Timbalan Ketua Pemuda Gerakan, Andy Yong Kim Seng berkata, parti komponen BN sepatutnya memutuskan apakah Umno sudah tidak lagi mampu berubah dan seterusnya akan melemahkan gabungan itu secara keseluruhan.
Umno sekarang terperangkap dalam masalah yang ditempanya sendiri, terutama kerana sikap angkuh dan amalan politik wang, katanya.
Melihat pada kemungkinan barisan baru kepimpinan Umno selepas pemilihan parti itu akhir bulan ini, Yong berkata, beliau ragu parti itu boleh memenangi semula sokongan majoriti rakyat Malaysia dalam waktu terdekat, terutamanya di bandar.
"Komponen BN sepatutnya mengadakan mesyuarat majlis tertinggi untuk menyingkirkan Umno, kalau mereka mahu, dan bukannya meninggalkan gabungan itu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Yong mengulas tindakan empat parti komponen BN di Sarawak keluar daripada gabungan itu untuk membentuk pakatan baru politik tempatan atas nama Gabungan Parti Sarawak (GPS).
GPS akan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan untuk kepentingan nasional serta hak dan kepentingan negeri berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan Persekutuan Malaysia, kata empat parti itu dalam satu kenyataan bersama.
BN dibentuk selepas Pilihan Raya Umum 1969 yang dicemari peristiwa berdarah 13 Mei. Gabungan politik itu menggantikan kerjasama politik Umno-MCA-MIC atas nama Perikatan yang terjalin sejak perjuangan menuntut Merdeka.
Menurut Yong, BN bukan milik Umno tetapi hak semua parti komponen yang masing-masing ada suara yang sama, masing-masing satu undi mengikut perlembagaan parti.
"Adalah salah untuk membenarkan Umno menguasai kedudukan tertinggi dalam BN seperti timbalan pengerusi, setiausaha agung dan bendahari.
"Ini yang menyebabkan sesetengah mereka jadi bongkak," katanya.
Pada PRU14 yang baru lalu, Gerakan langsung tidak menang satu pun kerusi Parlimen yang ditandinginya.
Umno mempunyai 54 daripada 60 kerusi BN yang tinggal di Parlimen selepas empat komponen Sarawak meninggalkan gabungan itu hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan