Ahad, 17 Jun 2018

Ku Li: Kenapa mesti saya pecat Najib dari Umno?

 
   
Tengku Razaleigh Hamzah yang akan bertanding jawatan presiden Umno pada pemilihan parti 30 Jun ini berkata beliau tidak akan mempertimbangkan cadangan untuk memecat Datuk Seri Najib Razak melainkan jika beliau didapati melakukan kesalahan "besar".

"Kenapa harus saya (memecat Najib dari Umno)?

"(Tidak) melainkan ada sesuatu yang sangat salah," katanya ketika ditanya semasa sidang akhbar di kediamannya di Kuala Lumpur hari ini semasa mengumumkan pencalonannya untuk bertanding jawatan presiden.

Terdahulu hari ini, veteran DAP, Lim Kit Siang mencadangkan Umno memecat Najib kerana dakwaan beliau terlibat dalam skandal 1MDB dan secara umumnya menyebarkan politik "toksik".

Berikutan kekalahan BN dan Umno pada pilihan raya umum bulan lalu, bekas perdana menteri itu melepaskan jawatan sebagai pengerusi BN dan presiden Umno.

Beliau kini tertakluk kepada pelbagai penyiasatan mengenai pembabitannya dalam firma pelaburan strategik negara, 1MDB yang ditubuhkan semasa beliau adalah perdana menteri.

Sementara itu, apabila ditanya sama ada beliau cuba mendapat sokongan Najib, Razaleigh berkata beliau secara peribadi tidak bertanya.

"Tidak juga dia (Najib) beritahu saya dia sokong saya," katanya.

Pencalonan untuk pemilihan Umno akan berakhir esok dan pemilihan jawatan tertinggi akan berlangsung pada 30 Jun.

Tiada ulasan: