Selasa, 19 Jun 2018

Najib salahkan kerajaan, eksport minyak kelapa sawit jatuh

 Najib Tun Razak
Najib Tun Razak
 
 
SHAH ALAM - Tindakan kerajaan mengenakan cukai lima peratus terhadap eksport minyak kelapa sawit menjadi faktor penyumbang dalam penurunan eksport komoditi tersebut kepada negara.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, penganalisis pasaran turut berpendapat ia merupakan faktor utama penyusutan permintaan dan penurunan harga.

"Khamis lalu, harga minyak sawit mentah menyusut bagi hari kesembilan berturut-turut di mana harga kini adalah RM2,300 setiap tan. Turut dilaporkan, eksport minyak kelapa sawit kita bagi 10 hari pertama bulan Jun jatuh sehingga 20 peratus berbanding tahun lalu.

"Cukai eksport ini dengan kadar lima peratus akan diteruskan pada Julai dan bulan seterusnya," katanya menerusi Facebooknya, hari ini.

Najib berkata, kerajaan BN sebelum ini menggantung cukai berkenaan untuk empat bulan pertama tahun ini bagi memastikan pendapatan pekebun kecil tidak terjejas dan pasaran minyak kelapa sawit Malaysia terus berdaya saing serta kompetitif di pasaran antarabangsa.

"Bagi pekebun kecil di Pekan, Pahang dan semua peneroka di Malaysia, saya menggesa kerajaan Pakatan Harapan menggantung cukai eksport ini sehingga penghujung tahun ini atau sekurang-kurangnya sehingga harga dan permintaan pasaran kembali pulih," katanya yang berkesempatan menyambut Syawal di Pekan, Pahang baru-baru ini dan mendengar keluhan peneroka Felda serta pekebun kecil.

Dalam pada itu, Najib berkata, kerajaan baharu tidak boleh membisu dengan keputusan Kesatuan Eropah (EU) Jumaat lalu, untuk mengurangkan dan menghentikan import minyak kelapa sawit demi menamatkan penggunaan minyak sawit dalam bahan bakar pengangkutan pada 2030.

"Kita perlu bantah langkah mereka ini dan berunding dengan EU serta-merta kerana mereka merupakan destinasi minyak sawit terbesar untuk negara," katanya.

Beliau juga mengingatkan kerajaan Harapan supaya tidak menjadikan isu berkenaan sebagai polemik politik.

"Dalam semangat hari raya ini, usahlah menjadikan isu ini sebagai polemik politik kerana industri minyak kelapa sawit. Ini kerana kehidupan beratus ribu pekebun kecil serta peneroka bergantung kepadanya.

"Sebaliknya, kerajaan baharu patut mengambil langkah untuk menyelesaikan masalah harga dan permintaan minyak sawit dengan serta merta," katanya.

Ketika Najib pulang ke Pekan baru-baru ini, beliau berkata, rakyat di kawasan Parlimennya menyatakan keresahan mereka terhadap EU yang  akan meningkatkan sekatan terhadap import minyak sawit dari Malaysia.

"Manakala China, yang dahulunya berada di tempat keempat pengimport terbesar bagi minyak sawit dan tahun lepas di tempat kedua terbesar, akibat perhubungan diplomatik dan perdagangan yang telah bertambah baik, berkemungkinan akan mengurangkan pembelian minyak kelapa sawit ekoran perkembangan selepas PRU14," katanya.

Tiada ulasan: