Jumaat, 1 Jun 2018

Sifar GST: Harga Perodua turun

Perodua tawar rebat sehingga RM800 bagi model terpilih sepanjang Jun


KUALA LUMPUR – Syarikat Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) akan mengurangkan harga jualan kereta sehingga RM3,500 berikutan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada kadar sifar peratus, mulai esok.

Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Datuk Dr Zahari Husin berkata, mulai 1 Jun 2018, syarikat itu akan menurunkan sehingga 5.6 peratus harga jualan bagi kebanyakan model kereta Perodua.

“Memandangkan kerajaan telah mengumumkan bahawa cukai jualan dan perkhidmatan (SST) akan dilaksana semula pada September, maka kami menggalakkan semua rakyat Malaysia memanfaatkan tawaran bebas cukai selama tiga bulan ini.

“Ia juga adalah masa terbaik untuk membeli kereta Perodua,” katanya.

Beliau berkata, menerusi kadar sifar peratus itu, Perodua juga akan menghentikan pembayaran balik GST untuk pembelian kenderaan, alat ganti serta servis di pusatnya, yang diperkenalkan pada 18 Mei lalu.

Katanya, Perodua juga akan menawarkan rebat sehingga RM800 bagi model terpilih untuk sebarang pembelian yang dibuat pada Jun ini.

“Sila layari mana-mana cawangan jualan dan perkhidmatan Perodua di seluruh negara untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai produk dan perkhidmatan kami.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia atas sokongan mereka yang berterusan dan mengucapkan Salam Ramadan serta selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri,” katanya.


Tiada ulasan: