Sabtu, 2 Jun 2018

KPDNKK Selangor terima 69 aduan selepas sifar GST

ainulillia

Orang ramai diminta beri kerjasama beri maklumat lengkap dalam aduan


KUALA SELANGOR – Sebanyak 69 aduan pengguna telah diterima sejak pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada kadar sifar peratus yang berkuat kuasa, semalam.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor, Azman Adam berkata, segala aduan daripada pengguna itu memerlukan siasatan lanjut dan tindakan segera.

“Saya minta pengguna yang membuat aduan tentang harga selepas daripada penurunan sifar GST, supaya memberikan alamat lengkap tempat aduan dan turut disertakan resit pembelian bagi memudahkan kami menjalankan siasatan,” katanya.

Beliau berkata, sehingga jam 10 pagi tadi, antara aduan tertinggi diterima pihaknya ialah pembeli masih dikenakan kadar GST sebanyak enam peratus dalam resit pembelian.


Bagaimanapun, katanya, hasil maklum balas diterima beliau daripada pegawainya memaklumkan keadaan itu disebabkan kegagalan sistem baharu itu berfungsi.

“Sesetengah peniaga, telah mengambil langkah sewajarnya seperti membuat pemulangan semula lebihan wang GST enam peratus.

“Malah, ada juga dalam kalangan peniaga menyediakan kaunter khidmat nasihat supaya aduan yang mereka terima dapat diselesaikan,” katanya pada pemeriksaan OPS Catut 4.0 di Pasar Raya Tesco, Kuala Selangor, di sini, pagi tadi.

Pada masa sama, beliau menegaskan, pihaknya akan meneruskan pemeriksaan dan pemantauan premis di negeri ini.

“Pada 31 Mei dan sebelumnya kita dah buat kutipan data harga di 1,237 premis dan akan membuat lawatan balas untuk memastikan bahawa penurunan harga akibat penurunan GST daripada enam kepada 0 peratus dinikmati pengguna,” katanya.

Orang ramai yang ingin membuat aduan boleh menghubungi bilik gerakan KPDNKK Shah Alam di talian 0355181810 atau talian bebas tol KPDNKK 1800886800.


Tiada ulasan: