Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail memaafkan
semua 9 adun BN yang memohon ampun baru-baru ini dan meminta mereka
menjadikan krisis pelantikan MB sebagai pengajaran.
“Dah lebih sebulan pilihan raya berlalu (pada 9 Mei). Baru hari ini istiadat angkat sumpah anggota exco dapat diadakan. Saya memandang serius perkara ini kerana berlaku di istana dan saya sendiri terlibat.
“Saya bimbang kerana kes ini menunjukkan ada pemberontak dalam negeri kita,” kata baginda pada istiadat mengangkat sumpah jawatan exco oleh 8 adun BN di Balai Menghadap, Istana Arau, hari ini.
Mereka adalah Asmaiza Ahmad (Chuping); Nurulhisham Yaakob (Simpang Empat); Azizan Sulaiman (Santan); Hamizan Hassan (Kayang); Ruzaini Rais (Beseri); Rozieana Ahmad (Pauh); Siti Berenee Yahaya (Mata Ayer) dan Teh Chai Ann (Titi Tinggi).
Hanya Adun Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim tidak dilantik sebagai exco dan beliau juga tidak menghadiri istiadat itu.
Adun Bintong, Datuk Seri Azlan Man yang mendapat perkenan Tuanku Syed Sirajuddin mengangkat sumpah jawatan menteri besar pada 24 Mei lalu, namun tidak disokong Pengerusi BN yang juga Pengerusi Umno Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim.
Pada PRU14, BN menang 10 kerusi, Pakatan Harapan (3) dan PAS 2 kerusi daripada 15 kerusi DUN di Perlis.
Tuanku Syed Sirajuddin berkata istiadat angkat sumpah itu boleh diadakan lebih awal jika semua pihak menghormati keputusan baginda.
Baginda memaafkan semua 9 wakil rakyat BN itu yang menghadap baginda untuk memohon ampun dan maaf baru-baru ini serta meminta mereka menjadikannya pengajaran supaya tidak berulang.
“Mulai sekarang, saya mahu tuan-tuan tumpu pada tanggungjawab. Lupakan parti…jangan berpolitik 24 jam. Tuan-tuan hendaklah tunaikan tanggungjawab dengan amanah kepada rakyat tanpa mengira warna kulit, agama dan bangsa. Kalau tak boleh, jangan jadi wakil rakyat.
“Tuan-tuan juga kena baca kertas mesyuarat. Jangan buat keputusan mudah. Kalau buat silap 50 tahun lagi pun jadi macam ini. Saya selalu ‘complaint’ pembangunan ‘slow’ sangat. Cuba ‘prove’ saya silap.”
Tuanku Syed Sirajuddin turut memberi komen perkara yang hendak dilaksanakan dan ada juga yang tidak dipersetujui semasa berbincang dengan menteri besar yang menghadap sebelum mesyuarat exco berlangsung.
Baginda mencabar kerajaan negeri mencari jalan supaya kadar kemiskinan menjadi sifar, di samping memikirkan cara mengatasi defisit belanjawan negeri yang mencecah RM60 hingga RM70 juta setahun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan