Khamis, 14 Jun 2018

Boleh melambatkan Rosmah masuk syurga

SUBKY LATIF


KETIKA rencana ini ditulis, sudah dua minggu polis masih belum selesai mengira harta yang dirampas dari Datin Seri Rosmah Mansor, isteri Najib.

Bukan seorang dua polis membilang, bahkan sepasukan, masih meneruskan mengira duit tunai dan nilai lain harta. Demikian banyaknya harta Rosmah yang dirampas.

Banyaknya harta itu, jika ia adalah hasil sepencarian antara Rosmah dan suaminya, Najib nescaya boleh melambatkan mereka masuk syurga. Terpaksa menunggu di pintu syurga kerana semuanya diaudit dulu, dari mana ia didapati dan cara ia dibelanjakan.

Saya tidak kata harta itu haram. Katakanlah ia hartanya yang sah, tetapi begitulah syarat untuk mauk syurga, semuanya diaudit dulu sebelum dibenarkan masuk syurga.

Saya teringat kisah yang disebutkan oleh seorang Tok Guru dalam kuliahnya di masjid, betapa Nabi Sulaiman terpaksa menunggu selama 40 tahun justeru audit atas hartanya baru selesai.

Nabi adalah maksum. Kalis dosa. Tetapi baginda adalah Raja sealam dunia, maka kekayaannya tidak terkira. Tentulah Nabi itu mendapatkan semua harta secara sah. Nabi dipelihara Allah dari melakukan kesalahan. Tidak diragukan lagi semuanya ahli syurga. Boleh dimasukkan ke syurga tanpa hisab.

Tetapi itu peraturan hendak masuk syurga, semua harta itu diaudit dulu. Hatta Nabi Sulaiman sendiri terpaksa menunggu 40 tahun.

Itulah untungnya orang miskin yang soleh seperti Abu Zar al-Ghafiri yang tidak meninggalkan sebarang, sebaik masuk ke Mahkamah Rabbul Jalil, tiada hartanya yang hendak ditimbang kecualilah lain-lain dosa, maka tidak perlu menunggu lama di pintu syurga. Demikianlah senang orang miskin di dunia untuk masuk ke syurga.

Tetapi orang kaya, sekalipun semua harta diperoleh secara halal terpaksa jenuh menunggu di pintu syurga. Sedang syurga oleh semua tidak mahu menunggu dan bertangguh-tangguh. Jika boleh masa itu juga sekaliannya mahu masuk syurga.

Apakah orang kaya yang dijamin syurga terpaksa bersabar kerana syurga tidak lari daripadanya? Bersabar itu bagi orang di dunia. Lagi tinggi sabarnya lagi besar pahalanya. Tempat membuat pahala adalah di dunia. Di akhirat bukan tempat membuat pahala. Maka semuanya tidak sabar untuk masuk syurga.

Jika Nabi Sulaiman yang tidak diragukan caranya mendapatkan kekayaan terpaksa menunggu 40 tahun, maka apa yang dapat hendak dibayang bagi kita orang awam yang ada sedikit harta dan apa lagi dengan yang sekaya Rosmah itu. Tidak dapat hendak diagak berapa lama audit di Mahkamah Rabbul Jalil itu ditunggu.

Sedang harta yang kita ada itu tidak dapat kita tentukan sah dan batalnya. Sedang yang bersih seperti Nabi Sulaiman terpaksa menunggu tiap-tiap hartayang dimilikinya, auditnya tentulah tidak payah sangat. Tetapi kita orang awam ini diagak banyak sangkut-sangkutnya.

Harta kita tidak setanding dengan harta Nabi Sulaiman. Mungkin tidak perlu menunggu 40 tahun, tetapi percayalah akan menunggu lama juga sesuai dengan jumlah harta yang dimiliki.

Dan bagi harta terkumpul dalam simpanan Rosmah, polis dengan pasukannya mengambil masa berminggu untuk membilangnya, maka berapa belas tahun pasangan Najib dan Rosmah terpaksa menunggu di luar syurga.

Apa yang kita sebut ini adalah atas harta-harta yang sah bersih. Tak termasuk yang didapati secara tidak sah.

Apabila polis mengambil masa yang lama untuk mengira duit yang dirampas, maka lama mana pula terpaksa menunggu audit di Mahkamah Allah itu? – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: