THE MALAYSIAN TIMES
KUALA LUMPUR:
Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V menyambut baik pendekatan
kerajaan dalam menegakkan ketelusan, terutamanya dengan mendedahkan
kedudukan kewangan negara yang sebenar, mengkaji semula perbelanjaan,
kos projek dan mengurus kewangan secara berhemat.
Baginda turut menyokong tindakan kerajaan memansuhkan Cukai Barang
dan Perkhidmatan (GST), menstabilkan harga minyak dan memberikan bantuan
sara hidup kepada golongan sasaran yang diharap dapat meringankan beban
rakyat.
“Pada masa sama, beta menghargai sumbangan rakyat tanpa mengira
agama, bangsa dan umur yang disalurkan kepada dana Tabung Harapan
sebagai tanda prihatin terhadap negara,” titah baginda semasa berucap
merasmikan pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-14 di
Dewan Rakyat hari ini.
Pada 24 Mei lalu, kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mengambil alih
tampuk pemerintahan negara selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9
Mei lepas, mendedahkan kedudukan hutang negara mencecah RM1.08 trilion
atau 80.3 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setakat
31 Dis 2017.
Ekoran itu, kerajaan memperkenalkan langkah-langkah mengurangkan
perbelanjaan sejajar dengan kedudukan sebenar kewangan negara termasuk
mengkaji semula pelaksanaan serta kos projek tertentu.
Selain itu kerajaan PH juga telah melaksanakan GST sifar dan cukai
itu akan dihapuskan seperti yang dijanjikan dalam manifestonya serta
digantikan dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Dalam titah ucapan baginda, Sultan Muhammad V turut menzahirkan
ucapan tahniah kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan
barisan kepimpinan yang dipilih menerajui pentadbiran negara serta
seluruh anggota Parlimen yang terpilih pada PRU lepas.
“Beta percaya Ahli-ahli Yang Berhormat akan mengambil bahagian dalam
perbahasan yang sihat, matang, dapat merangsang dinamik berfikir, bukan
untuk mencari pihak yang benar tetapi untuk menemukan apa yang baik lagi
benar, memberi cadangan, teguran dengan penuh berhemah dan bijaksana,
penuh kesopanan bertatasusila, supaya institusi Parlimen terus
dihormati, dipandang tinggi oleh rakyat dan dunia luar,” titah baginda.
Baginda turut meminta semua pihak akur dan berlapang dada, tidak
emosional, tidak mewarnai pemikiran bermodal fitnah dan sentimen melulu,
sempit serta tertutup.
“Beta berharap semua pihak hendaklah berusaha melakukan penjernihan
yang ikhlas dan sungguh-sungguh bagi mewujudkan perpaduan yang tulen
lagi murni. Mencari titik persamaan bukan perbezaan dengan bekerjasama,
untuk kesejahteraan rakyat dan survival negara,” titah baginda.
Baginda juga berharap semua kejayaan, pencapaian serta pengiktirafan
dalam pelbagai bidang yang dicapai negara sebelum ini dapat
dipertingkat.
Bagi mencapai matlamat itu, baginda menyarankan agar kerajaan, pihak
swasta dan rakyat terus bekerjasama dalam usaha menyusun masyarakat,
terutama memperbaiki kedudukan ekonomi rakyat yang masih terpinggir.
“Pembelaan terhadap ekonomi rakyat yang terpinggir tidak harus
dilihat sebagai dasar diskriminasi perkauman, tetapi sebagai usaha
menebus ketidakadilan sosial yang telah diwarisi sekian lama,” titah
baginda.
Bertitah di hadapan anggota-anggota Parlimen yang telah mengangkat
sumpah semalam, baginda turut menyentuh cabaran-cabaran yang mendepani
rakyat dan negara seperti ekonomi global, konflik politik, krisis
kemanusiaan pada peringkat antarabangsa dan ancaman fahaman radikal
serta era Revolusi Perindustrian 4.0.
“Justeru, beta mengalu-alukan sebarang inisiatif melalui penggubalan
dasar, strategi dan kerangka perundangan untuk mendepaninya. Beta
berharap faedah yang diperoleh bukan hanya aspek ekonomi tetapi meliputi
aspek sosial dan lain-lain,” baginda bertitah.
Dalam pada itu, titah baginda lagi kepatuhan kepada ajaran agama dan
nilai-nilai murni tidak harus diabaikan dan semua pihak hendaklah lebih
serius menangani gejala sosial dan elemen-elemen negatif yang boleh
merosakkan masyarakat dan negara.
“Dalam hal ini, semua lapisan masyarakat, organisasi kerajaan, badan
bukan kerajaan dan golongan ilmuan perlu duduk semeja untuk mencari
penyelesaian atas masalah-masalah berbangkit,” titah baginda.
Baginda turut menyeru agar perpaduan serta keharmonian dalam kalangan
rakyat terus dipelihara dan diperkukuh serta elemen-elemen negatif dan
tindak-tanduk yang mengganggu-gugat kesepaduan perlu dibanteras dan
menghentikan ungkitan terhadap isu-isu sensitif antara kaum.–
Bernama