Isnin, 18 Jun 2018

Kerajaan mahu rombak polis, imigresen kerana 'berserabut' - KDN

   

Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan dirombak dan disusun semula berikutan struktur yang disifatkan ‘berserabut’, demikian kata Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut beliau, rombakan itu yang hanya dilakukan selepas berjumpa dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memberikan penjelasan, turut dibuat kerana kedua-dua jabatan itu menerima aduan paling tinggi daripada orang ramai, yang dikirakan perlu diselesaikan segera.

“Tujuannya tidak lain supaya peranan agensi-agensi di bawah kementerian kita berjalan mengikut dasar-dasar yang ditetapkan kerana kita (jabatan dan agensi KDN) berdepan berbagai-bagai tanggapan yang agak negatif.

"Selaku menteri saya sedar perkara ini dan ia adalah satu perkara yang tidak baik dari sudut imej dan juga keyakinan dan kepercayaan rakyat jelata kepada KDN,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pagoh di Kompleks Sukan Pagoh di Muar, hari ini.

Muhyiddin berkata rombakan itu juga diharap dapat memperbetul dan menyelesaikan beberapa kepincangan yang dikesan dalam agensi berkaitan sebelum ini antaranya berhubung proses pemutihan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Mengenai isu lain, beliau yakin polis akan mengambil langkah yang sewajarnya untuk menangkap Jho Low, individu dipercayai suspek utama kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Arahan untuk menangkap Jho Low dan membawa balik beliau telah lama saya minta PDRM buat.
Jadi, tunggulah...,” katanya.- Bernama


Tiada ulasan: