Katanya ia bagi meningkatkan prestasi dalam memacu ekonomi negeri ke arah yang lebih menguntungkan pada masa akan datang manakala syarikat-syarikat yang tidak berdaya saing perlu disatukan, dijual atau ditutup, sekiranya perlu.
"Kemungkinan juga kita akan mengecilkan atau mengurangkan bilangan ahli lembaga pengarah serta melantik ahli lembaga pengarah yang mempunyai kompetensi, kebolehan, pengalaman dan integriti yang tinggi di mana ia akan menjadi agenda utama saya dan pimpinan yang baharu.
"Kita mahu saiz dan kualiti ahli lembaga pengarah dan juga pengurusan tertinggi yang sesuai untuk setiap syarikat di bawah Kumpulan Terengganu Inc bagi memberi pulangan pelaburan yang maksimum kepada kerajaan negeri agar nikmatnya boleh dirasai segenap lapisan masyarakat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis berbuka puasa bersama kakitangan Kumpulan Terengganu Inc malam tadi.
Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada 73 pelajar sekolah Tahfiz Al Hidayah dan 55 anak-anak istimewa dari Sekolah Pendidikan Khas Kuala Terengganu.
Antara syarikat yang berdaya saing di bawah Kumpulan Terengganu Inc ialah TDM Berhad, Epic Berhad, Golden Pharos Berhad, Ladang Rakyat Terengganu, Syarikat Air Terengganu (Satu), Chicken Cottage, hotel seperti Duyong Marina Resort, Primula Beach Hotel dan Permai Hotel.
Ahmad Samsuri berkata semua anak syarikat kumpulan Terengganu Inc diharap dapat terus istiqamah dalam memainkan peranan, memacu dan bergerak seiringan untuk membawa negeri Terengganu ke tahap yang lebih tinggi.
"Saya berharap perubahan kepimpinan negeri dan negara ditangani dengan baik melalui pendekatan politik kasih sayang yang diterapkan demi kesejahteraan rakyat. Malah, operasi perniagaan terus aktif dengan usaha berganda untuk memacu keuntungan pada masa hadapan dengan acuan Terengganu yang maju, berkat dan sejahtera," katanya. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan