus
membicarakan isu tersebut walaupun idea ini ditolak mentah-mentah oleh
Amanah dan setiausaha agung PKR tanpa kajian mendalam.
Entah-entah idea itu ditolak bukan kerana
ideanya, tetapi kerana siapa di belakang idea tersebut memandangkan
pencadangnya, Timbalan Ketua Pemuda PKR, Dr Afif Bahardin dilihat adalah
watak yang pro-Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Dari perspektif PKR, boleh difahami
mengapa idea sebegitu terkeluar daripada sebahagian pemimpin mereka.
Masih ingatkah insiden di mana DAP mendesak PKR agar Selangor dan Pulau
Pinang membubarkan DUN untuk diadakan pilihan raya negeri? Amanah
bertindak menyokong cadangan DAP tanpa mempedulikan kesulitan yang
terpaksa dihadapi PKR.
Barangkali inilah yang menyebabkan
ada sebahagian PKR yang merasakan Amanah tidak membawa sebarang nilai
tambah kepada PKR, selain menjadi undi DAP kedua di dalam Pakatan
Harapan untuk memaksa PKR akur kepada idea kontroversi. Bukan itu
sahaja, Amanah sebenarnya juga menjadi masalah besar dalam rundingan
mencapai persetujuan satu-lawan-satu antara parti-parti pembangkang
dengan Umno-BN.
Calon PM
Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar mendedahkan Pakatan Harapan akan mengumumkan calon perdana menteri mereka tidak lama lagi.
Peliknya, Penasihat DAP, Lim Kit Siang
terlebih dahulu mendedahkan calon perdana menteri sementara ialah Dr Wan
Azizah, manakala calon timbalan perdana menteri sementara pula ialah
Muhyiddin di dalam satu ceramah.
Apakah tujuan Kit Siang membuat
pengumuman ini tanpa menunggu pengumuman rasmi seperti disebut Nurul
Izzah tidak diketahui? Ada yang berbisik sesiapa pun calon PM Pakatan
Harapan, DAP adalah de facto leadernya, dan apa yang dilakukan Kit Siang
menguatkan bisikan ini.
Yang hairannya, mengapa Azmin tidak
dipilih sebagai calon PM? Dengan memilih Azmin, sebenarnya tiada
keperluan untuk mengangkat seorang calon PM sementara. Dr Wan Azizah
ialah orang PKR, Azmin juga orang PKR, malah Azmin berpengalaman sebagai
menteri besar Selangor.
Sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim
dibebaskan selepas Pakatan Harapan menang di PRU14, beliau boleh
dilantik sebagai penasihat perdana menteri, dan de facto leader kepada
kerajaan Pakatan Harapan seperti struktur organisasi PKR yang jauh lebih
berkuasa daripada mereka yang memegang jawatan.
Dalam keadaan itu, Azmin boleh terus berperanan sebagai PM tanpa perlu ditukar dan Anwar pula adalah de facto ketua kerajaan.
Kalau betul negara memerlukan seorang
calon PM sementara, bukankah lebih wajar untuk mencadangkan seorang yang
betul-betul dapat memimpin, tetapi waktunya terhad seperti Tun Dr
Mahathir Mohamad yang popularitinya hampir setara dengan Anwar, jika
kajian Persepsi Rakyat Selangor 2016 dijalankan Institut Darul Ehsan
(IDE) dijadikan rujukan, walaupun agak janggal bagi IDE untuk tidak
menyertakan nama Azmin dalam kajian populariti pemimpin yang dibuatnya.
Apakah penulis tersilap baca atau sememangnya ada perang sulit antara DAP dan Amanah dengan team Azmin di PKR?
No comments:
Post a Comment