Sabtu, 2 Jun 2018

Siaran langsung Piala Dunia inisiatif kerajaan buat peminat bola sepak

THE MALAYSIAN INSIGHT
Siaran langsung Piala Dunia inisiatif kerajaan buat peminat bola sepak
Dengan adanya siaran langsung melalui RTM, peminat bola sepak yang tidak melanggan Astro tidak perlu menyaksikannya di restoran mamak atau gerai tom yam kerana mereka boleh menyaksikannya di rumah dengan selesa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 
 
KINI tinggal 13 hari lagi sebelum perlawanan bola sepak berprestij di dunia, Piala Dunia FIFA 2018 bermula di Rusia pada 14 Jun ini.

Debaran peminat bola sepak tempatan sudah kian memuncak dan seolah-olah tidak sabar untuk menyaksikan kehangatan aksi Piala Dunia 2018 yang akan berlangsung selama sebulan itu.

Dalam kerancakan promosi Piala Dunia 2018 di serata pelusuk negara ini, rakyat Malaysia menerima khabar gembira apabila Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo mengumumkan RTM akan turut menyiarkan perlawanan bola sepak berprestij berkenaan.

Beliau mengumumkan 41 daripada 64 perlawanan akan ditayangkan di saluran RTM dengan kos sebanyak RM30 juta untuk membeli hak penyiaran berkenaan yang mana separuh daripada jumlah itu sudah mendapat penajaan.

Sebanyak 27 perlawanan yang akan ditayangkan adalah secara langsung, manakala bakinya disiarkan melalui siaran tertunda.

Keprihatinan kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu sudah semestinya memberi kelegaan kepada peminat bola sepak tempatan untuk sama-sama menyaksikan aksi pasukan pilihan masing-masing.

Siaran perlawanan melalui RTM itu memberikan pilihan kepada peminat bola sepak tempatan untuk  menonton secara percuma selain melalui saluran televisyen berbayar, Astro.

Menurut Exco Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), merangkap Pengerusi Perhubungan Awam dan Media FAM, Christopher Raj, keputusan kerajaan membawa siaran Piala Dunia 2018 melalui RTM adalah suatu usaha yang harus diberi pujian.

"Penyiaran siaran langsung Piala Dunia melalui RTM bukanlah sesuatu yang baharu sebaliknya telah pun dilakukan sejak dahulu lagi. Kedua-dua stesen penyiaran (Astro dan RTM) itu memainkan peranan mereka masing-masing.

"Secara keseluruhan peminat bola sepak boleh menikmatinya. Ia juga suatu yang positif kepada bola sepak di negara ini yang mana ia mampu mendekatkan rakyat dengan sukan itu sendiri," katanya ketika dihubungi Bernama.

Tambah beliau, sukan bola sepak adalah acara sukan nombor satu di Malaysia dan telah membuktikan ia mampu menyatukan rakyat berbilang bangsa.

Sementara itu, penganalisis sukan, Asan Ahmad turut mempunyai sentimen yang sama dan mengakui bahawa sukan bola sepak adalah elemen penyatuan rakyat.

"Ini membuktikan bahawa RTM sangat memahami bahawa acara sukan itu antara elemen yang boleh dijadikan sebagai alat untuk menyatukan masyarakat tempatan, tidak mengira bangsa, agama mahupun latar belakang.

"Ia membuktikan keprihatinan RTM terhadap kehendak para penonton, khususnya dalam kalangan penduduk luar bandar. Lagipun, tidak semua masyarakat tempatan mampu untuk melanggan stesyen televisyen berbayar yang selama ini telah menguasai siaran untuk acara-acara sukan terbesar dunia," katanya.

Dengan langkah yang diambil oleh RTM itu, menurut beliau, ramai yang akan berpuas hati kerana dilema mereka untuk menyaksikan perlawanan bola sepak terulung dunia kini sudah berakhir.

"Apa yang penting, langkah yang diambil oleh RTM ini jangan dijadikan isu politik kerana keutamaan mereka adalah untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada para penonton di seluruh negara. Keutamaan RTM adalah penonton dan bukannya untuk pihak tertentu," katanya.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo mengumumkan 41 daripada 64 perlawanan akan ditayangkan di saluran RTM dengan kos sebanyak RM30 juta untuk membeli hak penyiaran berkenaan yang mana separuh daripada jumlah itu sudah mendapat penajaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Jun, 2018.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo 
mengumumkan 41 daripada 64 perlawanan akan ditayangkan 
di saluran RTM dengan kos sebanyak RM30 juta untuk membeli
hak penyiaran berkenaan yang mana separuh daripada jumlah itu
sudah mendapat penajaan. – Gambar fail The Malaysian Insight
Pada Piala Dunia Dunia 1982 yang berlangsung di Sepanyol, rakyat Malaysia berganding bahu bersama-sama mengumpul duit dan melancarkan tabung untuk menonton siaran langsung sukan paling popular berkenaan buat pertama kalinya.

Walaupun syarikat petroleum dan gas, Shell, menaja empat perlawanan utama iaitu pembukaan, (dua perlawanan) separuh akhir dan akhir, namun kantung RTM tidak cukup untuk membolehkan rakyat Malaysia menonton secara langsung perlawanan-perlawanan lain.

Dengan kempen RM1 seorang, jumlah wang terkumpul sebanyak RM300,000 iaitu melebihi sasaran asal sebanyak RM60,000, rakyat Malaysia berjaya menonton empat perlawanan lain. 

Mohd Saufi Adnan, 32, seorang peminat bola sepak tegar, berpendapat usaha kerajaan PH membawa siaran langsung Piala Dunia 2018 memberi keselesaan kepada rakyat khususnya golongan muda.

"Dengan adanya siaran langsung melalui RTM, tidak perlulah mereka yang tidak melanggan Astro pergi menyaksikannya di restoran mamak atau gerai tom yam. Mereka boleh menyaksikannya di rumah dengan selesa.

"Tidak semua rakyat Malaysia melanggan Astro. Untuk siaran Piala Dunia 2018 ini, pelanggan perlu membayar untuk mendapat akses siaran Piala Dunia itu. Walaupun RTM hanya menyiarkan 41 daripada 64 perlawanan, itu sudah cukup baik," katanya.

Piala Dunia diadakan empat tahun sekali dan untuk edisi kali ini melibatkan 32 negara, dengan Panama dan Iceland akan membuat kemunculan buat kali pertama.

Siaran Piala Dunia 2014 di Brazil mencecah 3.2 bilion penonton di seluruh dunia dan satu bilion menonton perlawanan akhir, bagaimanapun, RTM tidak menyiarkan secara langsung untuk edisi berkenaan. – Bernama

Tiada ulasan: