Sabtu, 23 Jun 2018

Pemilihan sayap Umno bermula serentak di 191 bahagian pagi ini

 
Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno akan memilih kepimpinan peringkat bahagian dan pusat menerusi 2 kertas undi berbeza dalam mesyuarat berasingan berlangsung pada sebelah pagi.


Pemilihan sayap Umno. (Gambar Bernama)


KUALA LUMPUR: Mesyuarat perwakilan dan pemilihan pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno bermula serentak di 191 bahagian pada 9 pagi ini.

Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno akan memilih kepimpinan peringkat bahagian dan pusat menerusi 2 kertas undi berbeza dalam mesyuarat berasingan yang berlangsung pada sebelah pagi.

Kertas undi pertama adalah untuk pemilihan ketua, naib ketua dan 15 exco sayap peringkat bahagian manakala satu lagi kertas undi untuk memilih kepimpinan sayap pusat bagi jawatan pengerusi tetap, timbalan pengerusi tetap, ketua, naib ketua dan 25 exco sayap.

Bagi sayap Pergerakan Wanita Umno, seramai 3 tokoh layak bertanding untuk jawatan ketua Wanita, iaitu Tan Sri Dr Siti Zaharah Sulaiman, Datuk Noraini Ahmad dan Datuk Azizah Mohd Dun, sementara 4 lagi dicalonkan bagi naib ketua Wanita.
Seramai 81 calon bertanding untuk jawatankuasa, 2 calon bagi jawatan pengerusi tetap Wanita, manakala 4 lagi bagi jawatan timbalan pengerusi tetap.

Bagi Pergerakan Pemuda Umno, seramai 207 calon bertanding dengan pecahan 2 pengerusi tetap, 3 timbalan pengerusi tetap, 9 bagi jawatan ketua Pemuda dan 9 lagi bagi jawatan naib ketua Pemuda manakala selebihnya adalah calon untuk jawatankuasa.

9 individu disenaraikan bertanding merebut jawatan ketua Pemuda termasuk naib ketua Pemuda Khairul Azwan Harun, anggota Majlis Tertinggi Datuk Dr Asyraf Wadji Dusuki, ketua Pemuda Pahang Mohd Shahar Abdullah serta ketua Bahagian Sungai Besar yang kontroversi Datuk Seri Jamal Md Yunos.

Bagi jawatan ketua Puteri pula menyaksikan persaingan antara naib ketua Puteri Datuk Zahida Zarik Khan dan exco Puteri Nor Hazreena Mohamad Hashim.

Seramai 5 calon lain akan merebut jawatan naib Ketua, 71 calon akan bertanding sebagai anggota jawatankuasa dan 2 calon untuk jawatan pengerusi tetap.

Jawatan timbalan pengerusi tetap pula dimenangi Salbiah Saari selepas muncul sebagai calon tunggal untuk jawatan tersebut.

Tiada ulasan: