Azmin bagaimanapun enggan mendedahkan nama yang beliau persembahkan tetapi katanya, hanya ada satu nama yang diangkat kepada Tuanku.
Beliau juga tidak mahu menyatakan sama ada bakal penggantinya itu seorang wakil rakyat yang sudah sedia memegang jawatan ahli majlis mesyuarat negeri atau tidak.
"Menteri Besar Selangor yang baharu akan diketahui esok," katanya, seperti dipetik Sinar Online.
Menurut Azmin lagi, calon tunggal itu juga sudah dipersetujui oleh pucuk pimpinan PKR.
Media sebelum ini melaporkan ada dua nama yang disebut-sebut calon menteri besar Selangor, iaitu antara Adun Sungai Tua, Amirudin Shari yang juga Exco kerajaan negeri dan Adun Ijok, Dr Idris Ahmad.
Ditanya oleh pemberita adakah calon menteri besar itu orang muda atau yang lebih berpengalaman, Azmin hanya menjawab berseloroh, "calon adalah orang Malaysia."
Sultan Selangor sebelum ini sudah memberi perkenan untuk istiadat pelantikan dan angkat sumpah jawatan Menteri Besar Selangor dilangsungkan esok di Istana Alam Shah, Klang.
Azmin juga akan melepaskan jawatan menteri besar berkuat kuasa esok setelah dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi dalam barisan Jemaah Menteri Dr Mahathir Mohamad, baru-baru ini.
Azmin tiba di Istana Bukit Kayangan lebih kurang pukul 10.45 pagi dan mengadap Sultan Selangor selama lebih satu jam.
Beliau turut memberitahu, pertemuan dengan Sultan Selangor hari ini bukan juga yang terakhir baginya kerana akan mengadap lagi esok untuk satu mesyuarat terakhir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan