UMNO mengingatkan pihak luar supaya tidak mencampuri atau mempengaruhi proses pemilihan parti itu, tidak lama lagi.
Ia susulan kenyataan beberapa pihak luar UMNO berhubung pencalonan pelbagai jawatan yang dipertandingkan dan dilihat sebagai cuba melaga-lagakan pemimpin UMNO.
Unit Komunikasi Strategik Ibu Pejabat UMNO berkata, kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai orang yang layak menerajui UMNO ibarat cuba ‘menjaga tepi kain orang’ sedangkan UMNO tidak pernah mengulas mengenai komponen Pakatan Harapan (PH).
“Apakah Dr Mahathir masih ‘meroyan’ dengan parti yang pernah dipimpin dan diperkudakannya selama 22 tahun?
“Begitu juga kenyataan Lim Kit Siang bahawa UMNO memerlukan pendekatan baharu untuk memulihkan imejnya.
“Kami ingin menasihatkan Kit Siang supaya memberi tumpuan kepada isu dalaman DAP dan kes rasuah dihadapi anaknya yang juga Menteri Kewangan, Lim Guan Eng,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut kenyataan itu, Kit Siang harus akur dengan kenyataan ahlinya sendiri yang menggelar beliau sebagai diktator kerana enggan menyerahkan kuasa.
Kenyataan itu turut menyifatkan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz, yang didakwa mengaut kekayaan ketika berada dalam UMNO, tidak berhak ada hak lagi berkata apa-apa mengenainya.
Katanya, UMNO beranggapan cubaan campur tangan itu bertujuan memporak-perandakan parti yang menjadi wadah perjuangan bangsa Melayu selama ini.
“Secara individu, UMNO meraih 54 kerusi Parlimen pada PRU lalu, membuktikan ia mampu berdiri sendiri tanpa gabungan politik Barisan Nasional (BN) dan PH.
“PH bukan sebuah parti politik yang kukuh sebenarnya dan beranikah mereka meleraikan ikatan ini dan berdepan satu sama satu dengan UMNO?” katanya.
Sehubungan itu, PH dinasihatkan tidak menjadi ‘kingmaker’ dan cuba mencatur apa yang patut dibuat atau siapa yang harus menjadi pemimpin UMNO.
“Jangan jadi ayam jantan berkokok berderai-derai, tetapi ekor bergelumang tahi.
“Beri kami ruang menguruskan hal parti sendiri kerana kami yakin kepimpinan yang ada mampu menjanjikan masa depan yang lebih gemilang ” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan