Isnin, 25 Jun 2018

Tuduhan miliki ratusan juta cuba jejas reputasi – Azmin

Nizam Zain
xMGF24062018_OPENHOUSEMBSELANGOR_19-2-681x454
Mohamed Azmin Ali duduk bersebelahan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Negeri Selangor 2018 di Padang B, Dataran Kemerdekaan Shah Alam, Selangor. foto AFIQ RAZALI
 

SHAH ALAM – Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menafikan dakwaan beliau memiliki dana ratusan juta ringgit di luar negara sepanjang beliau menggalas jawatan Menteri Besar Selangor sejak 2014.

Mohamed Azmin menegaskan dakwaan itu bertujuan untuk mencemarkan nama baik dan imej beliau yang kini memegang jawatan Menteri Hal Ehwal Ekonomi dalam Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan (PH).

“Ini tuduhan yang palsu dan berniat jahat, kita tidak harus melayani fitnah dan tohmahan ini.

“Ini satu percubaan yang jahat dan merupakan satu fitnah, malicious attempt untuk mencemarkan reputasi saya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Kerajaan Negeri Selangor di Dataran Kemerdekaan, di sini, hari ini.

Beliau mengulas dakwaan sebuah blog milik seorang kakitangannya yang membuat dakwaan menerusi toyolofselangor.wordpress.com yang disebarkan kepada petugas media menerusi aplikasi Whatsapp lewat malam tadi.

Blog berkenan turut mempersoalkan polisi tiada hadiah yang diuar-uarkan pimpinan Pakatan Harapan di sebalik kewujudan 54 akaun yang didakwa ditemui di beberapa negara.

Akaun-akaun ini berjumlah ratusan juta dalam mata wang yang berbeza telah dibuka di Malaysia, Indonesia, Singapura, Dubai, Hong Kong, India, Shanghai, Abu Dhabi, Australia, Zurich dan Amerika Syarikat atas nama Mohamed Azmin.

Selain itu, blog berkenaan turut mendakwa ada 47 akaun lain turut dibuka di atas nama isterinya, Shamsidar Taharin dan proksinya, Muhammad Gaddafi Kamal dengan 54 akaun.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin juga mencabar pemilik blog berkenaan agar membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya dakwaan itu berasas.

“Sesiapa yang buat tuduhan kena tampil dan buat laporan secara bertulis, jangan buat tuduhan tidak berasas dan fitnah, ini satu perkara tidak harus berlaku dalam suasana hari ini.

“Sekiranya mana-mana individu pihak yang yakin mempunyai bukti kuat dan kukuh tampil kepada pihak berkuasa supaya siasatan dapat dilakukan.

“Saya dari dulu (sedia disiasat), tuduhan ini bukan baru. Siapa yang buat tuduhan saya tidak tahu, sebab itu dia kena tampil dengan bukti yang kukuh,” katanya.

Ditanya tentang kewajaran beliau mengisytiharkan asetnya untuk menafikan dakwaan berkenaan, beliau berkata, langkah itu telah diamalkan pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor sejak 2008.

“Memang kita telah amalkan di Selangor sejak 2008. Dasar kita ialah semua pihak eksekutif melaporkan aset supaya ketelusan dan kebertanggungjawaban ini menjadi prinsip dalam pentadbiran,” katanya lagi. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: