Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan mempertahankan jawatan sebagai ketua UMNO bahagian pada pemilihan yang bermula 30 Jun ini.
“Saya akan terus memimpin UMNO Pekan dan menawarkan diri untuk mempertahankan jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Pekan,” kata beliau menerusi perkongsian di akaun Facebooknya, pada Khamis.
Pada masa sama, Ahli Parlimen Pekan itu menyeru ahli UMNO untuk meneruskan perjuangan parti serta segera bangkit daripada kesedihan lalu.
“Sebagai bekas Presiden UMNO dan Pengerusi BN, saya bertanggungjawab atas kekalahan dalam PRU14.
“Namun, kita mesti ambil iktibar, kuatkan iltizam dan perbaiki kelemahan serta kuatkan UMNO, agar kita dapat kembalikan keyakinan rakyat kepada UMNO,” katanya.
Sementara itu Najib berkata beliau akan terus memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa dalam siasatan berkaitan 1MDB dan SRC yang didakwa bersifat dendam politik oleh pihak tertentu ke atasnya.
“Setakat ini, saya sudah dua kali memberi keterangan kepada SPRM,” katanya sambil menambah beliau akan membuka satu pejabat sendiri bagi memudahkan urusan peribadi beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan