Isnin, 18 Jun 2018

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

 
Dolar AS melonjak selepas petunjuk membayangkan Rizah Persekutuan AS akan menaikkan lagi kadar faedah.






KUALA LUMPUR: Ringgit menongkah arus daripada momentum meningkat minggu lepas untuk dibuka rendah pada pagi tadi berikutan kekukuhan dolar AS, kata seorang peniaga.

Pada 9.01 pagi, ringgit berada pada 3.9960/4.000 berbanding dolar AS daripada paras penutup 3.9835/9875 pada Khamis minggu lepas.

Dolar AS melonjak hampir ke paras tertinggi dalam tempoh 7 bulan selepas petunjuk yang membayangkan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) akan menaikkan lagi kadar faedah, dengan 2 lagi kenaikan dijangkakan sebelum akhir tahun.

Selepas mesyuarat pada Rabu, Fed menaikkan kadar faedah sebanyak 0.25% bagi kali kedua tahun ini kepada antara 1.75% dan 2%.
Menurut peniaga itu, penyertaan lemah dalam pasaran tempatan disebabkan oleh ramai peniaga masih lagi bercuti sempena hari raya, yang mana turut menyumbang kepada prestasi kurang memberangsangkan pasaran.

Bagaimanapun, ringgit diniagakan tinggi berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 2.9550/9586 daripada 2.9861/9896 pada Khamis minggu lepas dan naik berbanding yen Jepun kepada 3.6143/6189 daripada 3.6230/6270.

Ringgit mengukuh berbanding pound British kepada 5.2991/3064 daripada 5.3506/3576 dan meningkat berbanding euro kepada 4.6270/6320 daripada 4.7097/7160.

Pasaran ditutup pada Jumaat minggu lepas sempena cuti Hari Raya.

Tiada ulasan: