Ahad, 17 Jun 2018

‘Ku Li jangan pula tubuh S46 kedua jika kalah lagi’

 


ULASAN l Penulisan Kadir Jasin baru-baru ini macam orang gila talak. Sudah keluar Umno tetapi menyibuk mengenai pemilihan Umno terutama peringkat jawatan Presiden.

Suka juga bertanya apakah tulisannya mengenai Umno itu atas suruhan Tun Dr Mahathir Mohamad atau Tun Daim Zainuddin? Atau arahan pemimpin DAP?

Orang Umno pasti tahu siapa mereka nak sokong bagi jawatan presiden Umno sama ada Ahmad Zahid Hamidi atau Tengku Razaleigh Hamzah. Tidak perlu orang Pakatan Harapan hendak campur tangan atau menyibuk.




Pasti pemimpin Umno mempunyai kehebatan masing-masing untuk menyumbang kepada Umno.

Hari ini Razaleigh atau juga mesra dengan panggilan Ku Li menawarkan diri untuk bertanding jawatan presiden. Katanya, beliau bertanding untuk bawa perubahan.

Bagi penulis, Zahid yang mempunyai pengamalan luas dan setia kepada parti harus dipilih menjadi presiden. Ku Li pula yang sudah lama tidak berada di barisan kepimpinan tertinggi parti boleh membantu Zahid sebagai pengerusi Majlis Penasihat Umno.

Tengku Razaleigh Hamzah, keturunan diraja Kelantan ini, bukanlah nama asing di dalam kancah politik Malaysia. Bermula dengan tenaga Umno yang disegani di bawah pemerintahan Tuanku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak Hussein, beliau mencipta nama di pelbagai bidang ikhtisas, terutama merancang program yang meningkatkan ekonomi negara.

Terpahat dalam sejarah

Sejarah tidak akan lupa sumbangan beliau di dalam penubuhan Petronas pada tahun 1972,
pembabitan di dalam banyak institusi kewangan antarabangsa seperti Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa dan Bank Pembangunan Islam.

Kerana itulah beliau dilantik sebagai menteri kewangan pada 1976 dan menjadi pelopor kepada penubuhan Bank Bumiputera dan Pernas (kini PNB).

Nama Ku Li terpahat bukan saja dalam sejarah pembangunan negara, malah di bidang politik.

Banyak yang dilaluinya, termasuk tewas kepada Musa Hitam untuk jawatan timbalan presiden Umno dan jawatan presiden parti kepada Dr Mahathir Mohamad pada 1987.

Ia menyaksikan pengharaman Umno dan tertubuhnya Parti Semangat 46 pimpinan beliau di atas rasa tidak puas hati dengan keputusan pemilihan. Selepas lapan tahun, parti itu dibubarkan pada 1996 dan beliau menyertai semula Umno. Sudah tentu ahli Umno tidak mahu melihat Ku Li menubuhkan Semangat 46 kedua selepas ini.




Walaupun menentang presiden dan pernah keluar parti, beliau 'mendermakan' tanahnya kepada Umno untuk pembinaan PWTC dan Ibu Pejabat Umno. Begitu besar dan tingginya iltizam beliau terhadap Umno dan orang Melayu.

Tetapi itu sudah berlalu. Dalam usia 81 tahun kini, Ku Li jarang sekali ke sidang Dewan Rakyat sebagai Ahli Parlimen Gua Musang. Beliau juga tidak kelihatan pada beberapa Perhimpunan Agung Umno yang lampau. Jika boleh diundurkan masa, tenaga muda beliau adalah untuk Umno.

Kini, hakikatnya perlu dihadapi. Seboleh-bolehnya usahlah beliau bertanding pada pemilihan parti 30 Jun ini. Akui dan akurlah kepada peredaran masa.

Kerusi presiden kurang selesa

Berilah peluang kepada orang lain menerajuinya, orang yang taat kepada institusi presiden, dan cekal menghadapi dua era yang dipikulnya - pertama, pengharaman Umno pada 1998, dan kedua ketika Umno di saat paling rapuh selepas kekalahan BN pada PRU14.

Bukan bermakna Ku Li tidak penting lagi di dalam parti. Malah, inilah saatnya beliau amat diperlukan untuk membantu presiden mengukuhkan semula keyakinan terhadap Umno.




Kerusi presiden rasanya kurang selesa untuk beliau. Sebaliknya, beliau patut dilantik sebagai penasihat eksekutif parti, mungkin bersama seorang atau dua lagi pembantu, untuk menyalurkan buah fikiran berguna untuk Umno.

Dengan kuasa eksekutif yang ada pada Majlis Penasihat parti yang boleh diwujudkan, Ku Li memiliki bidang kuasa memecat atau menggantung keahlian presiden dan mana-mana 'office bearer' dalam parti yang terbukti rasuah, tidak cekap atau salahguna kuasa.

Fungsi ini sama atau mungkin lebih penting daripada bidang kuasa presiden. Sebagai orang lama yang amat dihormati, serta bekas Menteri Kewangan yang paling bersih serta cekap, Umno bertuah jika beliau dapat memainkan fungsi ini.

'Kompromi' demi kehidupan Umno

Ini masa yang cukup genting bagi Umno. Ahli dan pemimpin Umno perlu perkukuhkan parti terlebih dahulu sebelum merebut sebarang jawatan, dan apa ertinya jawatan jika parti masih terus porak peranda oleh golongan yang mencari publisiti dan menjaga kepentingan peribadi.

Ahli dan pemimpin Umno perlu sama-sama mempopularkan semula Umno, dan bukan mempopularkan diri sendiri. Berbaliklah kepada asas perjuangan Umno pada tahun 1946. Jika ini kiblat politik Melayu, peganglah perpaduan dahulu sebelum memegang jawatan.

Tengku Razaleigh lebih diperlukan Umno pada masa ini, samalah dengan hasrat parti dipimpin Pemangku Presiden, Zahid Hamidi.




Jadikan pemilihan kali ini sebagai 'kompromi' demi kehidupan semula. Dengan adanya gandingan Ku Li dan Zahid, rakyat pasti yakin Umno mampu bangkit dalam masa terdekat.


*AR ROSLAN adalah penganalisis politik tempatan yang kini melanjutkan pelajaran di luar negara

.

Tiada ulasan: