Sabtu, 9 Jun 2018

TOK PA TOLAK TANDING PRESIDEN UMNO




Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed akhirnya membuat keputusan dengan menolak desakan segelintir ahli parti itu yang mahukan beliau bertanding jawatan Presiden.

Ahli Parlimen Jeli itu turut menegaskan yang beliau juga turut tidak mempertimbangkan untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden atau Naib Presiden UMNO pada pemilihan parti kali ini.

Sebaliknya Mustapa ataupun lebih dikenali sebagai Tok Pa membayangkan untuk mempertahankan jawatan ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO dalam pemilihan itu nanti.

“Terima kasih kepada rakan yang beri semangat kepada saya untuk bertanding jawatan tertinggi dalam parti tetapi saya tidak ada kemampuan fizikal, stamina dan kewangan untuk bertanding jawatan Presiden, bagaimanapun akan mempertimbangkan untuk bertanding jawatan MT.

“Namun, saya masih belum berdaftar sebagai calon, tetapi perkara ini sudah dimaklumkan kepada pemimpin UMNO negeri yang lain,” katanya ketika ditemui pada Majlis Makan Colek anjuran Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI) di Kota Bharu, Khamis malam.

Mengulas mengenai cadangan akar umbi supaya Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah bertanding jawatan itu, Ahli Parlimen Jeli itu berkata ia juga belum diputuskan.

“Ku Li masih belum ada keputusan dan tidak menyatakan pendirian dalam perkara ini (bertanding jawatan presiden).

“Kita sudah adakan perbincangan dengan pemimpin kanan UMNO Kelantan dan akan selaraskan supaya ada calon dari Kelantan bertanding jawatan tertinggi UMNO,” katanya.

Tambah Mustapa, calon Presiden nanti perlu seorang tokoh yang berwibawa dan mampu menyatu padukan parti supaya lebih kukuh.

“Kita mahu UMNO bangkit lebih kuat dan jika memilih calon yang tidak berwibawa dan tokoh yang dipertikaikan, ia akan menjejaskan usaha untuk pulihkan parti,” katanya.


Tiada ulasan: