Ahad, 17 Jun 2018

Hormati Harapan buktikan kemampuan

Hormati Harapan buktikan kemampuan


KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (Harapan) wajar diberi peluang untuk membuktikan kepada rakyat keupayaan mereka menjadi kerajaan yang baik.

Bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, semua pihak termasuk pembangkang perlu menghormati kerajaan sedia ada yang dipilih oleh rakyat dan hanya mengkritik sekiranya timbul kesalahan yang dilakukan oleh kerajaan Harapan.

Johari yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno menegaskan,  setiap kerajaan memiliki dasar dan keutamaan yang berbeza.

“Kerajaan hari ini mungkin keutamaannya berbeza dengan ketika BN memerintah sebelum ini. Apa yang diperlukan ketika ini ialah menghormati kerajaan, walau siapa pun yang memerintah. Dulu masa kita memerintah, rakyat beri penghormatan terhadap apa yang kita nak buat.

"Jika ada kesalahan, kita bangkitkan secara berasingan. Pembangkang perlu memberi kritikan yang membina dan kerajaan pula perlu laksanakan dasar dengan mendengar rintihan rakyat," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Johari berkata demikian ketika ditanya kemungkinan kerajaan menjual aset negara bagi mengimbangi bebanan hutang negara yang dikatakan mencecah lebih RM1 trilion.

Perkara ini susulan laporan Nikkei Asian Review mengenai kesediaan syarikat gergasi Filipina, San Miguel untuk membeli aset milik Malaysia jika kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memutuskan untuk menjualnya.

Beliau berkata, gabungan kerajaan dan pembangkang yang bertanggungjawab itu akan melahirkan Malaysia yang lebih baik.

"Akhirnya, sama ada kerajaan atau pembangkang, matlamatnya adalah untuk kebaikan rakyat. Jika rakyat Malaysia terjejas daripada dasar dilaksanakan, maka kita semua akan terkesan," katanya.

Tiada ulasan: