Sabtu, 23 Jun 2018

Kalau menang saya tak ketepi Ku Li, KJ

Radzuan Hassan
Naib Presiden UMNO merangkap Calon Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid.
Naib Presiden UMNO merangkap Calon Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
 

KUALA LUMPUR – Pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berjanji tidak akan mengenepikan Ku Li dan KJ sekiranya memenangi pemilihan presiden parti.

“Soal pembersihan itu selepas mandat diberikan kepada saya. Saya berjanji saya tak ketepikan dua lagi calon presiden lagi (Ku Li dan Khairy Jamaluddin) kerana keterangkuman idea mereka berdua harus digunakan untuk membangkitkan semula roh UMNO,” ujarnya dalam temubual secara langsung di Astro Awani malam tadi.

Bukan sekadar itu, Ahmad Zahid juga berharap calon yang memenangi kepimpinan sayap UMNO juga harus berbuat perkara yang sama kepada lawan-lawannya di dalam parti.

Sementara itu, beliau juga menasihati ahli-ahli parti supaya tidak bernostalgia dan harus memandang ke depan dan ia amanah kepada kepimpinan baharu UMNO kelak.

Menurutnya, sebagai orang yang diberi tugas pemangku presiden sudah menjadi tanggungjawabnya mendapatkan sokongan akar umbi bersama-samanya.

Soal politik wang, Ahmad Zahid menegaskan, sekiranya UMNO dapat membersihkan diri seratus peratus daripadanya ia pasti mengembalikan sokongan rakyat.

Sebagai pembangkang, ahli-ahli UMNO juga katanya harus ada DNA sebagai pembangkang dalam apa juga operasi parti dijalankan.

“Kita lama berada dalam zon selesa biar pun masih ada Pahang dan Perlis namun hakikatnya kita pembangkang dan DNA itu perlu ditanam daripada sekarang,” katanya lagi.- MalaysiaGazette


Tiada ulasan: