Rabu, 13 Jun 2018

SUDAH ADA YANG MENYESAL – NAJIB




Datuk Seri Najib Razak berkata rakyat sudah mula menyuarakan kekesalan mereka berhubung keputusan menyokong Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Malah bekas Perdana Menteri itu berkata, nasib 17,000 kakitangan penjawat awam bertaraf kontrak yang ditamatkan perkhidmatan oleh Kerajaan PH juga mungkin lebih baik sekiranya Barisan Nasional (BN) terus kekal mentadbir negara.

Ahli Parlimen Pekan itu berkongsi nukilan seorang guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) yang menyatakan dirinya adalah pengundi PH pada PRU14 kerana sering dimomokkan sejak anaknya lahir bahawa Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) adalah punca kepada kenaikan harga barang.

“Mana dia pergi pun peniaga kata GST menyebabkan (harga) barang naik, dia tidak sebut pun sebagai seorang guru KAFA dia mendapat pembelaan daripada kerajaan (sebelum 9 Mei).

“Selepas 9 Mei dia mendapat penamatan sebagai guru KAFA pada awal Ramadan, bila tengok dua anak kecilnya…air matanya menitis kerana terbayang apa bakal terjadi kepada anaknya itu dan menampung perbelanjaan.

“Timbul kesedaran bahawa BN yang memberi pembelaan kepada guru KAFA, BN tidak tergamak memberhentikan 3,000 guru KAFA yang termasuk 17,000 kakitangan kontrak kerajaan namanya ada dan saya hendak berhubung dengannya kerana dia menyesal mengundi pakatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan kepada 100 asnaf di Masjid Kampung Polo di Pekan, pada Selasa.



Turut hadir, isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebar, Datuk Mohd Fakhruddin Mohd Arif.

Najib berkata perasaan kesal dan insaf bahawa hanya kerajaan BN memberi pembelaan kepada penjawat awam selama ini hanya dirasai selepas ‘perkara itu tiada’.

“Apakan daya mungkin mereka tertipu atau membuat satu pertimbangan berdasarkan kepada hasutan atau kempen kebencian tanpa melihat kepada kebaikan BN, kebaikan kita tidak nampak semasa itu, hanya sedar bila sudah tiada.

“Tetapi sebagai hamba Allah, kita kena terima dan terpaksa bina masa depan kita sebagai sebuah parti yang tiada kuasa kerajaan,” katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pekan turut berterima kasih kepada pengundi di Parlimen Pekan kerana memberi mandat dan memenangi kerusi itu dengan majoriti tertinggi di Malaysia bagi BN.

“Sebagai Ahli Parlimen Pekan, sudah tentu saya terus terpanggil untuk melunaskan tanggungawab selepas diberi kepercayaan dan mandat oleh pengundi,” katanya.


Tiada ulasan: