Isnin, 18 Jun 2018

Kartunis Tembakau meninggal dunia

THE MALAYSIAN TIMES
Kartunis Tembakau meninggal dunia
Kartunis Tembakau atau nama sebenarnya Azhar Ahmad melonjak popular melalui karyanya yang disiarkan majalah komik Ujang dan juga naskhah komik berjudul Kartini. – Gambar Facebook
 

KARTUNIS Tembakau meninggal dunia pagi ini selepas lebih seminggu dirawat di Hospital Kuala Lumpur ekoran masalah pernafasan.

Perkara itu disahkan oleh seorang rakannya, kartunis Ujang di Facebook.

Ujang berkata, jenazah Tembakau atau nama sebenanya Azhar Ahmad dijangka akan disembahyangkan di Masjid Kampung Lalang dan dikebumi di Padang Rengas, Perak.

Sementara itu, Persatuan Penggian Komik Malaysia (Pekomik) dalam satu kenyataan menyebut, pemergian Allahyarham amat dirasai.

“Tembakau merupakan salah seorang penggiat komik yang tidak jemu membantu dan menyokong aktiviti Pekomik serta arena komik tanah air.”

Tembakau merupakan pemenang Anugerah Pekomik pada 2012 untuk kategori Penulis Komik Terbaik dan Komik Terbaik.

Sejak beberapa bulan lalu, Tembakau sedang dalam proses menulis skrip filem Kartini yang diadaptasi dari novel grafiknya sendiri, yang pertama kali terbit dalam majalah humor Lanun pada dekad 1990-an.

Filem itu dilaporkan bakal diarah oleh pengarah filem yang sedang meningkat naik, Al Jafree Md Yusof dan menampilkan lakonan antaranya Eric Fuzi.

Sementara itu, pengarah filem Mamat Khalid pula mengenang sumbangan Tembakau untuk sebuah filemnya, Kala Malam Bulan Mengambang.

“Sudah sampai serunya. Semoga ditempatkan bersama orang-orang yang soleh. Amin,” katanya.

Rakan kartunis, Amin Landak menyifatkan Tembakau sebagai "seorang kartunis yang ramah dan juga seorang yang tidak kedekut untuk berkongsi ilmu."

Tembakau melonjak popular melalui karyanya yang disiarkan majalah komik Ujang dan juga naskhah komik berjudul Kartini.

Tembakau, 46, juga merupakan pelukis bagi siri animasi Usop Sontorian.

Tiada ulasan: