Sabtu, 9 Jun 2018

Rakyat jangan campur aduk sukan dengan politik, kata TMJ

Rakyat jangan campur aduk sukan dengan politik, kata TMJ
Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata beliau mempunyai hubungan kerja yang baik dengan kerajaan Barisan Nasional terdahulu, dan juga kerajaan baharu Pakatan Harapan. – Gambar AFP
 
TUNKU Ismail Sultan Ibrahim mempertahankan kedudukan politiknya walaupun ada sesetengah pihak mahu memboikotnya dan pasukan bola sepaknya susulan kaitannya dengan kerajaan terdahulu, Barisan Nasional.

Tunku Mahkota Johor itu berkata sama seperti orang lain, beliau berhak mempunyai pandangan sendiri.

“Saya dimaklumkan bahawa mereka tidak suka kenyataan saya sebelum pilihan raya. Pada saya, setiap orang ada hak terhadap pandangan dan pendapat mereka.

“Saya dengan kerajaan lama mempunyai hubungan kerja yang baik. Dan kini dengan kerajaan baru juga saya mempunyai hubungan kerja yang baik dengan mereka,” katanya dalam satu kenyataan dimuat naik di laman Facebook Johor Southern Tigers.

Tunku Ismail berkata beliau juga mempunyai hubungan baik dengan menteri besar dan exco kerajaan negeri yang baharu.

Katanya, apa yang penting ialah kedaulatan negeri Johor dan kesejahteraan rakyat Johor menjadi keutamaan.

“Pada saya, saya tidak peduli dari parti politik mana anda datang. Yang penting Kedaulatan negeri Johor dan kesejahteraan rakyat Johor adalah keutamaan.

“Mereka juga harus memahami bahawa mereka tidak berkhidmat kepada ideologi parti politik, sebaliknya mereka berkhidmat kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata rakyat Malaysia tidak sepatutnya mengaitkan politik dengan segala-galanya, terutama suka di mana ia adalah neutral.

“Jikalau seorang penyokong bola sepak itu tidak dapat membezakan antara politik dan sukan, itu bukan masalah saya. Anda tidak boleh terlalu obses dan mencampurkan politik dengan segala-galanya,” katanya.

Tunku Mahkota Johor dan ayahandanya, Sultan Johor secara terbuka berkempen untuk kerajaan BN pada PRU lalu, menentang Pakatan Harapan yang calon perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad yang bertanggungjawab mengurangkan kuasa raja-raja ketika menjadi PM sebelum ini.

Tiada ulasan: