Ahad, 17 Jun 2018

‘Jangan menang jadi arang dan kalah jadi abu’

MALAYSIAKINI

   

Naib Presiden Umno yang menjalankan tugas-tugas presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan akan berlapang dada dan berfikiran terbuka untuk menerima sesiapa yang menang pada pemilihan parti itu pada 30 Jun ini.

Beliau yang akan dicabar oleh Tengku Razaleigh Hamzah untuk jawatan presiden Umno berkata, biar apa keputusannya parti itu harus terus diperkukuhkan.

“Saya sangat berlapang dada dan berfikiran terbuka untuk kelak menerima siapa sahaja yang menang untuk membentuk kepimpinan Umno yang kuat.

“Kita hendaklah menjadikan pertandingan ini dengan niat untuk menghadapi seteru politik di luar sana dan bukan mencipta permusuhan sesama sendiri.




“Jangan jadikan 'menang jadi arang dan kalah menjadi abu' sebagai tunjang pertandingan ini,” katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini, hari ini.

Ahmad Zahid bekata, keutamaan untuk menjaga jemaah Umno lebih penting dari sesuatu jawatan yang ditandingi.

“(Ini) kerana sesuatu jawatan kelak merupakan suatu amanah dan bukan habuan politik. Umno kini terkeluar dari gelanggang kekuasaan.

“Tempoh berkempen tidak harus dijadikan pentas untuk membunuh perwatakan calon-calon yang menawarkan diri.

“Ia hendaklah dilakukan secara persahabatan dengan semangat ukhuwah,” katanya.

Mengulas keputusan Razaleigh untuk bertanding jawatan utama parti, Ahmad Zahid berkata, ini adalah bukti komitmen bahawa semua jawatan dalam Umno terbuka untuk ditandingi.




Menurut beliau, ini memperlihatkan Umno kini lebih demokratik tetapi mengingatkan supaya memastikan bahawa Umno tidak harus terbelah dua seperti terjadi pada tahun 1987 biarpun keterbukaan diterjemahkan semula pelaksanaannya.

Walauapun tidak menyebut sebarang nama, tetapi adalah jelas Ahmad Zahid merujuk tindakan Razaleigh yang tewas kepada Musa Hitam untuk jawatan timbalan presiden Umno dan jawatan presiden parti kepada Dr Mahathir Mohamad pada 1987.

Akibat tidak puas hati dengan keputusan pemilihan, ada anggota yang membawa kes itu ke mahkamah dan akibatnya Umno diharamkan dan Razaleigh kemudiannya menubuhkan Parti Semangat 46.

Selepas lapan tahun, parti itu kemudian dibubarkan pada 1996 dan Razaleigh menyertai semula Umno yang didaftarkan semula oleh Dr Mahathir sehingga hari ini.


Tiada ulasan: