Jumaat, 1 Jun 2018

Najib letak jawatan Pengerusi Lembaga Pengarah Khazanah

ISMAWEB


BANGI – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Khazanah Nasional Bhd (Khazanah Nasional) berkuat kuasa serta-merta.

Khazanah Nasional dalam satu kenyataan sebentar tadi memaklumkan bahawa bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah, turut meletak jawatan sebagai pengarah berkuat kuasa semalam dan 23 Mei lalu.

Kenyataan itu dibuat selepas beberapa jam Menteri Kewangan, Lim Guan Eng membayangkan bahawa Najib serta pemegang jawatan lantikan politik dalam Lembaga Pengarah Khazanah Nasional, sepatutnya meletak jawatan.

“Sangat sesuai dan wajar buat mereka melakukan perkara yang betul, mereka harus tahu apa yang perlu dilakukan. Semakin cepat semakin baik,” kata Guan Eng pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Peletakan jawatan itu adalah susulan perubahan dalam kepemimpinan Kerajaan Persekutuan daripada Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH) yang menang Pilihan Raya Umum Ke-14, 9 Mei lalu.

Khazanah adalah sayap pelaburan strategik kerajaan yang diamanahkan untuk memegang dan menguruskan aset komersial kerajaan dan melaksanakan pelaburan strategik.

Syarikat itu terbabit dalam pelbagai sektor seperti tenaga, telekomunikasi, institusi kewangan, penjagaan kesihatan, penerbangan, infrastruktur, pelancongan, hartanah, kreatif dan media, pendidikan serta inovasi dan teknologi.


Tiada ulasan: