Memaparkan catatan dengan label EKONOMI / PEKERJAAN. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label EKONOMI / PEKERJAAN. Papar semua catatan

Rabu, 2 September 2020

Di tengah kegembiraan Hari Kebangsaan, tiada makna bagi penduduk PPR

Penduduk di flat PPR menjalani rutin harian ketika perayaan 
Hari Kebangsaan.

KUALA LUMPUR: Sebahagian besar masyarakat gembira menyambut Hari Kebangsaan dengan mengibar Jalur Gemilang dan melaungkan kemerdekaan.

Namun, suasana itu nyata berbeza bagi mereka yang berpendapatan rendah kerana tidak bersemangat menyambutnya tatkala masih berdepan pandemik Covid-19 dan sekatan perintah kawalan pergerakan.

FMT sempat meninjau sebuah kawasan perumahan di PPR bagi mendalami kisah beberapa penduduk di situ yang menceritakan bagaimana mereka terus mematuhi lanjutan perintah kawalan pergerakan atau disebut sebagai ‘normal baharu’.

“Buat masa ini, tiada apa yang boleh disambut bagi kebanyakan kami yang tinggal di sini,” kata Mithraa, ibu tunggal kepada 3 anak. “Kos makanan meningkat dan ada banyak bil kena bayar. Ia sangat sukar dan saya tidak tahu apa yang perlu dibuat,” keluhnya.

Ada juga yang terpaksa berdepan pemotongan gaji. Mithraa, yang bekerja dalam sektor jualan, berkata pendapatannya dikurangkan separuh sejak PKP bermula pada Mac lalu.

Rakannya, Santhi Villaranam, bekerja sebagai tukang cuci tetapi salah sebuah pejabat yang biasa dibersihkannya telah ditutup sejak Mac dan pejabat lain hanya memperuntukkannya untuk bekerja selama 1 jam sehari.

“Macam mana saya boleh bayar semua benda?” tanya ibu kepada 3 anak itu. “Saya tidak fikir tentang merdeka. Saya lebih risau pasal beli makanan dan jaga anak-anak saya.”

Situasi hari demi hari terus bertambah buruk, ibarat tiada noktah. Malah mungkin juga bukan tahun depan.

“Harga sudah naik, dan saya sudah tak mampu beli ayam atau ikan. Saya harap kerajaan akan berusaha turunkan harga dan mencari jalan untuk mewujudkan pekerjaan dengan gaji yang lebih baik,” kata Santhi.

Seorang lagi jiran, Rose Jamaluddin, berkata anaknya kini diberhentikan kerja di sebuah tapak pembinaan. Ini menjadikannya semakin bimbang dengan masa depan.

“Pendidikan lebih baik untuk semua satu-satunya jalan keluar”

Sebahagian jiran mereka terpaksa berfikir secara kreatif dan menjadi usahawan kecil-kecilan. Ada yang kini mula menjual makanan dari warung tingkat bawah, sementara yang lain memulakan perniagaan pendawaian (wiring) secara “freelance”

Memikirkan masa depan, penduduk di situ yakin dalam jangka masa panjang, pendidikan menjadi kunci untuk mendapatkan pekerjaan dengan gaji tetap bagi anak mereka.

Ramesh, yang mengusahakan sebuah kedai runcit di flat itu menegaskan negara sepatutnya mempunyai visi untuk mengelakkan daripada pelaksanaan tindakan afirmatif yang beberapa dekad bergelut dalam sistem pendidikan.

“Kita semua mahukan pendidikan yang baik untuk anak-anak kita dan itu perlu menjadi suatu bidang yang setara,” katanya. “Setiap orang perlu mendapat layanan yang sama.”

Bagi seorang penduduk lain pula, Suhaimi Suji, bersetuju bahawa sekolah dan program kolej yang dirancang secara bersesuaian akan menjadi kunci kepada generasi muda Malaysia sebagai alat yang diperlukan untuk bersaing dalam pasaran pekerjaan yang moden dan sentiasa berkembang itu.

Memuji kerajaan kerana menyediakan pendidikan sekolah rendah dan menengah dengan percuma, Suhaimi berkata harapannya dapat melihat lebih banyak dasar dilaksanakan untuk membantu anak muda berkembang.

“Akhirnya, ini rumah mereka juga,” katanya. “Ke mana lagi mereka boleh pergi?”

Ketika lawatan ke PPR Desa Rejang minggu lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menyatakan rasa bangganya melihat kegigihan rakyat bekerja, dengan sebahagiannya membuat 2 atau 3 pekerjaan sehari untuk menampung pendapatan keluarga mereka.

Sub-head: “Orang muda sepatutnya tidak boleh terlalu memilih”

Seorang penduduk lain, Mohd Fakhrullah Hafiz Md Khalid, berkata Malaysia berkembang pesat sepanjang 6 dekad kemerdekaan selain berharap negara ini akan terus mengecapi kesejahteraan dan keharmonian.

“Ramai ahli politik cuba menggunakan bangsa dan agama untuk memecahbelahkan kita, tetapi kita tidak boleh biarkan mereka mempengaruhi kita,” katanya.

Dengan kadar pengangguran dalam kalangan belia meningkat sekitar 10%, Fakhrullah, yang menjalankan perniagaan menukar bateri kenderaan, berkata orang muda tidak sepatutnya terlalu memilih dalam mencari pekerjaan.

“Saya lihat ada banyak pekerjaan untuk rakyat Malaysia – terpulang sama ada mereka mahu atau tidak,” katanya. “Anda tidak akan boleh pergi jauh kalau anda malas. Anda perlu bekerja keras. Kalau tidak, anda tidak akan dapat apa-apa. ”

Pun begitu, ramai rakyat yang terdesak tidak dapat melihat jalan keluar dari keadaan mereka sekarang.

Walaupun pendapatan dan kualiti hidup sudah pasti meningkat sejak Malaysia mencapai kemerdekaan, apa yang bermain di fikiran mereka sekarang adalah gaji yang rendah dan kos sara hidup tinggi, membuatkan ramai rakyat gigih berjuang untuk terus bertahan.

Selasa, 1 September 2020

Ekonomi negara jatuh bawah PH, dibaiki PN

 HARAKAH DAILY

KUALA LUMPUR: Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sabah mencatat pertumbuhan 0.5 peratus iaitu paling rendah dalam Malaysia bagi tahun 2018 dan 2019 yang menunjukkan indikator ekonomi tidak bagus di bawah pemerintahan WARISAN.

Pensyarah Universiti Malaysia Sabah, Prof Dato’ Dr Kasim Md Mansur berkata, KDNK sepanjang negara di bawah Kerajaan Pakatan Harapan juga sekadar mencatat pertumbuhan 4.5 peratus, yakni tidak membanggakan berbanding Cambodia, Laos dan Vietnam.

Beliau mengutarakan perkara itu dalam Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran PN: ‘Pencapaian, Harapan dan Cabaran’ anjuran Pertubuhan Intelektual Negara di Persatuan Alumni UM Club House, Damansara, di sini hari ini.

“Kalau kita tengok, perbandingan BN waktu 2017, 2018, sekali lagi kalau kita tengok perbandingan waktu Tan Sri Musa Aman, memang menunjukkan pencapaian baguslah, berbanding dengan WARISAN di bawah Dato’ Seri Shafie Apdal.

“Dan pada tahun 2018 kalau di Sabah, merupakan yang paling rendah dalam sejarah 10 tahun ekonomi negeri Sabah. Itu senario yang berlaku selepas 2 years, 2018 and 2019, di negeri Sabah dan juga di Malaysia, ASEAN dan sebagainya,” ujarnya.

Kerajaan PN pujinya, walaupun mengambil alih tampuk pemerintahan tanpa manifesto, tetapi telah melakukan sesuatu yang positif kepada pemulihan ekonomi negara biarpun berdepan cabaran getir pandemik COVID-19.

Beliau juga menyifatkan ekonomi telah dilaksanakan Kerajaan PN sangat komprehensif, holistik dan berfokus serta memberi impak positif di mana ia meredakan kesulitan dihadapi oleh rakyat terutamanya.

Perkara tersebut ujarnya, disokong dengan pengiktirafan di peringkat global yang antaranya menerima penarafan A- dari S&P Global Ratings, sekali gus memberi isyarat positif kepada pemain industri dan pelabur luar. – HARAKAHDAILY

Isnin, 31 Ogos 2020

Kehidupan penoreh getah yang semakin sukar

Mohamad Jantan, 67, berkata, kehidupan penoreh getah semakin 
sukar sekarang.

ALOR GAJAH: Mohamad Jantan memejamkan matanya seketika dan cuba mengingat masa paling awal beliau di sebuah ladang getah di Melaka tempat ayahnya bekerja.

“Pakcik mengikut arwah ayah menoreh getah. Masih ingat berjalan di bawah pokok besar,” kata Mohamad kepada FMT.

“Pakcik berumur 6 tahun pada masa itu.”

Beliau membantu ayahnya mengutip susu getah hampir setiap hari sehingga berumur 14 tahun dan dianggap cukup besar untuk bekerja sendiri.

“Bila pakcik besar sikit, rasa sedih tengok ayah kerja teruk.”

Mohamad mula bekerja di sebuah ladang getah berserta ribuan penoreh getah yang lain dalam industri zaman kolonial yang amat penting di Malaya ketika itu.

Industri getah di Malaysia bermula dengan penanaman benih getah yang pertama di Kuala Kangsar pada 1877. Tidak lama kemudian ia menjadi sumber hasil penting bagi Malaya.

Ketika Mohamad mula bekerja, upah yang diterimanya mencukupi untuk menampung keperluan keluarga

 

. 

Mohamad bersiap-siap untuk keluar menoreh getah.

“Pada masa itu murah dan tak perlu beli semua benda untuk beri makan keluarga. Sayur-sayuran, kulat dan lain-lain, boleh cari sendiri. Sekarang semua kena beli dan tak murah.

Zaman selepas kemeredekaan menyaksikan harga getah jatuh susulan peningkatan permintaan getah sintetik.

“Hidup susah dulu, tetapi untuk makan senang, tetapi sekarang susah,” kata Mohamad yang kini berusia 67 tahun.

“Kalau menoreh kebun 1 ekar kita boleh dapat RM20. Itu sebelum kongsi separuh dengan tuan tanah. Nak beli apa dengan RM10?”

Dengan pendapatan yang begitu kecil, Mohamad terpaksa melakukan kerja sambilan pada sebelah petang bagi menampung keperluan keluarganya.

“Saya tebang pokok, buat kapak dan baiki rumah. Saya boleh dapat lebih kurang RM30 sehari,” katanya.

Beliau berkata, penoreh getah lain sepertinya juga melakukan kerja sambilan.

Malah katanya, kerja sambilan itu kini menjadi sumber pendapatan utama mereka sementara menoreh getah bertukar menjadi pekerjaan sambilan.

Mohamad berharap kerajaan akan memajukan lagi industri getah bagi meningkatkan harganya.

Mohamad mula menoreh gerah ketika berusia 14 tahun.

Katanya, inisiatif bantuan lain boleh membantu semua penoreh getah yang mengalami kesukaran hidup sepertinya.

Dahulu industri getah merupakan majikan terbesar di negara ini, tetapi kini industri minyak sawit lebih popular walaupun menoreh getah lebih mudah dan tidak rumit, katanya dengan nada kesal.

“Saya harap harga getah akan naik. Penduduk kampung macam saya boleh lega sedikit. Kerajaan beri bantuan BR1M. Ia sedikit-sebanyak membantu kami.

“Tanpanya, saya terpaksa bekerja sepanjang hari dan malam walaupun saya sekarang tua dan sakit.”

Wajarkah Mohamad terus bergantung harap bahawa industri getah akan kembali meningkat?

Barangkali tidak, tetapi bagi pekerja uzur sepertinya yang telah menyerahkan seluruh kehidupan mereka kepada getah, mungkin hanya itulah satu-satunya harapan yang tinggal.

Sabtu, 29 Ogos 2020

Lim persoal kerajaan lanjut PKPP tanpa tambah bantuan ekonomi

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng mempersoalkan pelanjutan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) yang diumumkan semalam tanpa sebarang pakej bantuan ekonomi tambahan.

"DAP meluahkan rasa terkejut (apabila kerajaan) melanjutkan PKPP tanpa lanjutan morotarium pinjaman bank selama enam bulan dan tambahan peruntukan RM45 billion dana ekonomi Covid-19.

"Ini akan memberi kesan buruk kepada usaha menyelamatkan pekerjaan di Malaysia, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan kini pengeluar," kata dalam satu kenyataan hari ini.

"Perdana Menteri Muhyiddin Yassin perlu sedar lanjutan PKPP akan memberikan akibat ekonomi yang negatif yang perlu dikurangkan dengan bantuan kewangan.

"Jaminan bahawa wabak Covid-19 terkawal akan lebih menggembirakan pekerja dan perniagaan kecil jika langkah kewangan juga diumumkan untuk meningkatkan ekonomi kita dari kemelesatan semasa," katanya lagi.

Dalam perutusan khas semalam, Muhyiddin berkata penularan wabak Covid-19 di Malaysia pada tahap terkawal namun kerajaan masih memerlukan mekanisme undang-undang untuk meneruskan usaha-usaha mencegah dan mengawalnya.

“Justeru, demi kepentingan saudara-saudari sekalian, kerajaan telah memutuskan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2020,” katanya.

Lim yang juga merupakan Anggota Parlimen Bagan turut mengingatkan Muhyiddin bahawa lebih 41 peratus pengilang Malaysia telah berkata bahawa perniagaan mereka hanya mampu bertahan sehingga hujung tahun ini susulan kerugian akibat penguatkuasaan PKP.

"Kadar pengganguran 4.9 peratus pada Jun adalah masih tinggi dan fakta tersembunyi bahawa ramai yang bekerja di bawah kelulusan dan kemahiran (underemployed), dan profesional seperti juruterbang perlu membuat kerja selain memandu kapal terbang," katanya lagi.

Lim juga membangkitkan laporan Jabatan Statistik Malaysia pada April lalu bahawa 84 peratus pekerja swasta mengalami potongan gaji serta dapatan Bank Negara bahawa ketika suku kedua, gaji sektor swasta menurun 5.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.

"Situasi ini akan jadi lebih teruk tanpa pakej stimulus kerajaan, subsidi gaji dan moratorium pinjaman. Jelas tambahan RM45 billion diperlukan untuk dana RM45 billion sedia ada (jumlah RM90 billion) untuk menyelamatkan bukan sahaja pekerjaan di Malaysia dan PKS tetapi juga pengeluar," katanya lagi.

Lim juga berkata kerajaan perlu melanjutkan moratorium pinjaman bank untuk enam bulan lagi.

Katanya, lapan juta rakyat Malaysia dan syarikat telah mendapat faedah daripada moratorium sebelum ini, yang melibatkan nilai RM74.3 billion.

"Lanjutan moratorium enam bulan lagi selepas ia tamat pada 30 September ini hanya akan membuatkan bank menanggung lagi RM6.4 bilion (nilai pinjaman yang ditangguh bayarannya).

"Industri perbankan boleh menanggung RM6.4 bilion kerana mendapat faedah cukai RM32 bilion tahun lalu. Jika industri itu enggan menanggung kos itu, kerajaan perlu mengeluarkan RM6.4 billion," katanya lagi.

Ahad, 23 Ogos 2020

KSM laksana penempatan semula pekerja yang diberhentikan akibat Covid-19

Shawaliah Hadir
MGF21072020_PERJUMPAAN-TERTUTUP-MENTERI-SUMBER-MANUSIA-BERSAMA-TOP-GLOVE-DAN-MALAYSIAN-RUBBER-GLOVE_10-681x454
Menteri Sumber Manusia, M.Saravanan. foto AFIQ RAZALI,

KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi penempatan semula (redeployment) akan membantu para majikan khususnya yang ingin menggajikan pekerja tempatan.

Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan berkata, inisiatif dilakukan KSM sebagai usaha mengurangkan jumlah kes kehilangan pekerjaan dalam kalangan pekerja tempatan akibat penularan Covid-19.

Jelas beliau, penempatan semula itu akan dilaksanakan melalui agensi-agensi seperti Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB).

“Data yang dikumpul oleh KSM menunjukkan bahawa ramai pekerja tempatan dan pekerja asing yang masih mempunyai permit kerja yang sah untuk tempoh panjang telah diberhentikan berikutan penularan pandemik Covid-19,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Pelaksanaan penempatan semula ini juga, menurut beliau, terpakai untuk pekerja asing namun majikan digesa memberi keutamaan kepada pekerja tempatan terlebih dahulu untuk mengisi kekosongan di premis mereka.

Sekiranya tiada sambutan daripada warga tempatan, maka majikan diberikan kelonggaran untuk menggaji pekerja asing yang telah diberhentikan oleh majikan lama, katanya.

“Ini kerana pihak kerajaan telah memberikan kebenaran untuk penempatan semula pekerja dengan cara penggantian majikan bagi pekerja asing dalam sektor yang sama dan kini juga boleh untuk sektor yang lain (cross sector) tetapi ianya bergantung kepada keadaan (case basis).

“Bagi majikan yang memerlukan pekerja asing dan setelah tiada pengisian kekosongan oleh pekerja tempatan di premis mereka maka boleh diisi kekosongan tersebut oleh pekerja asing sah yang telah kehilangan pekerjaan mereka,” tambahnya.

Borang permohonan untuk penggantian majikan bagi pekerja asing boleh dimuat turun daripada laman sesawang JTKSM iaitu jtksm.mohr.gov.my dan borang tersebut perlu dihantar sama ada secara serahan tangan ke Ibu Pejabat di Putrajaya atau serahan secara pos atau boleh juga melalui e-mel di alamat ptm@mohr.gov.my. – MalaysiaGazette

Sabtu, 22 Ogos 2020

Kesatuan mahu nisbah 10 pekerja tempatan berbanding seorang pekerja asing

Laporan Jabatan Perangkaan yang menunjukkan pengurangan 
pekerjaan dalam semua sektor.

PETALING: Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Abdul Halim Mansor berkata, kerajaan perlu menamatkan pergantungan negara kepada pekerja asing bagi mendorong rakyat tempatan kembali bekerja.

Beliau berkata, ia lebih penting sekarang susulan laporan Jabatan Perangkaan yang menunjukkan pengurangan pekerjaan dalam semua sektor.

Laporan Produktiviti Pekerja Suku Kedua 2020 menunjukkan jumlah pekerjaan jatuh 2.4% berbanding suku pertama, melibatkan pengurangan 359,000 pekerjaan.

Halim berkata, kerajaan perlu memaksa syarikat yang “lebih mengutamakan keuntungan berbanding negara” supaya mengambil pekerja warga tempatan.

“Pekerja asing biasanya tidak menerima KWSP. Mereka bersedia bekerja untuk gaji lebih kecil. Mereka lebih murah,” katanya, sekali gus menggesa kerajaan supaya mengehadkan bilangan mereka dalam pasaran kerja.

“Kerajaan mesti memastikan wujudnya perlindunag yang mencukupi untuk pekerja tempatan, selain menguatkuasakan nisbah 10 pekerja tempatan bagi 1 pekerja asing.”

Beliau berkata, kerajaan mesti meneliti pekerjaan yang biasanya diisi oleh pekerja asing dan mencari jalan bagi menggalakkan penyertaan tempatan.

“Di Singapura, kita lihat ramai rakyat Malaysia yang melakukan pekerjaan 3D (kotor, bahaya, rumit). Kenapa mereka mahu bekerja di sana, tetapi tidak di sini? Ia disebabkan gaji, jadi kita perlu kaji skim gaji kita kerana kita tidak memberikan gaji yang mencukupi kepada pekerja tempatan.”

Ketua perangkawan Mohd Uzir Mahidin meramalkan sektor pekerjaan akan kembali normal jika sekatan Covid-19 ditarik balik.

Selasa, 18 Ogos 2020

Ekuiti Bumiputera merosot: Kerajaan boleh cuba tambat mata wang dengan komoditi

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

 

Reformasi polisi dan sistem monetari atasi jurang pendapatan bandar, luar bandar

BANGI – Kedudukan pemilikan ekuiti Bumiputera yang jatuh ke paras 16 peratus – jumlah yang makin merosot – perlu diambil serius kerana ketidakseimbangan kekayaan antara kaum majoriti dan minoriti akan menyebabkan ketidakstabilan daripada segi politik dan juga hubungan antara kaum. 

Ketidakseimbangan itu juga akan menimbulkan rasa tidak puas hati dan hilangnya semangat bangsa Malaysia, kata penganalisis ekonomi, Prof Dr Ahmed Razman Abdul Latiff.

Namun, Pensyarah Kanan, Putra Business School (PBS) itu berkata, ada beberapa lagi statistik yang perlu diamati selain 16 peratus yang hanya membabitkan daripada segi pemilikan ekuiti. 

Beliau menjelaskan, statistik pemilikan Bumiputera ke atas hartanah iaitu meliputi tanah dan bangunan juga harus diliihat termasuk duit simpanan di dalam bank atau deposit tetap. 

“Jika statistik untuk aset-aset ini juga mengecewakan, maka polisi dan dasar kerajaan selama ini telah gagal. 

“Kegagalan mungkin berpunca daripada kaedah implementasi polisi dan dasar tersebut, pemantauan bantuan dan pemberian dana atau juga disebabkan campur tangan beberapa pihak berkepentingan yang menyebabkan matlamat kerajaan jauh tersasar,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Justeru, bagi mengelakkan bertambahnya jurang pendapatan antara kaum serta rakyat yang duduk di bandar dan luar bandar, reformasi polisi dan sistem monetari harus dilakukan, tegas Dr Razman.

“Apa yang berlaku sekarang ialah yang kaya makin bertambah kaya dan yang miskin kekal miskin. Oleh itu perancangan yang rapi harus dilakukan lebih-lebih lagi negara akan melancarkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) pada tahun hadapan. 

“Seeloknya kita tidak mengguna pakai kaedah sama seperti sebelum ini, tetapi berani mencuba penyelesaian baharu seperti menambatkan mata wang kita dengan komoditi. 

“Ini boleh meningkatkan pendapatan dan nilai harta yang dimiliki oleh pesawah, pekebun, peladang komoditi seperti getah, beras dan minyak sawit yang rata-ratanya terdiri daripada kaum Bumiputera,” katanya lagi.

Dengan kaedah itu, kata Dr Razman berkata, kaum Bumiputera akan dapat berkongsi lebih banyak kekayaan aset di negara ini sama seperti kaum lain sehingga kadar peratusan kekayaan yang dimiliki menyamai kadar peratusan penduduk Bumiputera di Malaysia.

Sasaran pemilikan ekuiti Bumiputera sebanyak 30 peratus sebelum ini telah diletakkan di bawah dasar Ekonomi Baru (DEB), bagaimanapun ia tidak tercapai.

Tahun lalu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang memegang jawatan sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata, pemilikan ekuiti Bumiputera bukan sahaja tidak mencapai sasaran tetapi telah menurun kepada 16.2 peratus (pada 2015) daripada 23 peratus pada 2011.

Manakala pemilikan ekuiti oleh bukan Bumiputera juga telah menurun kepada 30.7 peratus pada 2015 berbanding 34.8 peratus pada 2011 dan pemilikan ekuiti asing meningkat kepada 45.3 peratus.

Sementara pada Khamis lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan bahawa kedudukan pemilikan ekuiti Bumiputera ketika ini berada pada tahap 16 peratus, jumlah yang semakin merosot.

Memaklumkan perkara itu di Dewan Rakyat, beliau menyifatkan peratusan yang dicatatkan itu adalah sesuatu yang membimbangkan.

Terbitan Sukuk Prihatin hasil semangat rakyat mahu bantu pulihkan ekonomi negara – PM

sukukk-681x413

PUTRAJAYA – Terbitan Sukuk Prihatin bernilai RM500 juta yang dilancarkan hari ini adalah hasil semangat yang ditunjukkan rakyat yang ingin turut serta membantu memacu semula ekonomi negara selepas terjejas akibat penularan COVID-19, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Berikutan itu, katanya kerajaan telah memutuskan untuk melaksanakan pendekatan secara ‘bottom-up’ untuk menerbitkan Sukuk Prihatin, yang membuka peluang langganan kepada orang awam dan pihak korporat.

“Usaha ini merupakan suatu bentuk penyatuan sumber yang mencerminkan solidariti rakyat Malaysia dalam membina semula ekonomi negara,” kata Muhyiddin pada majlis pelancaran Sukuk Prihatin itu di sini. Hadir sama ialah Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Pelancaran Sukuk tersebut disaksikan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang turut berkenan untuk menjadi pelabur terawal.

Isnin, 17 Ogos 2020

'Saya pengiring bersenjata api'

Yusmizal Dolah Aling
 
HIDAYATUL Filzah. FOTO Aziah Azmee

DI sebalik kelembutan, siapa menyangka wanita juga mampu melakukan tugas mencabar dan lasak dengan menjadi pegawai pengiring serta pemandu peribadi.

Perkara itu dibuktikan, Hidayatul Filzah Kamarudin, 29, yang menceburi kerjaya pengawal peribadi dan pemandu orang kenamaan sejak lebih setahun lalu.

Memiliki lesen senjata api serta lesen menyelam turut menjadi kriteria utama melayakkannya menceburi bidang itu.

Katanya, minat menjadi anggota beruniform sejak kecil mendorong dia menceburi bidang itu yang kebanyakannya dipelopori golongan lelaki.

"Saya bukan saja menjadi pengiring biasa tetapi pengiring bersenjata api. Tugas saya adalah untuk menjaga keselamatan majikan... itu yang paling penting.

"Walaupun saya seorang wanita, tetapi saya buktikan bidang ini boleh menjadi kerjaya yang menarik jika mempunyai minat dan kesungguhan," katanya ketika ditemui selepas Seminar Pemandu dan Pengawal Peribadi anjuran Komuniti Pengawal Peribadi dan Pemandu (BGDC) dan sebuah syarikat perunding semalam.

Dia yang lebih dikenali sebagai Sofea berkata, antara cabaran paling berat ditempuhi adalah menghadiri kursus senjata api kerana ia memerlukan fokus serta kesungguhan.

"Sejak berkecimpung dalam kerjaya ini, saya sudah menghadiri lebih 10 kursus dan latihan untuk menambahkan kemahiran sedia ada," katanya.

Sementara itu, Presiden BGDC Jasrizal Mustafa berkata, seminar itu dianjurkan bertujuan memberikan maklumat kepada peserta berhubung kepatuhan kepada undang-undang dalam menjalankan tugas.

Katanya, program pertama kali itu membabitkan komuniti pemandu dan pengawal peribadi khususnya di Lembah Klang.

"Ia akan memberikan nilai tambah kepada mereka supaya lebih yakin ketika bekerja, tahu apa yang mereka lakukan dan yang lebih penting adalah pengetahuan mengenai peraturan serta etika," katanya.

Menurutnya, penularan wabak Covid-19 turut memberi kesan kepada pemandu dan pengawal peribadi termasuk yang dipotong gaji dan diberhentikan.

"Ada dalam kalangan ahli BGDC terpaksa melakukan pekerjaan lain seperti menjadi pemandu e-hailing bagi menampung keperluan harian," katanya

Ahad, 16 Ogos 2020

Tanda-tanda awal usaha pemulihan ekonomi mula nampakkan hasil – PM

Bernama
MGF07072020_PM-RASMI-BANCI-NEGARA14-681x454
Tan Sri Muhyiddin Yassin

JOHOR BHARU – Kadar pengangguran yang dilihat menurun pada bulan Jun, dilihat sebagai antara tanda-tanda awal usaha pemulihan ekonomi yang dijalankan kerajaan mula menampakkan hasil, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sambil merujuk statistik terbaru Jabatan Perangkaan Malaysia sehingga Jun tahun ini, beliau berkata kadar pengangguran di negara ini secara umumnya pada bulan lepas menurun kepada 4.9 peratus berbanding 5.3 peratus pada bulan Mei tahun ini.

“Bagi kadar pengangguran dalam kalangan belia berumur antara 15 hingga 30 tahun pula, Perdana Menteri berkata statistik turut menunjukkan penurunan kepada 9.7 peratus pada Jun berbanding 10 peratus pada Mei tahun ini.

“Alhamdulillah, ini merupakan tanda-tanda awal usaha pemulihan ekonomi yang dijalankan mula menampakkan hasil,” kata beliau ketika berucap pada perasmian Sambutan Hari Belia Negara 2020 Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini, hari ini.

Merujuk kepada perkembangan positif berkenaan, Muhyiddin berharap agar pelbagai usaha terus dijalankan bagi memastikan golongan belia turut bersama-sama berada di landasan pemulihan ekonomi negara yang kini berhadapan dengan pandemik COVID-19.— BERNAMA

Birokrasi punca wanita sakit, anak OKU bergantung hidup bantuan RM400 sebulan

Tan menunjukkan surat yang diterima memaklumkan beliau tidak lagi layak 
menerima Bantuan Orang Tua.

PETALING JAYA: Ketika pihak berkuasa berusaha menangani definisi kemiskinan yang baru dan lebih tinggi, seorang warga emas dengan 2 anak kelainan upaya terpaksa hidup dengan bantuan RM400 sebulan disebabkan peraturan dan kerenah birokrasi.

Beliau mungkin akan kehilangan bantuan itu.

Wanita yang mempunyai masalah pendengaran itu menerima bantuan kebajikan sejak 2008 – tetapi ia dihentikan selepas anak perempuannya mendapat pekerjaan sebagai pelayan dengan gaji RM1,100 sebulan.

Bagaimanapun, beliau diberhentikan kerja akibat penutupan perniagaan bagi membendung penularan Covid-19.

Kini, mereka hidup dengan bantuan kebajikan RM400 sebulan untuk OKU yang diterima anaknya yang menghadapi masalah pembelajaran, tetapi wanita itu bimbang jumlah itu akan dikurangkan kerana penganggur tidak layak mendapat elaun lebih tinggi.

Tan (bukan nama sebenar) memberitahu FMT, seorang jirannya menghantar e-mel kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi pihaknya dan memaklumkan failnya sudah ditutup serta beliau perlu menghantar permohonan baru untuk skim bantuan lain.

Ia memerlukan tandatangan ketua kampung dan tanpa pengangkutan, beliau berdepan kesukaran untuk melengkapkan permohonannya. Tambahan, beliau mempunyai masalah pendengaran dan tidak tahu berbahasa Melayu atau Inggeris, serta menghadapi kesukaran berkomunikasi dengan pegawai jabatan.

FMT sedang menunggu tindak balas daripada JKM.

Tan berkata, gaji RM1,100 sebulan yang diterima anak perempuannya menaikkan pendapatan keluarga melepasi had RM980, tahap pendapatan isi rumah yang digunakan untuk menentukan tahap kemiskinan.

Mac lalu, wanita itu menerima sepucuk surat memaklumkan beliau tidak lagi layak menerima Bantuan Orang Tua.

Empat bulan kemudian, Jabatan Perangkaan mengumumkan garis kemiskinan dinaikkan daripada pendapatan isi rumah bulanan RM980 kepada RM2,208 yang menyebabkan lebih 400,000 keluarga berada di bawah paras kemiskinan.

Minggu lalu, ahli Parlimen diberitahu agensi persekutuan dan kerajaan negeri diberikan masa 5 bulan untuk mengkaji semula dasar pembasmian kemiskinan mereka berdasarkan garis kemiskinan baru negara serta mengenal pasti kumpulan sasar untuk program mereka.

Tetapi, Tan dan anaknya kini hanya bergantung hidup kepada RM400 sebulan daripada bantuan OKU.

Anak perempuannya kehilangan kerja sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan 18 Mac lalu.

“Pada permulaan PKP, saya diminta tidak datang kerja. Tetapi selepas keadaan beransur pulih, majikan saya kata perniagaan tidak baik dan saya tidak perlu datang kerja lagi. Saya tidak dapat gaji sejak PKP,” kata anak perempuan Tan.

Tan kini bimbang jika anak perempuannya tidak dipanggil bekerja semula, beliau akan dianggap menganggur dan bantuan mereka dikurangkan.

Selain masalah pendengaran, Tan turut menghidap penyakit darah kronik yang jarang berlaku dan masalah kesihatan lain yang memerlukan rawatan. Untuk mendapatkan rawatan adalah sukar.

Tan berkata, beliau pernah “dimarahi” kerana mahu berjumpa doktor berbahasa Cina.

Beliau mempunyai seorang anak lelaki autistik yang tinggal di sebuah institusi kendalian sebuah gereja sejak 2015. Bayaran sebanyak RM900 sebulan ditanggung melalui sumbangan daripada ahli keluarga lain.

Disebabkan masalah kewangan mereka, Tan terpaksa mengehadkan penggunaan bantuan pendengarannya supaya bateri bertahan lebih lama dan mengurangkan jumlah makanan.

“Biasanya, kami makan lebihan makanan dari tempat kerja anak perempuan saya, tetapi sejak PKP, kami masak makanan sendiri, biasanya nasi, sayur dan telur, hampir tidak cukup untuk 3 kali makan sehari. Buah-buahan ialah kemewahan. Untuk menjimatkan wang, saya berkongsi sebiji epal dengan anak perempuan saya.

“Sekali-sekala kami beli ayam dan makannya selama beberapa hari. Kami tidak beli daging babi atau ikan, ia terlalu mahal. Semuanya mahal.”

Isnin, 10 Ogos 2020

Kerajaan optimis ekonomi pulih menjelang 2021

 Oleh SITI NUR MAS ERAH AMRAN

TENGKU Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz melawat pameran syarikat 
semi-konduktor elektrik dan elektronik Vitrox Campus 2.0 di Batu Kawan, 
Seberang Perai, Pulau Pinang di sini.

BUTTERWORTH: Kerajaan optimis pertumbuhan ekonomi negara mampu pulih secara berperingkat menjelang 2021.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, laporan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku kedua bakal diumumkan Bank Negara Malaysia (BNM) pada 14 Ogos ini.

“Negara mencatat pertumbuhan 0.7 peratus pada suku pertama tahun ini, namun kita sedia maklum suku kedua memang mencabar kerana kerajaan telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu dan aktiviti ekonomi hanya dibuka semula 4 Mei lalu.

“Walau bagaimanapun, kadar pengangguran yang menurun sebanyak 0.4 peratus kepada 4.9 peratus pada Jun lalu berbanding 5.3 peratus pada Mei lalu adalah salah satu petanda awal ekonomi semakin baik.

“Justeru, kita positif pemulihan ekonomi dapat dicapai pada tahun hadapan sekiranya momentum ini dapat dikekalkan pada suku ketiga dan suku keempat, bergantung kepada cara negara menangani Covid-19,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke syarikat semi-konduktor elektrik dan elektronik Vitrox Campus 2.0 di Batu Kawan, Seberang Perai.

Mengulas lanjut, beliau berkata, eksport negara juga merekodkan perkembangan 8.8 peratus pada bulan Jun kepada RM82.9 bilion.

“Lebihan dagangan sebanyak RM20.9 bilion ini adalah nilai tertinggi yang pernah direkodkan setakat ini.

“Indeks Pengeluaran Perindustrian juga meningkat 18.2 peratus pada bulan Mei manakala sektor pembuatan dan elektrik masing-masing mencatatkan peningkatan sebanyak 25.9 dan 13.7 peratus,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya sedang mengumpul maklum balas dan cadangan daripada pelbagai industri sempena Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan pada 6 November ini.

“Dari situ, kita akan mengkaji setiap cadangan yang diberikan kepada pihak kementerian.

“Kerajaan Persekutuan akan bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk menggubal sebuah belanjawan yang akan mengutamakan kesejahteraan pelbagai pihak daripada rakyat sehinggalah sektor perniagaan, perkhidmatan, pembuatan dan sebagainya,” katanya. – UTUSAN

Ahad, 9 Ogos 2020

Cetak lebih banyak wang, bukan tambah pinjaman, pakar beritahu Putrajaya

 Robin Augustin

Pakar ekonomi mencadangkan kerajaan menambah bekalan wang, bukan 
menambah pinjaman kerana bekalan wang dikawal oleh Bank Negara 
Malaysia.

PETALING JAYA: Seorang ahli ekonomi berkata, langkah kerajaan meningkatkan had hutang akan memberinya lebih banyak ruang untuk membuat pinjaman bagi program pemulihan ekonomi, tetapi percaya bahawa Putrajaya sepatutnya mengambil pendekatan lain.

Bekas dekan Institut Perbankan dan Kewangan Islam di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Kameel Mydin Meera percaya kerajaan sebaliknya harus mengambil pendekatan pelonggaran kuantitatif.

Pelonggaran kuantitatif (QE) membolehkan kerajaan menambah bekalan wang dalam ekonomi tanpa membuat pinjaman.

Ia melibatkan pencetakan atau penciptaan ringgit baru dengan tujuan meningkatkan perbelanjaan dalam ekonomi dan dengan itu merangsang ekonomi.  

 

Kameel Mydin Meera

Bercakap kepada FMT, Kameel berkata, kerajaan perlu melaksanakan pakej rangsangan ekonomi yang besar, iaitu sekitar RM150 bilion untuk “menghidupkan semula” ekonomi yang terkesan oleh penularan wabak Covid-19 dan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Walaupun penambahan nisah hutang-KDNK membolehkan kerajaan meminjam lebih banyak wang, namun menurut Kameel, kerajaan tidak perlu berbuat demikian.

Awal minggu ini, kerajaan membentangkan Rang Undang-undang Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Covid-19) 2020 di Dewan Rakyat yang membolehkan kadar hutang negara ditambah sementara dari 55% ke 60%.

Di bawah undang-undang sedia ada kerajaan tidak dibenarkan menambah jumlah hutang melebihi nisbah 55% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Saya fikir kerajaan harus menggunakan kuasanya untuk “mencipta ringgit”, iaitu pelonggaran kuantitatif,” kata Kameel.

Katanya, pelonggaran kuantitatif tidak akan menyebabkan inflasi seperti dalam keadaan biasa kerana wujud jurang kecairan yang besar di pasaran susulan perintah sekatan bagi mengekang penularan Covid-19.

Kameel berkata, Malaysia tidak perlu mengikut negara lain yang mempunyai nisbah hutang-KDNK yang lebih tinggi.

“Hutang mesti dibayar, iaitu jumlah prinsipalnya berserta faedah, yang akhirnya perlu ditanggung oleh rakyat.”

Kameel berkata, dengan mengambil kesempatan atas peningkatan had hutang, kerajaan tidak seharusnya menyalurkan dana untuk membayar program subsidi upah, tetapi perlu memberi fokus kepada usaha merangsang penggunaan domestik dan membantu golongan yang paling memerlukan, termasuk kelompok B40 dan tidak bekerja.

Lee Heng Guie

Seorang lagi pakar, Lee Heng Guie dari Pusat Penyelidikan Sosio-Ekonomi berkata, kerajaan terpaksa menambah nisbah hutang-KDNK kerana jumlah hutangnya kini ialah RM823.8 bilion, yang dianggarkan telah melepasi paras 55% KDNK.

“Dari perspektif sejarah, nisbah hutang-KDNK itu tidak perlu terlalu dibimbangkan pada masa ini kerana kita pernah berdepan nisbah lebih tinggi antara 60.1% dan 93.1% pada 1982 hingga 1991.

“Nibah hutang-KDNK 60% lazimnya dilihat sebagai had yang munasabah, dengan maksud pelanggaranya akan mengancam kemampanan fiskal.”

Bagaimanapun katanya, ini tidak bermakna ia adalah paras yang optimum kerana perlu dipertimbangkan juga haluan pertumbuhan dan hasil pada masa depan, selain kemampuan negara menbayar hutang.

Penambahan hutang bermakna kerajaan perlu membelanjakan lebih banyak daripada perbelanjaan mengurusnya untuk membayar hutang.

“Apabila ekonomi pulih, kita perlu mengawal hutang yang bertambah itu sama ada dengan meningkatkan cukai atau mengurangkan perbelanjaan, termasuk merasionalkan pertumbuhan eksponen perbelanjaan mengurus yang berpunca daripada emolumen, pencen, perbekalan dan perkhidmatan,” katanya.

Sabtu, 8 Ogos 2020

OKU terkesan teruk semasa PKP

Law King Yew berkata, kerajaan terlepas pandang keperluan individu yang 
mengalami kecacatan fizikal semasa pelaksanaan PKP. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kerajaan didakwa terlepas pandang individu dengan kecacatan fizikal ketika memberi bantuan kepada golongan yang memerlukan selepas ia menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan (PKP) Mac lepas.

“Komuniti kelainan upaya tertinggal dan tidak dibantu,” kata bekas jaguh angkat berat Paralimpik Law King Kiew kepada FMT.

Beliau berkata, kehidupan semasa pelaksanaan sekatan menjadi lebih sukar bagi mereka yang memerlukan bantuan penjagaan diri.

Bercakap mengenai rakannya yang mengalami kecederaan leher dan tinggal bersendirian beliau berkata, mereka terpaksa menjaga diri sendiri selama beberapa bulan.

“Kehidupan sangat sukar bagi mereka. Tiada sukarelawan yang datang untuk memandikan atau memakaikan pakaian mereka.”

Law, yang menghidap kecederaan saraf tunjang berkata, beliau kehabisan makanan berkhasiat pada minggu ke-2 sekatan dan terpaksa bergantung pada mi segera semata-mata.

Katanya, beliau berasa “putus harapan dan tertekan”, selain bimbang berhubung OKU lain yang mungkin terlalu lemah untuk terus bertahan.

Pengarah eksekutif Majlis Kebangsaan Orang Buta Malaysia (NCB) Moses Choo berkata, kerajaan sering terlepas pandang cabaran yang dihadapi oleh OKU.

Ramai daripada kira-kira 3,000 tukang urut buta di negara ini tidak mendapat bantuan yang diberikan oleh kerajaan semasa PKP.

“Salah satu kesukarannya ialah ramai tukang urut bekerja berdasarkan komisen dan tidak mendapat kemudahan Socso, yang merupakan sumber bantuan kerajaan semasa PKP,” kata Choo.

“Ketika bantuan diberikan kepada rakyat Malaysia yang lain, mereka tidak mendapat apa-apa.”

Bagi membantu golongan itu, Choo bekerja rapat dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi membangunkan prosedur operasi standard (SOP) untuk membolehkan pusat urut dibuka semula dengan selamat supaya mereka boleh bekerja.

“Kami perlu berbuat sesuatu, dan dengan segera,” katanya.

Bagaimanapun beliau menghargai sifat dermawan rakyat dengan berkata, ramai yang memberi sumbangan ”seperti wang, baucar makanan dan makanan masak” di samping dana RM250,000 yang dijanjikan oleh NCB untuk ahli persatuan gabungannya.

Law mengucapkan terima kasih kepada NGO “yang datang membantu”.

Menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat, bilangan rakyat Malaysia yang berdaftar sebagai OKU pada 2017 adalah seramai 453,258 orang.

Khamis, 6 Ogos 2020

Sedih..guna pelitup muka kotor, berjahit, berulang kali

UMUM tahu pelitup muka hanya boleh digunakan sekali sahaja dalam tempoh masa kurang daripada lapan jam dan perlu ditukar jika rosak.

Namun, tidak semua orang di negara ini mampu berbuat demikian apatah lagi apabila pelajar yang pergi ke sekolah wajib memakainya.

Tetapi, disebalik penguatkuasaan peraturan itu, tidak sangka ada yang sanggup akur walaupun berhadapan dengan kesempitan hidup termasuk kesukaran untuk membeli pelitup baharu.

Hal demikian benar-benar terjadi seperti diceritakan oleh seorang guru apabila terdapat pelajarnya menggunakan pelitup sama berulang kali.

“Hari ini saya ambil sedikit masa berbincang dgn murid mengenai pemakaian pelitup muka ketika berada di dalam kawasan yang sesak.

BACA > Sanggup belajar di tepi kubur, bawah rimbunan pohon, asalkan sekolah – Suara Merdeka

“Terdiam seketika saya apabila melihat pelitup muka seorang murid kelihatan kotor dan siap berjahit lagi tali dia.”

Ringkas ciapan pertama Fazri Hassan (@fazri_hassan) dalam Twitternya berkongsikan pelitup muka yang digunakan pelajarnya.

Ketika berada di dalam kelas, beliau mendapati ada pelajar yang menggunakan pelitup sama berulang kali selama lebih daripada sehari.

Malah, pelitup yang digunakan juga kotor dan kelihatan berjahit untuk menyambung semula bahagian tali yang putus.

“Apabila tanya murid lain ada juga yang tukar baharu selepas dua hingga tiga hari pakai.

“Apa apa pun, ini sekadar kisah murid saya tetapi mungkin juga boleh terjadi dgn murid-murid cikgu yang lain,” ujarnya.

BACA > Bekas koperal polis dipenjara 14 tahun, denda RM70,000 – Suara Merdeka

Sedih dengan keadaan tersebut, Fazri kemudian mengambil inisiatif membantu pelajar berkenaan mendapatkan pelitup baharu yang bersih secara percuma.

“Sudah tukar pelitup muka murid dengan yang baharu dan siap sedia pelitup percuma untuk murid yang tidak berkemampuan kat kelas,” katanya.

Justeru, beliau menyeru orang ramai supaya memberi perhatian terhadap situasi kesukaran yang serupa dihadapi orang lain.

Beliau juga menggesa orang ramai supaya memberi bantuan kepada sekolah yang terdapat pelajar miskin.

“Oleh kerana ciapan ini mendapat perhatian dan ramai sbenarnya yang bermurah hati dengan kisah mengenai isu pelitup muka ini.

“Saya mahu ambil kesempatan ini utk mereka yang ada rezeki lebih untuk sumbangkan pelitup muka, pencuci tangan dan cecair sanitasi kepada sekolah-sekolah berdekatan anda untuk membantu murid yang memerlukan,” serunya.

BACA > Wajib pakai pelitup muka di tempat sesak – Suara Merdeka

Terdahulu, kerajaan mewajibkan pemaikaian pelitup muka ditempat awam dan sesak bagi mengelakkan penularan pandemik Koronavirus (Covid-19). – SM

Kini lebih banyak peluang untuk rakyat jadi pengawal keselamatan, kata persatuan

Presiden Stadam, Khirudin Tajudin, mahu melihat lebih ramai orang tempatan
bekerja sebagai pengawal keselamatan.

PETALING JAYA: Sebuah persatuan untuk perkhidmatan keselamatan menyambut baik keputusan kerajaan untuk mengehadkan pengambilan pekerja asing bagi sektor pembinaan, pertanian, dan perladangan.

Presiden Persatuan Pembangunan dan Latihan Keselamatan (Stadam) Khirudin Tajudin menyifatkan keputusan itu sebagai “berfokus dan masuk akal”, dengan mengatakan rakyat yang mencari kerja lebih cenderung mengelak daripada 3 sektor itu.

Beliau berkata pembekuan pengambilan pekerja asing untuk sektor lain akan mendorong majikan berusaha untuk mengambil orang tempatan bekerja.

Sehubungan itu, beliau menjangkakan ini akan menghasilkan transformasi dalam kebanyakan sektor.

“Dengan dasar ini, majikan perlu mematuhi undang-undang pekerjaan dan secara adil membayar pekerja mereka,” katanya kepada FMT.

Khirudin, yang mengetuai sebuah syarikat keselamatan, mahu melihat lebih ramai rakyat bekerja sebagai pengawal keselamatan kerana ramai pekerja asing tidak fasih berbahasa Melayu.

Keputusan kerajaan diumumkan di Dewan Rakyat minggu lepas, namun, terus mendapat bantahan dari Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM).

Presiden Soh Thian Lai berkata “pengumuman tiba-tiba” itu akan melumpuhkan sektor pembuatan, termasuk pengeksport, yang merupakan salah satu penyumbang utama kepada hasil ekonomi.

Beliau memberi amaran tentang gangguan rangkaian bekalan dan mendesak kerajaan mempertimbangkan kembali keputusan itu.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Shamsuddin Bardan berkata, tiada jaminan orang tempatan mahu menggantikan pekerja asing dalam pelbagai industri.

“Jelas sekali, sektor yang ditolak pekerja asing akan menghadapi kekurangan tenaga kerja yang teruk dan ini akan menyebabkan gangguan besar terhadap operasi mereka,” katanya.

Selasa, 4 Ogos 2020

Dasar baru pekerja asing ‘bunuh’ ekonomi, kata MTUC

Dasar baru kerajaan mengehadkan pekerja asing kepada 3 sektor.

PETALING JAYA: Mengehadkan penggunaan pekerja asing hanya kepada 3 sektor akan “membunuh” ekonomi, kata Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC)

Setiausaha Agung J Solomon berkata, realitinya ekonomi Malaysia amat bergantung kepada buruh asing dan mengehadkan mereka untuk bekerja hanya dalam 3 sektor saja nampak seperti tindakan yang akan menjejaskan ekonomi.

Beliau menggesa kerajaan mempertimbangkan semula dasar itu.

Solomon berkata, kerajaan perlu melibatkan Majlis Penasihat Tenaga Kerja Nasional (NLAC) untuk mencari jalan penyelesaian mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing dan menangani peningkatan kadar pengangguran tempatan.

Katanya, MTUC dan Persekutuan Majikan Malaysia tidak diajak berunding sebelum kerajaan memutuskan untuk mengekang penggunaan buruh asing, dan mengecualikan NLAC adalah pelanggaran konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa.

Mengandaikan penduduk tempatan sedia bekerja dalam sektor 3D (kotor, sukar dan bahaya) dengan syarat dan terma sama dengan buruh asing, tidak mengetahui kos sara hidup yang tinggi sekarang dan garis kemiskinan disemak semula oleh kerajaan, katanya.

Berdasarkan statistik lebih 800,000 menganggur dalam tempoh 5 bulan tahun ini, Solomon berkata ramai rakyat tetap seperti itu kerana kerajaan gagal menyeru majikan untuk menawarkan gaji dan faedah lebih baik pada pekerjaan yang secara tradisionalnya dilakukan buruh asing.

Ramai pekerja asing yang didokumentasikan dibayar gaji minimum, manakala faedah seperti hari rehat wajib, kerja lebih masa atau faedah perubatan jarang diberi dan tidak mencukupi, katanya.

Sementara itu, beliau berkata lebih teruk apabila mereka yang tidak mempunyai dokumen dan digaji secara haram, majikan tidak bertanggungjawab membayar kurang RM1,000 setiap bulan.

“Kementerian Sumber Manusia sekarang terpaksa menangani masalah buruh yang semakin meningkat dihadapi oleh majikan di sektor utama, termasuk perusahaan kecil dan sederhana pada ketika mereka berusaha keras untuk pulih daripada sekatan yang dikenakan untuk menangani Covid-19,” katanya.

Minggu lalu, kementerian menjelaskan pembekuan pengambilan pekerja asing baharu akan kekal hingga akhir tahun ini dan mereka hanya akan diambil bekerja di sektor perladangan, pertanian, dan pembinaan.

Ketika ini terdapat lebih 2 juta pekerja asing berdaftar dengan kementerian, dengan 700,000 di sektor pembuatan dan 309,000 di sektor perkhidmatan.

Pekerja yang tidak berdaftar menyumbang kira-kira 1 juta lagi di sektor ini.

Isnin, 3 Ogos 2020

Bukan lagi ‘Negeri Kaya Tetapi Miskin’ 2030

HARAKAH DAILY

KUCHING: Sarawak berhasrat untuk menghapuskan istilah ‘Negeri Kaya Tetapi Miskin’ menjelang 2030 dengan meningkatkan pendapatan isi rumah rakyatnya yang masih rendah iaitu RM5,218, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata antara tumpuan inisiatif yang akan dilakukan bagi meningkatkan ekonomi rakyat Sarawak ialah membangunkan hab petrokimia yang kini giat dilaksanakan di Tanjong Kidurong, Bintulu seluas 400 hektar dan membangunkan sebuah kilang metanol dengan kos keseluruhan RM3.74 bilion.

“Sebuah syarikat antarabangsa juga telah mengesahkan akan melabur RM24 bilion di hab itu yang dijangka memberi peluang pekerjaan kepada 74,000 orang secara langsung dan tidak langsung.

“Dijangkakan dengan pelaksanaan program industri petrokimia dan program ekonomi lain, pendapatan isi rumah di Sarawak yang masih rendah akan menunjukkan peningkatan,” katanya semasa melancarkan Bulan Kebangsaan dan kempen kibar Jalur Gemilang peringkat negeri di Bangunan DUN Sarawak, semalam.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata tidak dinafikan bahawa Sarawak adalah antara penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) iaitu sebanyak 10 peratus dan pada 2019, KDNK Sarawak dianggarkan sebanyak RM136.05 bilion dengan pendapatan per kapita sebanyak RM53,317, namun realitinya jauh lebih rendah.
 
“Hasil minyak dan gas Sarawak adalah penyumbang yang besar kepada pendapatan negara namun, secara puratanya pendapatan isi rumah masih rendah kerana industri minyak dan gas Sarawak tidak menyediakan peluang perkerjaan yang mencukupi kepada anak Sarawak,” katanya.

Menurut beliau, Sarawak harus meneliti kepincangan ini dengan lebih teliti dan mikro serta mengambil tindakan untuk memperbetulkan keadaan ini.

Beliau berkata Sarawak hendaklah melaksanakan program pembangunan berdasarkan perspektif Sarawak di samping mengambil kira perspektif kebangsaan. 

“Jika anak Sarawak sendiri tidak berupaya memelihara kepentingan dan hak Sarawak sendiri, siapa lagi yang boleh berbuat demikian…saya menganggap tidaklah menjadi kesalahan Sarawak mengorak langkah ke arah pembangunan yang lebih hebat sehingga mampu menjadi negeri maju menjelang 2030,” katanya. – BERNAMA

Ahad, 2 Ogos 2020

Bekas wartawan cuba nasib jadi peniaga selepas hilang kerja ketika PKP

Nas Norziela Nasbah bersyukur mendapat sokongan bekas rakan sejawatannya
yang membeli roti pelangi dihasilkannya.

PETALING JAYA: Kehilangan pekerjaan ketika perintah kawalan pergerakan tidak mematahkan semangat 2 bekas wartawan untuk mencuba nasib dalam bidang baru demi meneruskan kelangsungan hidup.

Nas Norziela Nasbah, 32, yang ditawarkan Skim Pemisahan Sukarela (VSS), menamatkan kerjaya sebagai wartawan akhbar Berita Harian selama 11 tahun pada Mac lalu.

Beliau berkata, suaminya sentiasa memberi nasihat dan dorongan kepadanya selepas kehilangan pekerjaan.

“Saya pernah rasa tertekan dan menangis seorang diri bila dapat tahu diberhentikan kerja.

“Sewaktu PKP, suami yang bekerja dari rumah selalu beri sokongan, walaupun kami sedar akan cabaran akan datang yang perlu kami lalui.

“Walaupun mendapat VSS, tetapi tidak boleh bergantung sepenuhnya dengan duit itu dan perlu berusaha mencari pendapatan lain bagi meneruskan kehidupan,” katanya kepada FMT.

Nas Norziela Nasbah berkhidmat sebagai wartawan Berita
Harian selama 11 tahun.

Sejak itu, beliau mencuba pelbagai cara untuk menjana pendapatan, termasuk membuat roti pelangi dan menawarkan perkhidmatan spa dari rumah ke rumah.

Ibu kepada 2 anak itu bersyukur bekas rakan sejawatannya tidak putus-putus memberi sokongan kepadanya dengan membeli roti pelanginya.

Tetapi, perkhidmatan spa ditawarkannya terpaksa dihentikan buat sementara susulan pelaksanaan PKP sejak 18 Mac lalu bagi membendung penularan Covid-19.

Nas masih menaruh harapan untuk kembali ke bidang kewartawanan jika diberikan peluang.

“Buat masa ini, ada satu tawaran dengan sebuah syarikat majalah, tetapi masih dalam peringkat perbincangan.”

Mohd Aizat Shamsuddin mencuba nasib dengan menjual
bantal dan pewangi kenderaan atau rumah.

Berkongsi pengalaman sama, seorang lagi bekas wartawan Berita Harian, Mohd Aizat Shamsuddin, 33, menceburi perniagaan atas talian dengan menjadi ejen bantal dan pewangi kenderaan atau rumah.

Tidak cukup dengan itu, beliau turut mengusahakan rumah tumpangan di kampungnya di Kelantan.

“Apabila disenaraikan untuk diberhentikan, saya terus berfikir untuk mencari jalan mendapatkan pendapatan tambahan selain pampasan yang diterima.

“Dengan pampasan diterima juga, saya jadikannya sebagai modal untuk memulakan perniagaan.”

Beliau mengakui tertekan dan berdepan kesukaran di peringkat awal kerana tidak mempunyai pengetahuan asas dalam bidang perniagaan.

“Walaupun jumlah pendapatan yang diperolehi menerusi perniagaan atas talian tidaklah besar dan mencukupi, tetapi sekurang-kurangnya lepas untuk makan dan minum seharian.

“Selebihnya ditampung duit pampasan,” katanya yang perlu membayar ansuran pinjaman kereta dan rumah.

Tetapi, bekas wartawan selama 8 tahun itu melihat situasi dihadapinya dari sudut positif kerana beliau tidak perlu tinggal berjauhan dengan isteri lagi.

“Ketika di hujung karier sebagai wartawan, saya dipindahkan ke Terengganu pada April 2019.

“Jadi apabila diberhentikan, saya mengambil peluang untuk pulang ke kampung di Tanah Merah, Kelantan untuk menetap bersama isteri yang bekerja di Kota Bharu,” kata bapa kepada seorang anak itu.

Beliau bersyukur dengan pelaksanaan moratorium pembayaran balik pinjaman bank dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mulai 1 April hingga 30 Sept ini yang mampu mengurangkan beban kewangan ditanggungnya buat sementara.

“Secara tidak langsung, wang pampasan yang diterima saya dapat simpan.

“Mungkin dengan pampasan yang diterima, cukup selama setahun, tetapi dengan moratorium ini, boleh panjangkan lagi setengah tahun, jika saya tidak mendapat pekerjaan baru,” kata anak jati Kelantan itu.

Sabtu, 1 Ogos 2020

Azmin: Jangan terlalu banyak ‘main politik’, fokus rakyat, ekonomi

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri
Mohamed Azmin Ali berkata, kenyataan presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi
bahawa parti itu tidak akan menyertai PN tidak menjejaskan kerajaan semasa.

KUALA PILAH: Menteri Kanan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali hari ini menasihati pihak yang berkenaan agar tidak terlalu banyak “bermain politik” kerana fokus kerajaan ialah kesihatan rakyat dan ekonomi negara.

Katanya pihak berkaitan juga harus mencontohi Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang tidak begitu banyak berbicara mengenai politik memandangkan keutamaan beliau ialah untuk selamatkan ekonomi negara dan kesihatan rakyat.

“Kita hari ini meletakkan isu kesihatan rakyat dan isu ekonomi sebagai fokus … jangan main politik banyak sangat sebab rakyat perlu pembelaan dan ini juga fokus perdana menteri.

“Beliau jarang sebut tentang politik kerana mandat yang diberikan kepadanya ialah untuk selamatkan ekonomi negara dan selamatkan rakyat daripada diserang wabak Covid-19,” katanya kepada pemberita selepas program Korban Perdana Penggerak Komuniti Negara di sini, hari ini.

Pada masa sama, Azmin juga menegaskan kenyataan presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi bahawa parti itu tidak akan menyertai Perikatan Nasional (PN) tidak menjejaskan kerajaan semasa.

Ini kerana katanya Umno kekal mendukung kepimpinan Muhyiddin untuk terus menerajui kerajaan persekutuan di bawah PN.

PN merupakan kerjasama politik melibatkan PPBM, Umno, PAS serta parti komponen Barisan Nasional, selain disokong oleh Gabungan Parti Sarawak.

Mengulas kenyataan pengerusi Umno Selangor Noh Omar bahawa Muafakat Nasional Selangor telah menyelesaikan 90% agihan kerusi bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang, Azmin berkata isu tersebut belum dibincangkan bersama PN.

“Saya telah dimaklumkan perkara ini, tetapi perbincangan ini dibuat pada tahun lepas sebelum ada PN, tidak mengapalah, sebelum ada PN mereka bincang dengan MN (Muafakat Nasional).

“Itu benda yang logik, sekarang sudah ada PN kita kena bincang secara bersama, belum ada pilihan raya, tak bincanglah, pilihan raya lambat lagi,” katanya.

Ditanya mengenai surat tuntutan RM10 juta daripada PKR, bekas timbalan presiden parti itu berkata, beliau tidak akan melayani tuntutan berkenaan.

“Untuk apa? Kenapa saya perlu bayar mereka (PKR) RM10 juta? Jika saya ada duit sekali pun, saya akan serah (wang itu) kepada rakyat, saya tidak akan serahkan kepada parti yang sudah rosak seperti PKR,” kata Azmin yang juga ahli Parlimen Gombak.

Sebelum ini, dilaporkan bendahari agung PKR Lee Chean Chung berkata, parti itu akan mengeluarkan surat tuntutan kepada 19 ahli Parlimen dan Adun PKR yang keluar parti, menuntut mereka membayar RM10 juta masing-masing kepada parti itu.