PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis digesa menyiasat penyelewengan dan salah guna kuasa dalam isu mendapatkan tapak bazar Ramadan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ketua Armada Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, siasatan perlu dilakukan sehingga ke ‘lubang cacing’ agar pihak bertanggungjawab dikenakan tindakan sewajarnya.

"Sebagai Ketua Armada Bersatu, saya tidak akan bertoleransi kalau ada apa-apa unsur rasuah atau salah guna kuasa walaupun ahli parti sendiri pun.

"Pada masa yang sama, sebagai ahli Parlimen, saya bertanggungjawab memastikan supaya kes penyelewengan dan salah guna kuasa dibanteras secepat mungkin," katanya ketika hadir di ibu pejabat SPRM di sini, hari ini bagi membuat laporan berhubung isu berkenaan.

Katanya lagi, isu tersebut adalah serius dan bukan sekadar isu di peringkat parti semata-mata.

Sebelum ini, Ketua Pemuda Bersatu Bukit Bintang, Mohd Noorhisyam Abd Karim dikatakan telah menyalahgunakan pengaruh politik bagi mendapatkan 80 tapak bazar di Jalan Masjid India dan menyewakannya semula sehingga RM5,000 bagi satu lot dan mengaut keuntungan keseluruhan kira-kira RM400,000.

Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun turut terpalit dengan skandal berkenaan selepas beliau dikatakan menghantar surat sokongan kepada DBKL berhubung perkara itu.