Isnin, 25 Jun 2018

Undang-undang tanah adat Sarawak akan dipinda pada Julai, kata Baru

THE MALAYSIAN INSIGHT

Undang-undang tanah adat Sarawak akan dipinda pada Julai, kata Baru
Adun Selangau Baru Bian berkata pindaan itu bagi membolehkan penduduk peribumi mendapatkan semula hak mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight
 
UNDANG-undang tanah adat di Sarawak akan dipinda apabila Dewan Undangan Negeri mula bersidang bulan depan, kata Ketua PKR negeri, Baru Bian.

Beliau berkata pindaan itu bagi membolehkan penduduk peribumi mendapatkan semula hak mereka.

"Ini isu panas yang belum selesai. Bagi penduduk peribumi, tanah adat tidak hanya terhad kepada tanah yang sudah diterokai sebelum 2008.

"Sarawak mahu meminda undang-undang apabila DUN bersidang pada Julai," katanya menerusi temu bual bersama Astro Awani malam ini.

Ada khabar angin bahawa Baru akan dinamakan sebagai menteri kerja raya apabila Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan senarai penuh menteri Kabinet.

Adun Selangau itu berkata sekiranya khabar angin itu benar, beliau akan mengusulkan pembangunan infrastruktur seperti jalan raya dan lebuh raya, terutamanya di Sarawak.

"Menteri yang bertanggungjawab ke atas kerja-kerja awam tidak harus menumpukan kepada pembinaan lebuh raya. Mereka juga perlu memberi tumpuan kepada jalan-jalan utama ke kawasan pedalaman.

"Saya mengharapkan pembinaan lebuh raya dan jalan raya yang memenuhi piawai. Kawasan luar bandar Sarawak perlu dihubungkan, seperti Lawas, Kapit dan Bario."

Tiada ulasan: