Presiden R Kelantan, Haji Nazri Deraman berkata, memetik kenyataan MB Terengganu, PM dilaporkan memberi jaminan Kelantan dan Terengganu akan mendapat royalti petroleum.
Ujarnya, MB Terengganu dan MB Kelantan menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Kewangan Negara yang turut disertai oleh Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kewangan serta MB seluruh negeri kelmarin bagi membincangkan tentang kedudukan kewangan negara masa kini.
Sejurus selepas mesyuarat tersebut pihak MB Terengganu telah mengeluarkan kenyataan yang mengulangi kesediaan Kerajaan Pesekutuan untuk menjelaskan bayaran royalti kepada negeri-negeri pengeluar minyak, katanya.
Jelas Haji Nazri, bagi memahami isu tuntutan royalti khususnya Kelantan, terdapat tiga (3) perkara yang perlu diberikan perhatian:
i. Perjanjian Kelantan – Petronas yang ditandatangani pada 9 Mei 1975 dan Akta Kemajuan Petroleum 1974 yang dengan jelas menyatakan Kelantan akan mendapat 5% dari jumlah pengeluaran.
Bayaran tunai (lebih dikenali sbg royalti) hendaklah dibayar kepada Perbendaharaan Negeri dengan kekerapan bayaran dua (2) kali setahun.
ii. Manifesto Pakatan Harapan (PH) yang dinyatakan dalam 2 dokumen penting iaitu:
a. Tawaran dan Komitmen Pakatan Harapan Malaysia (dokumen Membina Negara Memenuhi Harapan).
b. Wawasan PH Negeri Kelantan.
Manifesto tersebut menjanjikan negeri Kelantan akan menerima bayaran royalti 20% dari jumlah pengeluaran jika sekiranya PH berjaya mentadbir Malaysia.
iii. Tunggakan bayaran royalti yg bermula semenjak pengeluaran pertama petroleum dari telaga minyak milik Kelantan. Pengeluaran pertama dari telaga milik Kelantan adalah dijangkakan bermula seawal 1994.
Jumlah yang dianggarkan tertunggak sehingga kini adalah RM12-14 billion. Jumlah sebenar akan ditentukan berdasarkan maklumat dari Petronas, Jabatan Kastam dan lain-lain. Jumlah ini akan disahkan oleh pakar-pakar yang akan dilantik kemudian.
Iv. Tuntutan Kelantan adalah merangkumi telaga minyak yang merangkumi
a. JDA (Join Development Area) yang berkongsi pengeluaran bersama Thailand. Pengeluaran pertama bermula 2005.
b. CAA (Commercial Area Agreement) yang berkongsi pengeluaran bersama Vietnam. Pengeluaran bermula 1997.
c. Blok PM 302 & 303. Kawasan pengeluaran bersama Kelantan dan Terengganu. Blok ini mula mengeluarkan hasil bermula 1994.
d. Blok PM 301 yang dipunyai oleh Kelantan 100% yang mula mengeluarkan hasil pada 2009.
Tambah Nazri, berdasarkan perkembangan terkini segala isu yang berkaitan dengan tuntutan Kelantan dan Terengganu ini boleh diselesaikan melalui meja rundingan berdasarkan bukti, fakta, perjanjian Royalti dan Akta Kemajuan Petroleum 1974.
Bagaimanapun katanya, pihak R Kelantan tidak mahu terburu-buru kerana pembentukan kabinet PH masih belum mencecah 100 hari.
Untuk itu ujarnya, R Kelantan mencadangkan satu pertemuan bersama PM, Menteri Kewangan, Petronas dan semua wakil kerajaan negeri-negeri pengeluar minyak diadakan segera.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan