Memaparkan catatan dengan label PASARAN / NIAGA. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PASARAN / NIAGA. Papar semua catatan

Selasa, 1 September 2020

63 tan makanan ikan diseludup dari Oman dirampas

Nurul Hidayah Bahaudin
 
MAKANAN ikan yang diimport dari Oman di Pelabuhan Klang Barat, Selangor, Isnin lalu. FOTO ihsan MAQIS

SEBANYAK 63 tan makanan ikan yang diimport dari Oman bernilai RM240,000 dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Selangor selepas menahan dua kontena di Pelabuhan Klang Barat, Selangor, Isnin lalu.

Pengarah MAQIS Selangor, Dr Tarmisal Alimin berkata, ketika pemeriksaan dilakukan terhadap dua kontena berkenaan, terdapat dua jenis makanan ikan yang dibawa masuk tanpa permit import sah.

"Hasil rampasan itu dianggarkan seberat 63,000 kilogram (63 tan) dan bernilai RM240,000.

"Dua kontena terbabit disita untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

"Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, MAQIS akan sentiasa memastikan ketelitian dan kecekapan bagi setiap pemeriksaan yang dilaksanakan untuk semua keluaran pertanian yang diimport ke negara ini.

"Ia bertujuan bagi menjamin setiap keluaran pertanian yang dibawa masuk ke negara ini tiada perosak dan penyakit serta mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan kerajaan," katanya

Selasa, 25 Ogos 2020

Harga siling penutup muka tumpuan Dewan Rakyat hari ini

azrulhakimie 

 

Adakah kerajaan akan turunkan harga secara berperingkat?

KUALA LUMPUR – Persoalan sama ada kerajaan akan menurunkan lagi harga siling pelitup muka tiga lapis yang berkuat kuasa pada harga RM1 ketika ini, bakal dibangkitkan dalam persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, isu itu terkandung dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri yang diajukan Cha Kee Chin (PH-Rasah) kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Cha ingin tahu sama ada harga siling itu akan diturunkan secara berperingkat pada masa depan memandangkan bekalan pelitup muka mencukupi dan harga pasaran semasa lebih murah daripada harga siling.

Dalam sesi sama, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) akan bertanya kepada Menteri Kesihatan mengenai sama ada kementerian itu bercadang untuk memberi pegawai perubatan kontrak kemudahan yang setara dengan pegawai perubatan tetap memandangkan mereka memberi perkhidmatan sama kepada masyarakat.

Pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan pula, tumpuan beralih kepada soalan Ahmad Johnie Zawawi (GPS-Igan) yang meminta Menteri Kerja Raya menyatakan jumlah penjimatan oleh kerajaan dengan penamatan Perjanjian Rakan Pelaksana Projek (PDP) Pan Borneo Sarawak serta jangkaan projek berkenaan siap sepenuhnya.

Usai sesi itu, Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi dijangka membacakan Rang Undang-undang Koperasi (Pindaan) 2020 buat kali pertama.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 25 hari sehingga 27 Ogos berpandukan kebiasaan baharu dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan COVID-19. – Bernama

Ahad, 23 Ogos 2020

Papagomo, jangan fitnah kami – Pak Ya Bistro

Mohammad Arif Nizam
WhatsApp-Image-2020-08-22-at-9
Kedai Pak Ya Bistro

SLIM RIVER – Restoran popular dengan mi udang, Pakya Bistro dan Catering di Kuala Slim di sini menafikan tuduhan Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Wan Muhammad Wan Deris yang kedai tersebut ditutup selepas ‘dibayar’ oleh jentera parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Menerusi kenyataan di laman Facebook, pemilinya, Pakya atau nama sebenarnya Shafee Abdullah berkata, kenyataan dikeluarkan oleh Wan Muhammad atau lebih dikenali sebagai Papagomo adalah bersifat fitnah.

Jelas pemilik kedai itu lagi, beliau langsung tidak takut dengan kehadiran Papagomo untuk berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.

“Pakya ingin tegaskan Kedai Pakya tutup hari ini untuk restock (isi semula bekalan) udang, udang habis.

“Bukan sebab takut Papagomo datang ke kedai berkempen atau dibayar oleh mana-mana parti,” katanya.

Mengulas lanjut, Pakya berkata, dia tidak menyokong mana-mana parti yang bertanding dalam PRK tersebut.

“Tetapi tolong jangan fitnah Pakya macam ini Papagomo. Pakya minta maaf ya, Pakya tak main politik (dan) ini satu fitnah,” katanya sambil mempelawa Papagomo untuk datang ke kedainya.

Sebelum ini, Papagomo dalam kemas kini di laman Instagram mendakwa kempennya terpaksa ditukar ke Felda Besout 2 di sini selepas kedai Pakya ditutup, kononnya untuk menghalang dia berkempen di situ.

“Kedai Pakya terpaksa ditutup atas alasan tukang masak cuti. Tetapi kau orang semua boleh bayangkan lah berhadapan dengan geng pejuWANG (dipercayai merujuk kepada Pejuang) ini, mereka semua boleh bayar sama ada nak buka atau tutup,” tulis Papagomo.

Bagaimanapun, Papagomo yang sering mencetuskan kontroversi dalam kemas kini terbaharunya hari ini tampil memohon maaf susulan dakwaan tersebut.

PRK DUN Slim pada 29 Ogos ini akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi dan dua calon Bebas iaitu Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, daripada parti Pejuang (sebelum ini belum didaftarkan lagi), 38, dan S. Santhasekaran, 44. – MalaysiaGazette

MAQIS Pulau Pinang rampas lemak babi untuk buat biskut

Agensi
WhatsApp-Image-2020-08-23-at-10
Pemeriksaan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan 
Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang mendapati tiada nama dan 
alamat loji dinyatakan pada label pembungkusan tersebut.

BUTTERWORTH – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang, merampas 16,200 kilogram (kg) lemak babi bernilai RM110,456.37 yang dibawa masuk daripada Belanda kerana tidak mematuhi syarat import, dalam pemeriksaan di Pelabuhan Pangkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT), di sini pada Isnin.

Pengarahnya, Zarina Ramli berkata, pemeriksaan pihaknya pada 9 malam mendapati sebuah kontena yang membawa lemak babi itu, tidak mematuhi syarat import yang ditetapkan oleh MAQIS.

“Berikutan itu, kami merampas semua 1,620 bekas mengandungi lemak babi dan kes tersebut disiasat menurut Seksyen Seksyen 15(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011, iaitu  pengimportan atau pengeksportan tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian atau mikroorganisma, hendaklah mematuhi syarat import sebagaimana yang dinyatakan dalam permit, lesen atau perakuan, atau syarat eksport, sebagaimana yang dinyatakan dalam permit atau lesen.

“Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau keduanya,” katanya dalam kenyataan hari ini seperti dipetik Bernama.

Katanya, pihak MAQIS sentiasa bersedia untuk melakukan tugasan di semua pintu masuk negara, bagi memastikan komoditi haiwan, pertanian dan ikan yang masuk atau keluar dari negara ini, mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh Kerajaan, bagi memastikan keselamatan makanan terjamin serta selamat di negara ini.

Sementara itu, jurucakap MAQIS berkata, pemeriksaan pihaknya mendapati tiada nama dan alamat loji dinyatakan pada label pembungkusan tersebut.
“Siasatan mendapati lemak babi itu dibawa masuk ke negara ini dipercayai untuk bahan pembuatan biskut,” katanya dalam kenyataan. – MalaysiaGazette

Sabtu, 22 Ogos 2020

Kerajaan jamin harga siling pelitup muka turun lagi bulan depan

twitter sharing button
whatsapp sharing button
sharethis sharing button 
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi berkata, kementerian menjangka harga siling pelitup muka 3 lapisan turun di bawah RM1 sekeping bulan depan.

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan harga siling pelitup muka 3 lapis akan diturunkan lagi bulan depan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata, kementerian kini dalam peringkat akhir perbincangan untuk menetap harga siling berkenaan berdasarkan permintaan semasa.

“Kami jangka harga siling pelitup muka akan turun lagi bawah RM1,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Kempen Beli Barangan Malaysia 2020 di sini, hari ini.

Nanta berkata, pihaknya sentiasa memantau bekalan pelitup muka di peringkat pengeluaran, import dan runcit bagi menentukan penurunan harga maksimum yang sewajarnya berdasarkan kepada situasi pasaran semasa.

“Kita tidak mahu harga yang terlalu rendah sehingga memberi masalah kepada pengilang dan berdepan dengan ketidakcukupan stok.

Alexander Nanta Linggi

“Bukan mudah bagi kami hendak letak harga siling, tetapi kami buat dengan menyelidik dan mengambil usaha untuk tengok keadaan sebenar sebelum meletakkan harga siling itu,” katanya.

Harga siling runcit bagi sekeping pelitup muka 3 lapisan ditetapkan RM1 berkuat kuasa 16 Ogos lepas.

Mengenai Kempen Beli Barangan Malaysia 2020 katanya, program itu akan diperluaskan ke negeri lain bermula di Melaka minggu depan.

“Kita sudah membuat pelbagai perancangan untuk melancarkan kempen itu di semua negeri seperti di Melaka dalam tempoh seminggu lagi dan seterusnya di Pulau Pinang, Perak, Pahang, Kelantan sehingga ke Sabah dan Sarawak,” katanya.

Nanta berkata, kementerian sentiasa memantau perniagaan dalam talian dalam usaha melindungi pengguna.

“Kita tidak terlepas pandang untuk melindungi pengguna yang membeli dalam talian. Kita tumpu perhatian bagaimana hendak melindungi mereka berdasarkan peraturan dan undang-undang sedia ada, selain pemantauan dan risikan penguatkuasaan KPDNHEP,” katanya.

Menurut beliau, kementerian turut menggalakkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menjalankan perniagaan dalam talian berikutan kebiasaan baru sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang memberi peluang perniagaan dalam talian melonjak naik.

Jumaat, 21 Ogos 2020

Petrol naik 3 sen, diesel turun 2 sen

PETALING JAYA: Kementerian Kewangan mengumumkan harga petrol akan naik 3 sen, manakala diesel turun 2 sen mulai tengah malam ini.

Harga RON95 meningkat daripada RM1.68 kepada RM1.71 seliter dan RON97 daripada RM1.98 kepada RM2.01 seliter.

Diesel pula turun 2 sen kepada RM1.80 seliter berbanding RM1.82.

Kadar baru itu akan berkuat kuasa esok sehingga 28 Ogos ini.

“Kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” kata Kementerian Kewangan dalam kenyataan petang ini.

Khamis, 20 Ogos 2020

Jalan Petaling jadi Jalan Cari Makan, sifar pekerja asing

MalaysiaGazette
MGF16042020_Photo-Essay-Suasana-KL_40-681x454
Ruang perniagaan yang lengang ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette 
susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan penularan wabak 
Covid-19 di Petaling Street, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI

KUALA LUMPUR – Jalan Petaling di Kuala Lumpur yang pernah menjadi tumpuan pelancong sebelum penularan wabak COVID-19 kini berwajah baharu sebagai Jalan Cari Makan.

Berlainan dengan imej Jalan Petaling yang dikuasai pekerja asing sebelum ini, jalan itu menawarkan pengalaman baharu iaitu gerai-gerai tidak lagi diusahakan tukang masak dari luar negara.

Pengerusi Persatuan Penjaja Kuala Lumpur, Datuk Ang Say Tee berkata, disebabkan wabak penyakit, jalan yang bersejarah itu telah kehilangan pelancong asing manakala penjaja telah kehilangan rezeki.

“Kami memperkenalkan konsep pasar malam supaya penjaja yang menjual barang lain kini boleh bertukar menjual makanan yang istimewa.

“Konsep ini diambil selepas mengkaji pasar malam dan budaya makanan ringan di Taiwan,” katanya kepada Oriental Daily.

Katanya, pertukaran wajah Jalan Petaling pada waktu malam bertujuan menyediakan peluang pendapatan kepada penjaja, selain mewujudkan destinasi makan-makan untuk pelancong domestik.

Jelasnya, persatuan penjaja akan menggunakan dua minggu untuk menilai konsep Jalan Cari Makan yang akan beroperasi dari pukul 3 petang hingga 9 malam.

“Jika sambutan menggalakkan, maka kami dapat melanjutkan waktu operasi kepada 12 tengah malam,” katanya.

Sebanyak 25 penjaja telah menyertai program transformasi itu, tetapi persatuan penjaja menyasarkan 60 gerai pada masa akan datang. – MalaysiaGazette

Rabu, 19 Ogos 2020

Kulim had waktu operasi premis perniagaan di beberapa kawasan

Siti Fatimah

 

Pengecualian kepada stesen minyak, klinik swasta, pasar borong

ALOR SETAR – Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, keputusan Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) mengehadkan waktu operasi perniagaan di beberapa mukim berkuat kuasa semalam, adalah selaras dengan bidang kuasa kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Katanya, walaupun semua tindakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 terletak di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan, ada peruntukan tertentu yang berada di bawah kuasa kerajaan negeri dan PBT.

“Jadi kuasa yang diperuntukkan di bawah PBT ialah mengehadkan aktiviti premis perniagaan dari pukul 12 tengah malam kepada 8 malam,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai notis pemberitahuan yang dikeluarkan MPKK semalam berkenaan waktu operasi premis perniagaan di beberapa mukim dan kawasan di Kulim susulan penularan COVID-19.

Menurut notis yang dimuat naik di laman Facebook PBT itu, semua perniagaan di mukim atau kawasan terlibat iaitu Mukim Keladi, Mukim Padang Cina, kawasan Kelang Lama, Mukim Karangan dan Mukim Padang Meha hanya dibenarkan beroperasi dari 8 pagi hingga 8 malam.

Bagaimanapun pengecualian diberikan kepada stesen minyak, klinik perubatan swasta, pasar borong dan kilang yang mendapat kelulusan operasi daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Bagi premis perniagaan makanan pula, mereka hanya dibenarkan menjual secara bawa pulang atau pandu lalu sahaja.

Dalam pada itu, notis sama juga menyenaraikan pasar malam dan pasar pagi di daerah itu yang ditutup sementara iaitu di Taman Mutiara, Kelang Lama, Sungai Karangan, Merbau Pulas dan Taman Desa Aman.

Orang ramai atau para peniaga diminta merujuk notis tersebut bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai kawasan yang terlibat. – Bernama

Serbu kedai jual arak tanpa lesen

Nurul Hidayah Bahaudin
 
ANGGOTA penguat kuasa MPS menyita lebih 1,000 botol minuman keras tanpa lesen di dua premis di Taman Seri Gombak, Selayang, kelmarin. FOTO Ihsan MPS

LEBIH 1,000 botol minuman keras tanpa lesen di dua premis di Taman Seri Gombak, Selayang, disita dalam serbuan Majlis Perbandaran Selayang (MPS), kelmarin.

Pengarah Jabatan Korporat MPS, Mohamad Zin Masoad berkata, pemeriksaan mendapati, sebahagian botol arak yang dirampas juga tidak mempunyai kebenaran import daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan dokumen kelulusan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi berkaitan.

"Hasil pemeriksaan mendapati terdapat lebih 1,000 botol arak yang tidak mempunyai lesen di dua kedai berkenaan.

"Malah, pemeriksaan lanjut juga mendapati kedua-dua premis terbabit tidak mempunyai lesen perniagaan yang sah.

"Tindakan sitaan itu dilakukan mengikut Undang-Undang Kecil 3(1) Perlesenan Establisymen Makanan (MPS) 2007," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam serbuan berasingan, Mohamad Zin berkata, pihaknya menyita meja dan kerusi di dua restoran di Taman Selayang Jaya yang diletakkan di kawasan kaki lima dan parkir kereta, kelmarin.

Dalam operasi yang dijalankan, 37 meja dan 134 kerusi plastik disita di kedua-dua restoran berkenaan.

"Tindakan tidak bertanggungjawab pemilik restoran terbabit menyebabkan kacau ganggu dan kesesakan lalu lintas yang teruk kepada penduduk sekitar selain dikhuatiri membahayakan nyawa pelanggan," katanya.

ANTARA botol minuman keras tanpa lesen yang disita. FOTO Ihsan MPS
ANTARA botol minuman keras tanpa lesen yang disita. 
FOTO Ihsan MPS

Katanya, tindakan sitaan yang dikenakan ke atas pemilik restoran itu dibuat selaras Sekyen 46(1)d Akta Parit dan Bangunan 1974.

"Untuk makluman, pengusaha restoran hanya boleh meletakkan kerusi dan meja dengan jumlah yang terhad supaya tidak menyebabkan kacau ganggu.

"Pada masa sama, setiap pengusaha restoran juga perlu mempunyai pelekat permit kebenaran daripada MPS di kawasan hadapan kedai masing-masing," katanya.

Beliau turut memberi amaran kepada peniaga supaya memastikan perniagaan mereka perlu mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa untuk mengelakkan sebarang tindakan dikenakan.

"MPS juga akan melakukan pemantauan berterusan dan tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan sama," katanya.

Pusat bandar George Town ibarat seperti mini Dhaka

Oleh NOOR HASLIZA NUSI
PENJUALAN ayam hidup di premis warga asing dekat George Town, Pulau Pinang. – Utusan/Amir Irsyad

GEORGE TOWN: Ibarat melancong di ibu kota Dhaka, Bangladesh.

Itulah suasana yang dapat digambarkan ketika berada berhampiran mercu tanda Pulau Pinang, Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini apabila didapati wujud lebih 20 premis perniagaan yang didominasiwarga Bangladesh.

Tinjauan Utusan Malaysia di Jalan Gurdwara, Jalan Mac­alister dan Jalan Penang di sini baru-baru ini mendapati premis yang dahulunya menempatkan kedai runcit, bengkel membaiki basikal dan menjual peralatan rumah seliaan warga tempatan kini telah berpindah tangan kepada warga asing.

Difahamkan, pemilik asal bangunan kedai berkenaan yang majoritinya beroperasi secara generasi lebih enam dekad lalu kini menyewakan kepada warga Bangladesh termasuk ada yang terus berpindah milik.

Majoriti peniaga tersebut memulakan operasi perniagaan barangan am di tengah pusat bandar ini sejak lebih 10 tahun lalu dengan kadar sewa bulanan yang dikenakan adalah dari RM750 hingga RM6,000 sebulan.

Antara produk yang dipasarkan peniaga terbabit adalah produk kesihatan, kecantikan, makanan, pakaian dan barangan hiasan rumah yang diimport dari negara asal.

Mereka juga memasarkan barangan keperluan harian seperti beras, gula, sa­yur-sayuran dan buah-buahan yang diambil daripada pemborong tempatan di negeri ini.

Selain menjual daging lembu, terdapat premis yang memasarkan ayam hidup dengan menempatkan sangkar haiwan ternakan itu di ruang belakang kedai.

Bagaimanapun, hasil pertemuan dengan beberapa warga asing terbabit turut memaklumkan lokasi pusat bandar itu kini le­bih dikenali mereka sebagai ‘Mini Dhaka’.

Ini kerana, mereka boleh memperoleh pelbagai produk makanan segera atau peribadi yang dibawa dari negara ber­kenaan tanpa perlu pulang ke kampung halaman.

Seorang pelanggan premis, Ali Saheb, 40, berkata, dia yang tinggal di Batu Maung akan datang ke situ setiap dua kali se­minggu untuk membeli bara­ngan keperluan harian.

“Tempat ini seperti di Dhaka. Banyak barang dari Bangladesh boleh dibeli di sini seperti ubat nyamuk, barangan mandian sehinggalah makanan kering.

“Saya juga dapat bertemu rakan senegara di sini. Kami akan berkumpul setiap pagi hari ming­gu sambil berkongsi pengalaman kerja dan keluarga di kampung dan akan pulang semula ke rumah masing-masing pada petang,” katanya yang sudah 20 tahun tinggal di sini.

Dalam pada itu, seorang lagi warga Bangladesh, Abdul Sa­leem, 35, pula memberitahu, terdapat pelbagai pilihan produk dan barangan keperluan harian yang dijual di situ pada harga berpatutan lebih rendah berbanding kedai runcit lain.

Ali yang bekerja sebagai tukang cuci di sebuah kilang di Bayan Lepas berkata, dengan adanya lokasi tumpuan sebegitu sekurang-kurangnya terubat rindu mereka terhadap keluarga di kampung halaman. – UTUSAN ONLINE

Selasa, 18 Ogos 2020

Warga asing: 25 NGO mohon campur tangan Sultan Selangor

Oleh ABDUL RAZAK IDRIS

SHAH ALAM: Sebanyak 25 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memohon campur tangan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung lambakan peniaga warga asing yang  tidak menghormati undang-undang negeri ini.

Pengerusi Gabungan NGO Selangor, Datuk Nazilah Idris berkata, pihaknya menerima banyak keluhan melibatkan peniaga warga asing di negeri ini terutama di Seri Muda, Puchong, Klang dan Sungai Buloh.

“Kami sebagai peniaga dan usahawan di negeri ini terkesan kerana warga asing ini sepatutnya bekerja tetapi mereka pula menjalankan perniagaan secara berleluasa.

“Bukan itu sahaja, peniaga juga terpaksa berdepan dengan kerenah birokrasi pihak penguat kuasa yang tidak tegas membiarkan warga asing menyalah guna permit. 

“Peniaga warga asing ini seolah-olah kebal daripada undang-undang dan lebih malang lagi kegiatan mereka ini menggugat hak kami rakyat Selangor,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Terdahulu, Gabungan NGO Selangor menyerahkan Memorandum Membantah Kebanjiran Peniaga Warga Asing di Selangor yang ditandatangani 25 NGO kepada Sultan Selangor yang disampaikan kepada Pegawai Pengiring Tentera Sultan Selangor, Kapten Ahmad Ramli Kardi di Istana Bukit Kayangan di sini. – UTUSAN

Isnin, 17 Ogos 2020

Umno Sabah mahu dasar ‘satu negara satu harga’ dilaksana, hapus diskriminasi ekonomi

FMT Reporters
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Abdul Rahman Dahlan berkata, dasar ‘satu 
negara satu harga’ akan dimasukkan dalam cadangan autonomi Sabah dan 
manifesto parti itu pada PRN akan datang. (Gambar Bernama)

KOTA KINABAU: Umno Sabah mahu dasar baru dilaksanakan bagi menyelaraskan harga barangan di Sabah dan Semenanjung agar diskriminasi ekonomi tidak terus berlaku di negara ini.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Rahman Dahlan berkata, dasar yang dinamakan “satu negara satu harga” itu akan dimasukkan ke dalam cadangan autonomi Sabah dan dalam manifesto parti itu pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

“Rakyat Sabah selalu tertanya-tanya kenapa kebanyakan harga barangan di negeri ini lebih tinggi daripada Semenanjung.

“Alasan yang selalu diberikan ialah kerana kos penghantaran barangan dari Semenanjung ke Sabah mahal.

“Kos penghantaran yang tinggi itulah yang dikatakan menjadi faktor utama kenapa harga barangan di Sabah tinggi berbanding dengan Semenanjung,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Rahman yang juga ketua Umno bahagian Tuaran berkata, sebagai lulusan bidang ekonomi, beliau bersetuju dengan teori ekonomi itu, namun berasa pelik kerana teori berkenaan langsung tidak terpakai di Semenanjung.

Katanya, semua negeri di Semenanjung mempunyai harga yang sama kerana kebanyakan perusahaan dan perniagaan mempunyai 2 senarai harga, iaitu harga Semenanjung serta harga Sabah dan Sarawak yang lebih mahal.

“Sebagai contoh harga Proton Saga, kalaulah kos penghantaran menjadi alasan, kenapa harga Proton Saga di Kelantan sama dengan di Selangor? Di manakah kilang Proton berada?

“Bukankah semua kereta Proton yang dijual di Kelantan juga melibatkan kos penghantaran dari Selangor ke Kelantan? Sepatutnya pembeli Proton Saga di Kelantan membayar harga yang lebih tinggi jika dibandingkan dengan pembeli di Selangor kerana kos penghantarannya.

“Persoalannya kenapa harga Proton Saga di Kelantan sama dengan di Selangor dan kenapa pula harga Proton Saga di Sabah lebih mahal daripada di Selangor?,” soal beliau.

Beliau berkata, jawapan bagi segala persoalan itu sangat mudah, iaitu diskriminasi ekonomi

“Kenapa perlu membeza-bezakan antara wilayah di Malaysia ini? Kalau harga di Semenanjung tidak dibezakan walaupun ada kos penghantaran, harga di Sabah dan Sarawak juga tidak patut dibezakan.

“Pada saya kalau pun ada negeri yang patut diberikan keutamaan harga rendah, maka Sabah dan Sarawak jauh lebih layak daripada negeri-negeri di Semenanjung.

“Sudahlan penduduk di Sabah dan Sarawak lebih miskin berbanding dengan penduduk di Semenanjung, ia pula adalah penyumbang utama pendapatan minyak negara,” katanya.

Rahman berkata, cadangan dasar “satu negara satu harga” juga mendapat respons positif daripada presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi pada pertemuan mereka tahun lalu.

“Kalau ini (dasar ‘satu negara satu harga’) memerlukan pengubalan undang-undang atau peraturan baru bagi memastikan semua pengilang mematuhinya, maka Umno Sabah mendesak agar undang-undang atau peraturan baru tersebut digubal segera,” katanya lagi.

Ahad, 16 Ogos 2020

Pemulihan perniagaan akan ambil masa 4 bulan hingga 2 tahun, kata FMM

 Bernama

KUALA LUMPUR: Pemulihan perniagaan dijangka mengambil masa antara 4 bulan hingga 2 tahun bergantung kepada jenis sektor dan impak Covid-19 ke atas perniagaan itu, menurut Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM).

Presidennya Soh Thian Lai berkata, rantaian bekalan akan terus menerima kesan susulan kelewatan penghantaran daripada pembekal dan penghantar yang berdepan kenaikan kos logistik dan penghantaran, peningkatan harga bahan mentah serta kekurangan bekalan.

“Sektor pengilangan akan terus mengambil pendirian pesimistik ke atas unjuran mereka bagi prospek perniagaan untuk tempoh yang berbaki tahun ini.

“Bagi kebanyakan syarikat, keseluruhan aktiviti perniagaan, termasuk jualan domestik dan eksport bagi 6 bulan akan datang dijangka rendah kerana mereka masih meneruskan pemulihan semula perniagaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Soh Thian Lai

FMM menyifatkan kuantum penguncupan ekonomi bagi suku ke-2 tahun ini seperti diumumkan Bank Negara Malaysia pada Jumaat, membuktikan impak buruk pandemik Covid-19 ke atas perniagaan.

Ia turut menjangkakan sebaik tempoh moratorium pinjaman bank secara automatik dan subsidi upah selama 6 bulan berakhir September ini, kebanyakan syarikat dan perniagaan akan berdepan kos 2 kali ganda yang memberi impak buruk terhadap inisiatif pemulihan perniagaan mereka.

“Bagi memastikan ekonomi mampu dipulihkan segera dan perniagaan dapat meningkatkan pendapatan mereka dan mengekalkan tenaga kerja, kita boleh memohon agar kerajaan meneruskan sokongan kepada industri dengan menyediakan lebih banyak inisiatif dan bantuan.

“Ini khususnya seperti pelanjutan moratorium bagi kemudahan perbankan dan pelaksanaan yang tepat pada masanya bagi Rang Undang-undang Langkah-langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) 2020,” kata Soh.

Sabtu, 15 Ogos 2020

3 premis makan di P Pinang langgar SOP diarah tutup 7 hari

Polis berkata, 2 restoran makanan segera dan sebuah kopitiam diarah ditutup 
kerana tidak mematuhi SOP membendung penularan Covid-19, dengan ada 
yang tidak mengehadkan jumlah pengunjung makan di dalam premis sehingga 
tiada penjarakan fizikal. (Gambar Bernama)

KEPALA BATAS: Dua restoran makanan segera dan sebuah kopitiam di sini diarahkan tutup 7 hari kerana tidak mematuhi SOP perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) dalam pemeriksaan pihak berkuasa semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Noorzainy Mohd Noor berkata, dalam operasi bermula 4 petang itu, polis bersama Kementerian Kesihatan (KKM) membuat pemeriksaan di restoran makanan segera dan kopitiam sekitar daerah itu sebelum mengambil tindakan terhadap 3 premis terbabit.

“Tiga restoran itu didapati tidak mematuhi SOP dalam membendung penularan Covid-19, malah ada yang tidak mengehadkan jumlah pengunjung makan di premis mereka sehingga tiada penjarakan fizikal antara satu sama lain,” katanya kepada Bernama malam tadi.

Beliau berkata, pemilik 3 restoran itu masing-masing turut dikompaun RM1,000 dan polis akan meneruskan operasi bagi memastikan semua pihak mematuhi SOP.

Selain itu, katanya, 6 premis makanan segera dan kedai kek turut diberikan notis amaran oleh KKM atas pelbagai kesalahan berkaitan SOP.

Jumaat, 14 Ogos 2020

Enam premis warga asing digempur MPK

Oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED
ANTARA premis warga asing tanpa lesen yang dikenakan tindakan oleh MPK dalam operasi di sekitar Klang Sentral, semalam. - FOTO/ISKANDAR SHAH MOHAMED

KLANG: Tindakan warga asing yang menjalankan perniagaan kedai runcit secara haram mengundang padah apabila enam premis mereka digempur Majlis Perbandaran Klang (MPK) di sekitar Klang Sentral di sini semalam.

Dalam operasi pukul 11 pagi itu, kedai runcit yang menjual barangan keperluan harian serta arak disita dan diarahkan ditutup serta-merta oleh pihak berkuasa. 

Timbalan Pengarah Penguat kuasa MPK, Shahrul Hazri Abd. Majid berkata, operasi dilakukan hasil maklumat pihaknya berhubung kegiatan warga asing menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen.

“Hasil pemeriksaan mendapati, enam daripada tujuh premis yang diperiksa dikendalikan oleh warga asing.

“Kesemua premis ini didapati menjalankan perniagaan kedai runcit tanpa lesen perniagaan sah daripada MPK.

“Sitaan pelbagai barangan di semua premis itu dilakukan mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) 3 MPK 2007 dan 2013,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Menurut Shahrul Hazri, MPK akan memperhebatkan operasi bersepadu seumpama bagi memastikan semua peniaga mematuhi peraturan.

“Bagaimanapun, kebanjiran warga asing bukan di bawah bidang kuasa MPK namun kita sentiasa bekerjasama dengan agensi berkaitan dalam menangani isu tersebut.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat atau aduan berkaitan premis warga asing di sekitar Klang boleh menyalurkannya di awas.mpklang.gov.my untuk tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN

Pemutihan peniaga, penjaja Bandar Baru Sungai Buloh

Ruwaida Md Zain

GAMBAR fail pada 13 Ogos menunjukkan operasi MBSA merobohkan stuktur haram di kawasan Bandar Baru Sungai Buloh. FOTO Arkib NSTP

MAJLIS Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan mengadakan Program Pemutihan Peniaga dan Penjaja di kawasan Bandar Baru Sungai Buloh, selama dua hari bermula esok.

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Haris Kasim berkata, program itu bertujuan membantu peniaga dan penjaja di kawasan terbabit menjalankan perniagaan secara sah dan teratur.

"Insya-Allah, hujung minggu ini, pada 15 dan 16 Ogos akan ada program pemutihan untuk peniaga dan penjaja di situ

"Program ini, MBSA akan bekerjasama dengan pihak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman

"MBSA berharap semua peniaga dan penjaja dapat mengambil peluang untuk menghadirkan diri ke program ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Haris berkata, program terbabit akan diadakan di Dewan Meranti di Bandar Baru Sungai Buloh, Seksyen U20.

"Program itu akan membabitkan beberapa jabatan dalam MBSA iaitu Jabatan Pelesenan bagi permohonan permit penjaja sementara manakala Jabatan Bangunan bagi Tatacara Permohonan Permit Binaan Bumbung Sengkuap dan 'Partition'.

"Jabatan Perancangan bagi keperluan kebenaran merancang bagi pembinaan sedia ada dan Jabatan Kesihatan Persekitaran bagi kebersihan dan keselamatan makanan.

"Pada hari Sabtu, program bermula pada jam 8 pagi sehingga 4 petang, manakala pada hari Ahad, program bermula 8 pagi hingga 12 tengah hari," katanya.

Khamis, 13 Ogos 2020

KPDNHEP sasar harga pelitup muka turun kepada 80 sen

Muhammad Azizul Osman
MGF01082020_HUMAN-INTEREST-MASK-6-681x453
Orang awam yang memakai pelitup muka setelah kerajaan mewajibkan 
penggunaan di tempat awam dan pengangkutan awam yang sesak bermula 
1 Ogos hari ini ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Jalan Tar, 
Kuala Lumpur. foto MOHD ADZLAN,

KUALA LUMPUR – Harga pelitup muka akan kembali kepada harga asal iaitu RM0.80 sekeping bagi pelitup muka tiga lapisan atau lebih rendah.

Itu sasaran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berhubung harga baharu bagi pelitup muka tiga lapisan di negara ini.

“Kalau turun lagi kita sasaran balik ke had asal 80 sen atau kurang. Berdasarkan kepada situasi semasa, kalau boleh RM0.70 pun boleh.

“Pengilang pun kita harus ambil kira peranan mereka boleh mengeluarkan pelitup muka kalau dijual dengan harga runcit RM0.70,” kata menterinya, Datuk Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di bilik media Parlimen, hari ini.

Selasa lalu, Alexander berkata, harga pelitup muka akan dijual pada kadar lebih rendah iaitu RM1 sekeping di peringkat runcit manakala 95 sen di peringkat pemborong.

Harga itu akan dikuatkuasakan mulai 15 Ogos depan.

Alexander berkata, dengan sasaran pelaksanaan harga terendah itu, kerajaan akan memastikan harga itu tidak akan menjejaskan pengeluaran produk itu daripada pihak pengilang.

“Tak guna kita turunkan harga kalau nanti tidak ada di pasaran. Harga pengeluarannya masih tinggi maka orang tidak dapat jual,” katanya.

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam yang sesak dan pengangkutan awam mulai 1 Ogos manakala harga siling diturunkan kepada RM1.50 mulai 15 Ogos ini.

Pada sidang Dewan Rakyat minggu lalu, Alexander dilaporkan berkata, kerajaan bercadang menurunkan lagi paras harga siling pelitup muka tiga lapisan ke paras bawah RM1.20 seunit mulai 15 Ogos.

Cadangan penurunan harga maksimum pelitup muka tiga lapis dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada 17 Julai, sebelum ia mendapati persetujuan sebulat suara. – MalaysiaGazette

Pengeluar gesa kerajaan turun harga siling pelitup muka di bawah RM1

Seorang pengeluar berkata, pelitup muka dijual pada harga 20 sen sekeping 
sebelum penularan wabak Covid-19.

PETALING JAYA: Pengeluar pelitup muka menggesa kerajaan menurunkan harga siling pelitup muka 3 lapis pada harga lebih rendah berbanding kadar RM1 yang diumumkan baru-baru ini.

Ketua pegawai eksekutif Ideal Healthcare Haminuddin Hamid memberitahu FMT bahawa syarikatnya masih mendapat keuntungan pada harga di bawah RM1.

Beliau berkata, pelitup muka keluaran Ideal Healthcare dijual pada harga 20 sen sekeping sebelum penularan wabak Covid-19.

Beliau mencadangkan supaya Putrajaya membeli pelitup muka secara borong daripada pengeluar tempatan dan mengagihkannya kepada kumpulan B40, selain menambah bahawa langkah itu boleh mengurangkan perbuatan pengambilan untung berlebihan.

Paul Selvaraj, ketua eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) berkata, kerajaan harus menimbangkan untuk menurunkan harga siling pelitup muka ke paras lebih rendah.

Katanya, Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna harus memeriksa kos pengeluaran sebenar dan menyesuaikan harganya.

Setiausaha agung Gerakan Pengguna Malaysia Sukhdave Singh berkata, beliau menyokong langkah menurunkan harga, tetapi berkata, Putrajaya mesti memastikan ia adil kepada pengeluar.

“Ia mestilah keadaan menang-menang untuk semua pihak,” katanya kepada FMT.

“Tiada gunanya menurunklan harga dengan banyak sekiranya pengeluar memberhentikan pengeluaran.”

Beliau menggesa Putrajaya supaya mensubsidi harga atau memberikan pelitup muka secara percuma kepada anggota masyarakat yang miskin.

“Membayar RM1.20 setiap hari untuk membeli pelitup muka memang membebankan,” katanya.

“Bagi ramai orang ia mungkin merupakan kos sarapan pagi mereka. Oleh sebab memakai pelitup muka kini wajib, ramai yang akan menggunakannya semula untuk menjimatkan wang. Ini berbahaya.”

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi memberitahu Dewan Rakyat semalam bahawa harga siling pelitup muka 3 lapis dikurangkan dari RM1.20 ke RM1 sekeping.

Beliau juga berkata, Putrajaya akan terus mengurangkan harganya dari masa ke masa.

Isnin, 10 Ogos 2020

Go Eat buka peluang pekerjaan B40

 Oleh Nur Izzati Izzah Binti Nadzi

Khairil Muzamil Abdul Rahman (tengah) bersama kakitangan Go Eat 
di ibu pejabat syarikat itu di Cyberjaya baru-baru ini.

KUALA LUMPUR: Go Eat, perkhid­matan penghantaran makanan pertama Malaysia yang diusahakan anak tempatan, membuka peluang pekerjaan sebagai penghantar makanan (food rider) kepada golongan berpendapatan rendah (B40) terutama generasi muda, suri rumah dan mereka yang kehilangan pekerjaan.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Khairil Muzamil Abd. Rahman, 34, berkata, beliau terpanggil untuk membangunkan Go Eat selepas melihat kejayaan negara lain mempunyai perkhidmatan penghantaran makanan tetapi tidak menjaga kebajikan pekerja mereka.

“Saya berjanji dengan diri saya untuk menjalankan perniagaan ini 100 peratus oleh rakyat tempatan daripada sistem, operasi, pengaturcara (programmer), kumpulan pengurusan, ketua-ketua bahagian dan lain-lain.

“Saya hendak buktikan kepada negara luar, terutama negara jiran yang lebih dahulu mempunyai jenama perkhidmatan penghantaran mereka bahawa Malaysia juga boleh. Apa yang membezakan Go Eat adalah kami menjaga kebajikan dengan menyediakan insurans kepada penghantar makanan,” katanya kepada Utusan Malaysia di Ibu Pejabat Go Eat, Cyberjaya baru-baru ini.

Khairil Muzamil berkata, Go Eat ditubuhkan pada April 2019 dan sudah lima bulan berada di pasaran selepas pelancarannya pada Februari 2020.

“Go Eat berbeza dengan per­khidmatan sedia ada yang hanya menumpukan kepada restoran makanan segera ternama. Matlamat Go Eat membantu golongan B40.

“Dengan platform Go Eat, kami wujudkan satu sistem dipanggil homecook untuk membantu golongan B40 dan suri rumah yang kekurangan ruang mempromosikan produk mereka bagi menjana pendapatan.

“Mereka perlu mendaftar sebagai vendor Go Eat dan boleh berniaga dengan kos yang sangat rendah dari rumah,” katanya.

Khairil Muzamil bersyukur Go Eat boleh dikatakan penyelamat ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam tempoh berkenaan katanya, syarikat telah mewujudkan platform Go Bazar bagi membantu golongan B40 kebanyakannya peniaga di bazar Rama­dan menjalankan perniagaan dalam talian.

“Alhamdulillah, sepanjang dilancarkan kami membantu hampir 3,000 peniaga yang tidak dapat berniaga di bazar Ramadan menjana pendapatan,” katanya.  – UTUSAN ONLINE

Simpati Nasib Pengasas Hot Burger, Sokong Tindakan Tutup Premis Perjudian Segera – Zahid

UMNO ONLINE

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melahirkan rasa simpati dengan nasib pengasas Hot Buger Malaysia, Mohd Asri Hamid, yang membuat pendedahan berkaitan premis judi serta gerai peniaga warga asing yang menjual rokok seludup di sekitar Jalan Besar Bandar Baru Sungai Buloh.

Katanya, aktiviti judi haram berleluasa dan yang menjadi mangsa adalah mereka yang berpendapatan rendah.

“Saya kasihan dengan nasib pengasas Hot Burger. Mustahil dia buat fitnah. Kepentingan dia cuma mahu penguatkuasa dijalankan secara berkesan.

“Aktiviti judi haram berleluasa. Yang menjadi mangsa mereka yang berpendapatan rendah tetapi mahu cepat kaya. Akhirnya mereka merana. Secara peribadi saya menyokong tindakan penutupan premis judi disegerakan,” katanya yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) melalui kenyataan pendek di laman Facebooknya hari ini.

Terdahulu dilaporkan tular satu video yang disiarkan secara langsung menerusi laman sosial Facebook Hot Burger Malaysia serta dikongsi akaun Asri Janggut mendakwa pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap kes judi serta mendedahkan lokasi perjudian di Bandar Baru Sungai Buloh.

Dua video dengan tempoh 13.28 saat dan 8.29 saat itu ditonton oleh jutaan orang dan dikongsi secara terbuka.

Susulan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat laporan polis berhubung video tersebut yang dianggap satu fitnah dan tohmahan yang tidak benar. – UMNO Online