Isnin, 18 Jun 2018

Khairy ikrar untuk Umno bebas cengkaman panglima politik

MALAYSIAKINI

   

Pengumuman Khairy Jamaluddin Abu Bakar di saat akhir untuk bertanding jawatan tertinggi Umno disusuli dengan ikrarnya untuk menstrukturkan semula parti itu secara menyeluruh agar jadi "terbuka".

Khairy yang sebelum ini hanya mengesahkan untuk bertanding jawatan naib presiden mengakui ia keputusan sukar namun berpendapat mahu memberi pilihan yang pelbagai kepada perwakilan Umno.

"Sudah pasti, saya tidak mempunyai pengalaman yang luas seperti calon-calon yang lain. Tetapi saya mahu perwakilan diberi satu lagi pilihan yang mewakili peralihan generasi dalam Umno.

"Satu pilihan yang pada prinsipnya melihat bagaimana parti kita dapat dibina semula mengikut acuan terkini tanpa melupakan asas penubuhan Umno," katanya mengakui kekuatan dua pencabar lain, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Seorang lagi yang akan bertanding jawatan presiden adalah penulis blog yang tidak begitu dikenali, Rahmat Azim Abdul Aziz.

Mengulas jasad baru yang dimaksudkannya, Khairy menjelaskan ia adalah Umno yang tidak terhad untuk satu-satu kaum atau golongan serta tidak mengamalkan sifat prejudis.

"Parti yang membuka ruang kepada setiap lapisan masyarakat, bukan hanya golongan atasan, bangsawan, korporat dan elit sahaja.

"Parti untuk orang biasa. Parti yang menjaga kepentingan orang biasa. Parti yang tidak rasis, tidak seksis, tidak jumud dan tidak lagi pekak terhadap kehendak rakyat jelata.

"Parti yang berjiwa besar terhadap kaum-kaum lain dan mungkin satu hari nanti BN boleh dibina semula sebagai satu rumah besar untuk semua," katanya.

Menurut Khairy, keterbukaan Umno yang dimaksudkannya termasuklah terbuka menerima kritikan tanpa risiko untuk pengkritik dipecat serta bebas dari cengkaman panglima politik.

"Terbuka untuk bertanding. Terbuka untuk menegur dan mengkritik pemimpin tanpa dipecat. Terbuka untuk menerima ahli-ahli baharu tanpa sekatan.

"Terbuka untuk para perwakilan menentukan siapa yang akan menerajui Umno dan bebas daripada cengkaman warlords (panglima politik)," katanya.

Tambah Khairy lagi, Perhimpunan Agung Umno perlu menjadi medan pertembungan idea untuk kebaikan rakyat dan bukannya pesta ucapan retorik yang hanya menghiburkan ahli parti.

Jelasnya, Umno juga perlu membuka ruang untuk orang luar termasuk ilmuan, profesional dan aktivis yang sebelum ini mungkin terpinggir untuk menjawat jawatan tertinggi dalam parti itu.

"Kita buka pintu Umno seluas-luasnya kepada siapa sahaja yang ingin membina semula parti kita.

"Saya sedar saya juga penuh dengan kelemahan. Dan mungkin ada yang rasa saya terlalu muda dan mentah. Tetapi kita berada di zaman luar biasa yang menuntut jalan yang bukan biasa.

"Saya hanya mahu memberi para perwakilan pilihan yang seluas-luasnya. Menang kalah di tangan perwakilan dan ketentuan Ilahi," katanya.

Anggota parlimen Rembau itu turut menegaskan akan tetap setia dan menyokong sesiapa saja yang menang dalam pemilihan Umno.

"Yang penting, pemilihan ini perlu berjalan dalam semangat kekeluargaan Umno agar ia dapat menjadikan parti lebih kuat untuk mengharungi cabaran besar pada hari-hari mendatang.

"Inilah permulaan jalan yang jauh dan berliku. Jalan yang hari ini mungkin tidak nampak sinar di penghujungnya.

Tetapi saya yakin, jika Umno dapat dikembalikan denga roh perjuangan yang asal namun dalam jasad yang lebih segar, rajawali perjuangan akan terbang semula satu hari nanti," katanya.

Pencalonan bagi pemilihan Umno berakhir 5 petang tadi dan empat calon sudah mengesahkan akan bertanding jawatan presiden 30 Jun nanti.

Dua calon yang bertanding jawatan timbalan presiden pula adalah Datuk Seri Mohamad Hasan dan Tan Sri Annuar Musa.

Bagi jawatan naib presiden Umno yang memperuntukkan tiga wakil pula akan ditandingi tujuh caloo iaitu Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Datuk Seri Shahidan Kassim, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Seri Ismail Yaakob dan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Jawatan lain yang dipertandingkan adalah ketua Wanita, ketua Pemuda. Hanya ada satu calon yang menawarkan diri bagi jawatan ketua Puteri Umno.


Tiada ulasan: